Wednesday, 31 May 2017

Telekung Siti Khadijah tiruan dirampas




KUALA TERENGGANU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) negeri merampas 100 helai telekung tiruan jenama popular, Telekung Siti Khadijah, petang semalam.

Dalam serbuan jam 2.15 petang di sebuah kediaman di Kampung Bukit Besar, Jalan Pasir Panjang, di sini, sembilan pegawai KPDNKK negeri merampas telekung berkenaan bernilai RM12,000 yang dibawa masuk dari Vietnam.

Pengarahnya, Azlan Abdul Samat, berkata pihaknya yang menerima aduan daripada wakil pemilik cap dagang Siti Khadijah, Apparel Sdn Bhd sebelum melakukan serbuan berkenaan, turut menahan pengedar barangan terbabit iaitu seorang wanita berketurunan Kemboja berusia 25 tahun.

"Kita dimaklumkan oleh wakil cap dagang Siti Khadijah ini, penjualan telekung tiruan jenama ini semakin berleluasa di seluruh negara, namun KPDNKK Terengganu menjadi yang pertama melakukan tangkapan dan rampasan telekung tiruan ini.

"Peniaga ini dikesan menjual telekung tiruan ini pada harga serendah RM120 sehelai, berbanding telekung tulen yang dijual pada harga RM199 hingga RM250 sehelai.

"Pemeriksaan kita juga mendapati telekung tiruan ini menggunakan material berbeza, selain menggunakan sulaman tampal berbeza daripada telekung tulen yang dijahit kemas dan cantik oleh pengeluarnya," katanya pada sidang media di Pejabat KPDNKK negeri di sini, hari ini.


Selain itu, Azlan berkata telekung tiruan berkenaan juga menggunakan label berbeza dengan telekung tulen apabila tertulis perkataan "Made in Malaysia", selain cetakan jenama pada plastik pembungkusan telekung tiruan kabur dan berwarna merah terang berbanding plastik telekung tulen berwarna merah hati.

Beliau berkata, pengedar telekung tiruan yang ditahan itu akan didakwa mengikut Seksyen 8(2)(C) Akta Perihal Dagangan 2011 kerana membekal untuk menawarkan barangan perihal dagangan palsu dan boleh didenda RM10,000 bagi setiap barang yang diletakkan perihal dagangan palsu atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya.


Azlan berkata, siasatan mendapati peniaga telekung tiruan berkenaan menghantar sampel telekung tulen Siti Khadijah ke Vietnam, sebelum disiapkan pembekal di negara itu dalam tempoh sebulan dan dihantar menerusi pos ke negara ini.

Tuesday, 30 May 2017

Jambatan Pulau Sekati laluan Losong-Pulau Sekati mula dibuka hari ini

  Projek pembangunan jambatan Pulau Sekati di sini memasuki fasa akhir dengan penyerahan kemudahan itu kepada kerajaan negeri.

Penyerahan dibuat oleh Pengarah JKR Terengganu, Ir Ab. Hamid Md. Daud dan kontraktor utama, Datuk Zainal @ Sharif Ibrahim dari Zainal @Shariff Ibrahim Sdn. Bhd kepada Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan), Rosman Roslan.




Majlis itu disaksikan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman di samping Setiausaha Kerajaan,, Datuk Wan Nawawi Wan Ismail serta Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Tenaga dan Teknologi Hijau negeri, Ir Rosli Othman.




Pembangunan jambatan merentangi Sungai Terengganu sepanjang kira-kira enam kilometer dengan kos sebanyak RM245 juta yang membabitkan laluan dari Losong ke Pulau Sekati dan Teluk Pasu itu mula dibina pada tahun 2012 namun terencat akibat masalah pengambilan balik tanah yang berlarutan.

Sementara itu dalam sidang akhbar Menteri Besar berkata, jambatan itu sudah boleh digunakan penduduk bermula hari ini bagi laluan Losong ke Pulau Sekati.

Katanya, bagi laluan Jalan Banggol Tuan Muda ke Jeram Tokong pula ia dijangka akan dibuka kepada orang ramai pada 19 Jun depan sekali gus bertepatan dengan hasrat kerajaan negeri agar kemudahan itu dapat dimanfaatkan pengguna sebelum Aidilfitri.

"Secara rasmi keseluruhan jambatan akan dibuka pada 19 Jun depan dan dengan adanya kemudahan ini secara tidak langsung kita dapat pastikan masalah kesesakan makin ketara di laluan Jambatan Sultan Mahmud dan Jambatan Manir dapat diatasi.




"Skop bagi laluan Losong ke Pulau Sekati ini membabitkan jambatan sepanjang 1.58 kilometer dan jalan baharu sepanjang 1.8 kilometer, laluan ini sudah siap dan dibuka kepada pengguna hari ini," katanya.


Dalam perkembangan sama, beliau meminta orang ramai agar tidak menyalahgunakan manfaat itu termasuk merosakkannya dan bersama-sama menjaga untuk kepentingan bersama.-UTUSAN ONLINE

Thursday, 25 May 2017

Kuala Berang Ecofest 
tarik 2,000 pengunjung


Kuala Berang Ecofest 2.0 berlangsung baru-baru ini membawa suasana cukup ceria dan menghiburkan melalui kehadiran dan penglibatan masyarakat setempat dalam pelbagai kegiatan yang diadakan.

Festival itu menukar seketika suasana sunyi dan mendamaikan sekitar Paloh Sungai Kodok, Kampung Langgar di kawasan yang dilatari kawasan pertanian di samping kebun dengan kehadiran hampir 2,000 pengunjung.

Program anjuran Pejabat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Berang itu merupakan susulan daripada kejayaan program pertama pada 2014.

Ahli Dewan Undangan Negeri Kuala Berang, Datuk Tengku Putera Tengku Awang berkata, program ini melibatkan penyertaan 13 Pusat Daerah Mengundi (PDM) di DUN berkenaan.




Program santai yang mengeratkan lagi silaturahim itu dimeriahkan dengan 25 acara termasuk sukan rakyat, berkayak dan memancing dan berjaya menarik penglibatan ramai untuk turut serta.

“Acara tradisional lain termasuk pukul bantal pula mampu menggamit kenangan dan pe­nga­laman baru kepada generasi muda,” katanya ketika merasmikan program tersebut.

Jelasnya lagi, lokasi itu dipilih berikutan Sungai Kodok, Kampung Langgar dan sekitarnya sangat menarik dan mampu menjadi produk ekopelancongan terbaharu di Hulu Terengganu.

“Kawasan tersebut terletak di perkampungan tradisional dengan keistimewaan alam semula jadi yang mencorakkan landskap menarik. Ada kebun duku, sungai, kebun jagung dan sawah yang mempunyai tarikan tersendiri,” katanya.

Wednesday, 24 May 2017

Projek bandar bersepadu




MARANG 22 Mei - Ahmad Zaki Resources Berhad (AZRB) melalui anak syarikatnya, Puncak Tema­la Sdn. Bhd. akan membangunkan projek perbandaran bersepadu dengan kos lebih RM200 juta di Wakaf Tapai dekat sini.

Puncak Temala yang melibatkan pelaburan terbesar AZRB da­lam projek perumahan di negeri ini juga merupakan sebahagian daripada usaha mengukuhkan ba­hagian hartanah AZRB sebagai penyumbang utama kumpulan pada masa depan.

Pengurus Besar (divisyen hartanah) AZRB, Zawawi Wahab memberitahu, projek itu dirancang untuk dibangunkan melalui tiga fasa dalam tempoh lima tahun.

Katanya, Puncak Temala yang pertama seumpamanya di daerah ini, dengan mengetengahkan konsep pembangunan lestari da­lam suasana kehidupan moden di lokasi strategik itu bakal melibatkan pembinaan 685 unit kediaman dan komersial di tapak seluas hampir 27 hektar.

“Ini termasuk 160 unit rumah bandar mampu milik, 349 rumah teres dua tingkat, 100 unit rumah berkembar dua tingkat 76 unit kedai/pejabat dua tingkat dan satu lot komersial yang dirancang di hadapan jalan utama,” katanya.

Beliau menyatakan demikian ketika ditemui selepas Upacara Majlis Pecah Tanah dan Pelancaran Projek Perumahan Awam 1Malaysia (PPA1M) Puncak Temala di sini semalam yang disem­purnakan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman.

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sains, Teknologi dan Transformasi Ke­rajaan negeri, A. Latiff Awang.

Pembangunan PPA1M di bawah fasa pertama Puncak Temala melibatkan pembinaan 349 rumah teres dua tingkat berkeluasan 22x70 yang bakal dijual dengan harga serendah RM272,000 melalui pemberian subsidi yang tinggi.

Kakitangan kerajaan yang berminat boleh mendaftar melalui portal www.ppa1M.gpy.my.- utusan online

Syafiq juara Pidato Negaraku 2017 Terengganu



Guru Sekolah Kebangsaan Pulau Aur, Mersing, Johor, Mohd Syafiq A.Ghani,26, menjuarai Pidato Negaraku 2017 peringkat Negeri Terengganu yang diadakan di sini hari ini.

 Dengan tajuk pidato Negaraku, Di Sinilah Segalanya, beliau menewaskan enam peserta lain, dan membawa pulang hadiah wang tunai RM1,500, plak dan sijil.

 Beliau yang berasal dari Kampung Kijing dekat sini akan mewakili negeri ke peringkat kebangsaan yang akan diadakan di Negeri Sembilan pada Ogos depan.

Tempat kedua dimenangi oleh seorang guru dari Besut, Nurul Fatin Aqilah Rahim, 20,  dan beliau menerima hadiah wang tunai RM1,000

 Penuntut Kolej Ranaco, Kemaman, Afif Jazimin Amran, 18, pula berada di tempat ketiga dengan membawa pulang hadiah wang tunai RM500.

 Penolong Pengarah Jabatan Penerangan Negeri Samsudin Daud, berkata, pertandingan tradisi tahunan yang bermula sejak 2011 itu kali ini bertemakan Negaraku Sehati Sejiwa.


"Program bertujuan meningkatkan kesedaran dan kefahaman  mengenai isu semasa menyentuh dasar kerajaan khususnya Gagasan 1Malaysia selain  memupuk, menyubur dan mengukuhkan perpaduan di kalangan masyarakat," ujarnya.

 Hadiah disampaikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sains, Teknologi dan Transformasi negeri, A.Latiff  Awang.

Tuesday, 23 May 2017

CUEPACS mohon bonus raya ditingkat kepada RM1,000




KUALA TERENGGANU 23 Mei - Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) memohon kerajaan mempertimbangkan pemberian bonus raya sekurang-kurangnya RM1,000 kepada 1.6 juta penjawat awam menjelang Aidilfitri ini.

Presidennya, Datuk Azih Muda berkata, peningkatan jumlah imbuhan itu diyakini dapat memberi kelegaan kepada golongan penjawat awam terutama dalam mendepani kos hidup yang meningkat dan harga barang yang tidak terkawal.

Katanya, perbincangan lanjut mengenai permohonan itu dijangka diadakan dengan pihak kerajaan dalam waktu terdekat sekali gus beliau menafikan laporan yang tular beberapa hari lalu mengenai pemberian bonus sebanyak RM500 pada tahun ini.


“Saya akan berjumpa dengan pihak kerajaan untuk menyampaikan hasrat CUEPACS, namun kita masih belum memutuskan kadar bonus itu tetapi kita berharap jumlahnya kelak akan lebih baik berbanding tahun-tahun lalu atau sekurang-kurangnya RM1,000,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Bengkel Keselamatan dan kesihatan Pekerjaan Sektor Awam (Hirarc) Peringkat Terengganu 2017 di Wisma Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) di sini hari ini- UTUSAN ONLINE

KETETAPAN KADAR FITRAH UNTUK NEGERI TERENGGANU




KUALA TERENGGANU – Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) menetapkan kadar fitrah pada tahun ini adalah sebanyak RM7 seorang, kekal sebagaimana kadar tahun lepas.

Yang Dipertua Maidam, Datuk Shaikh Harun Ismail berkata, kadar itu dikira berdasarkan kepada harga beras gred super tempatan di pasaran setelah mengambil kira nilai bersamaan dengan beras 10 peratus hancur serta 5 peratus hancur.

“Bagi mana-mana orang yang memakan beras dari jenis super import, maka kadar bayarannya adalah senilai dengan kadar beras yang dimakannya iaitu bersamaan 2.60 kilogram atau 2.97 cupak bersamaan satu gantang Baghdad.


“Pada tahun ini juga, kita menetapkan bayaran fitrah hanya boleh dibuat dengan wang tunai sahaja,” katanya kepada media di pejabat Maidam, di sini hari ini.


Menurut Shaikh Harun, orang Islam di negeri ini boleh membayar fitrah di mana-mana kaunter zakat Maidam dari jam 8.30 pagi hingga 4 petang pada hari bekerja biasa.

Bagaimanapun beliau berkata, bagi memberi kemudahan kepada masyarakat Islam di negeri ini, kaunter zakat Maidam termasuk di Pusat Transformasi Bandar (UTC) akan dibuka tujuh hari seminggu dari jam 8.30 pagi hingga 4 petang bermula 11 Jun hingga 24 Jun nanti.

Selain itu katanya, Maidam turut melantik seramai 1,038 orang amil pada tahun ini yang akan membuat pungutan fitrah dan zakat harta di setiap masjid serta surau di seluruh Terengganu.

Monday, 22 May 2017

Batu Bentuk Jadi Tanda Tanya


/
Misteri tiga bongkah batu menjadi tanda tanya kerana tentunya banyak cerita terlindung di sebalik kewujudannya berhampiran dengan Madrasah Khairul Insan (MKI) di Jenagor, Hulu Terengganu itu.Selepas penemuannya tular di media sosial, bongkah batu itu menjadi perhatian ramai tetapi masih belum dapat jawapan mengenai kewujudannya itu.
  
Bagaimanapun, ramai yang mengaitkan bongkah batu itu dengan sejarah kawasan perdagangan dan penyebaran agama Islam di kawasan sekitarnya suatu masa dahulu.
  
Mengenai penemuan bongkah batu yang mempunyai ciri unik dengan bahagian atasnya lebih runcing, ia dikatakan ditemui penghuni MKI lebih kurang 15 tahun lalu.
  
Tetapi ketika itu bongkah itu hanya kelihatan kira-kira 0.5 meter di permukaan tanah dan pada mulanya dianggap sebagai perkara biasa.
  
Pada peringkat awal penemuannya itu, bongkah batu itu hanya diketahui oleh komuniti di MKI sahaja tetapi pada awal tahun ini ia digali selepas seorang daripada jemaah MKI mendapat ‘alamat’ mengenainya.
  
Jemaah itu `diminta' agar kawasan penemuan bongkah batu unik digali dan mereka kemudiannya bergotong-royong mengalinya sedalam kira-kira dua meter.
  
Pengerusi MKI, Mohd Ariff Yong mengakui bongkah batu itu menjadi misteri kerana belum ada kajian atau penyelidikan mengenainya dijalankan.
  
Bagaimanapun, pihaknya tidak menolak kemungkinan bongkahan tersebut mempunyai kaitan rapat dengan peninggalan sejarah apatah lagi daerah Hulu Terengganu.
  
"Buat masa ini belum ada kajian atau penyelidikan khusus dijalankan mana-mana pihak, jadi tidak boleh membuat sebarang andaian. Cuma, kita merasakan ia berkemungkinan ada kaitan dengan aspek nilai sejarah seperti penempatan penduduk pada suatu masa dahulu.
  
"Lokasi penemuan bongkahan itu terletak lebih kurang satu kilometer daripada penempatan MKI di seberang sungai. Perjalanan ikut jalan darat melalui belukar ambil masa sekitar setengah jam dan menggunakan bot hanya beberapa minit sahaja.
  
“Biasanya kami menaiki bot menyelusuri sungai untuk ke sana berbanding jalan darat. Komuniti MKI turut adakan pemantauan di kawasan itu bagi pastinya tiada individu atau pihak yang datang dengan tujuan bukan-bukan," katanya.- Media11

Insentif RM500,000 kepada JPNT

JPNT menerima tajaan daripada syarikat swasta Exxon Mobil sempena Sambutan Anugerah Hari Guru 2017

/
KUALA NERUS 21 Mei - Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman hari ini mengumumkan insentif sebanyak RM500,000 kepada Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT) untuk mengadakan pelbagai aktiviti bagi memantapkan lagi profesionalisme guru di negeri ini.

Beliau berkata, daripada RM500,000 itu, sejumlah RM300,000 akan disumbangkan oleh syarikat berkaitan kerajaan negeri (GLC) manakala RM200,000 lagi akan disumbangkan oleh kerajaan negeri.

"Jumlah ini meningkat berbanding RM300,000 pada tahun lepas. Saya berharap JPNT akan mengadakan lebih banyak program atau kursus dan latihan sebagai menghargai penat lelah guru selama ini.

"Semoga insentif ini akan dapat memberi banyak manfaat kepada golongan guru seterusnya memartabatkan bidang pendidikan di negeri ini," katanya kepada pemberita selepas merasmikan sambutan Hari Guru Peringkat Negeri Terengganu di sini hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sains, Teknologi dan Transformasi Kerajaan Negeri, A Latiff Awang dan Pengarah JPNT, Shafruddin Ali Hussin.

Mengulas lanjut, Ahmad Razif berkata, kerajaan negeri juga akan mengagihkan bantuan sebanyak RM2,000 untuk semua 503 Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) di Terengganu dalam tempoh terdekat.

"Ia bagi memudahkan PIBG menjalankan aktiviti yang sesuai untuk kecemerlangan di sekolah masing-masing," katanya.

Terdahulu, dalam ucapannya, Ahmad Razif berkata, guru adalah arkitek pendidikan negara yang telah banyak menyumbang ke arah pembangunan dan kemajuan negara selama ini.

"Di Terengganu sendiri, kerjaya guru ini telah diiktiraf apabila saya sendiri sebagai bekas guru dilantik sebagai Menteri Besar. Ia bukanlah satu tugas yang mudah namun dengan kerjasama rakan-rakan dalam barisan kepimpinan yang sebahagiannya adalah guru, telah banyak membantu selama ini.

"Sebagai guru, sudah pasti kita akan melakukan semua amanah yang diberi sebaik mungkin dan saya berharap akan terus mendapat sokongan golongan guru untuk terus menerajui kepimpinan negeri ini sebaik-baiknya," katanya. - BERNAMA

Cikgu Sains Tokoh Guru Terengganu 2017

Cikgu Hamzah Othman, 61 bersara awal pada 2010 dengan jawatan terakhir di Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Mansor menerima Anugerah Tokoh Guru 2017 - Pix : Media11

/
KUALA TERENGGANU 21 Mei - Bekas Guru Cemerlang Sains Gred Khas C, Hamzah Othman, 61, dipilih sebagai Tokoh Guru Terengganu 2017 dalam majlis Sambutan Hari Guru Peringkat negeri kali ke-46 di Stadium Tertutup Gong Badak di sini hari ini.

Beliau yang bersara awal pada 2010 dengan jawatan terakhir di Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Mansor itu menerima penghargaan dalam bentuk wang tunai RM6,000, plak, medal, tafsir al-Quran, sepersalinan baju Melayu dan sijil.

Hadiah disampaikan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman.

Selain itu, beliau turut menerima pakej menunaikan umrah bersama pasangan, sumbangan peribadi Ahmad Razif.

Yang hadir sama, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Datuk Mohd. Zubir Embong; Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sains, Teknologi dan Transformasi Kerajaan negeri, A. Latiff Awang serta Pengarah Pendidikan Negeri, Shafruddin Ali Hussin.

Hamzah pernah menerima Anugerah Inovatif Kementerian Pendidikan pada 2001 di samping memenangi kategori Guru Inovatif Terengganu selama tujuh kali pada 1993, 1994,1995,1997, 1999 dan 2001.

Pemilihan Hamzah berikutan sumbangannya dalam memperkasakan mata pelajaran Sains termasuk penghasilan Kaedah Pecutan Kognitif Sains yang diguna pakai sehingga kini oleh pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Ujian Bertulis Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3).
Penerima anugerah Guru Cemerlang Kelainan Upaya, Wan Nur Adli Tengah @ Wan Ngah (kanan) 

Kategori Guru Cemerlang Pendidikan Khas diberikan kepada Norliza Supar manakala Wan Nur Adli Tengah @ Wan Ngah (Guru Cemerlang Kelainan Upaya), Guru Inovatif Individu Prasekolah (Zawani Husin), Guru Inovatif Individu Rendah (Endun Taib) dan Guru Inovatif Individu Menengah (Nani Suraya Abdul Karim).

Dalam majlis itu, pemenang Anugerah Khas Hari Guru Kebangsaan 2017 iaitu Saripah Embong dari Sekolah Menengah Imtiaz Kuala Terengganu dan Rosemini Abdul Salam turut menerima penghargaan masing-masing.
Ahmad Razif bertemu dengan empat anak yatim piatu pasangan guru Badrul Hisham dan Noor Amalia 
Anugerah Khas Pengarah pula diberikan kepada pendidik yang meninggal dunia antaranya termasuk pasangan guru yang maut dalam kemalangan di kilometer 41, Jalan Kuala Terengganu-Kuantan di Kampung Mercang, Marang pada 22 April lalu iaitu Badrul Hisham Omar dan Noor Amalia Noorzan di samping Rosdi Mohamad Salleh, Masni Ngah serta Kamaruzaman Yusuff. - UTUSAN ONLINE
/

'CURI' GAMAT, NELAYAN VIETNAM DICEKUP


Pix : Ihsan APMM

/
TEKONG dan empat awak-awak Vietnam ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) kerana menangkap gamat kira-kira 26 batu nautika dari Kuala Kemaman, pagi Rabu lalu.

Mereka itu ditahan pada 10.30 pagi ketika kapal ronda APMM Kemaman sedang menjalankan rondaan rutin Ops Perkasa Timur di kawasan Zon Ekonomi Ekslusif (ZEE) perairan Terengganu.
Peralatan menangkap gamat dalam bot Vietnam
Pengarah Pangkalan Maritim Kemaman, Leftenan Komander Maritim Mohd Harmizi Md Nor, berkata bot nelayan asing itu ditahan selepas dikejar hampir satu jam ketika mereka cuba melarikan diri selepas menyedari kehadiran bot ronda APMM.

Menurutnya, hasil pemeriksaan lanjut terhadap bot berkenaan ditemui sebanyak 50 kilogram gamat hidup dan peralatan menangkap hidupan laut terbabit.

Katanya, nelayan Vietnam berusia antara 26 hingga 57 tahun berkenaan bersama bot yang digunakan kemudiannya ditunda ke Jeti Pangkalan Maritim Kemaman untuk tindakan lanjut.

Sunday, 21 May 2017

SASAR PENGELUARAN KENAF SEBANYAK RM5J


Pekerja menuai hasil kenaf
- pix Utusan Online



/

SETIU - Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara menyasarkan pengeluaran sebanyak RM5 juta hasil berkenaan di negeri ini pada tahun depan.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani, Perusahaan, Perladangan dan Komoditi negeri, Datuk Pehimi Mohamad berkata, sasaran itu dijangka mampu dicapai dengan adanya kawasan tanaman baharu berkeluasan 1,000 hektar pada tahun sama.

Menurutnya, kawasan tumpuan adalah di daerah Setiu, Marang dan Besut yang kini ketiga-tiganya telah pun mempunyai tanaman tersebut seluas 500 hektar.
Pehimi - pix Sinar Harian

"Kita (kerajaan) bersama Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara akan memberi penerangan berhubung tanaman kenaf bagi menggalakkan lebih ramai peserta atau petani menanam kenaf.

"Ia sebagai usaha mencapai sasaran 1,000 hektar dengan pengeluaran hasil sebanyak RM5juta pada tahun 2018," katanya kepada pemberita, di sini.

Sumber - Dunia Agrotek
                                                                                        
                                               

Perabot Perahu Lama Razali

Mohamad Razali Abdul Ghani, 50, dengan perabot-perabot rekaannya daripada perahu lama yang usianya mencecah 50 tahundi karnival Minggu Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) Terengganu 2017 di Pusat Dagangan Terengganu (TTC)
/
KUALA TERENGGANU 20 Mei - Sedih melihat nasib perahu-perahu lama yang sudah uzur dibiarkan reput begitu sahaja menjadi titik mula bagi seorang usahawan dari Dungun untuk menceburkan diri dalam perniagaan berasaskan perabot daripada pengangkutan air itu.

Walaupun tidak mempunyai sebarang kepakaran dan pengalaman, namun Mohamad Razali Abdul Ghani, 50, memberanikan diri untuk merintis usaha itu sejak Julai tahun lalu selepas hampir dua bulan membuat penyelidikan dan rujukan.

Katanya, dia terpanggil untuk memberi 'nyawa' terhadap perahu lama itu berikutan mahu mengimbau nostalgia zaman kecil ketika membesar di perkampungan nelayan di Kampung Seberang Pintasan di samping untuk menghargai keunikan kayu cengal yang digunakan bagi membuat perahu.

"Semasa kecil setiap hari saya tengok perahu keluar masuk di jeti jadi, apabila ada yang dibuang atas faktor uzur secara tidak langsung membuatkan saya rasa sedih, sebab itu saya terpanggil untuk melakukan sesuatu bagi menghidupkan fungsinya.

"Sayang kalau dibiarkan mereput kerana kayu cengal bernilai tinggi oleh itu, saya cuba berfikir di luar kotak dan mendapat ilham untuk menghasilkan perabot daripada perahu-perahu uzur yang usianya mencecah 50 tahun yang dibeli di Besut," katanya kepada Mingguan Malaysia ketika ditemui dalam karnival Minggu Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) Terengganu 2017 di Pusat Dagangan Terengganu (TTC) di sini hari ini.

Mohamad Razali yang berkelulusan Diploma Landskap dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) sebelum ini berkhidmat sebagai pegawai khas kepada salah seorang bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Terengganu.

Bermula dengan modal simpanan RM35,000, katanya, sehingga kini sudah 15 perahu dibeli bagi menghasilkan barangan seperti set ruang tamu, set meja makan, buaian, hiasan dinding dan bingkai yang dijual pada harga antara RM5,000 ke RM12,000.

Katanya, sambutan yang diterima amat menggalakkan berikutan kelainan perabot perahu yang ditawarkan itu tidak terdapat di mana-mana pasaran di negara ini, di samping keistimewaan nilai estetika kayu cengal yang mempunyai peminat tersendiri.

Mohamad Razali memberitahu, setiap perahu yang dibeli mempunyai tahap keuzuran berbeza-beza dan proses untuk membuka kepingan-kepingan kayu memakan masa hampir sebulan termasuk perlu dijemur selama seminggu sekiranya sudah terlalu lama 
ditinggalkan di air.

"Kerja-kerja melukis dan bertukang saya lakukan sendiri dengan bantuan abang, sekiranya perlu kami akan upah pekerja sambilan, 

istimewanya, setiap perabot dihasilkan mengikut cara tradisional iaitu tanpa paku, sebaliknya hanya menggunakan pasak.

"Ini merupakan kali pertama saya mempromosikan produk ini kepada orang ramai, harapan saya agar perabot daripada perahu ini dapat berkembang sekali gus menjadi antara ikon pelancongan negeri," katanya.

Orang ramai yang berminat boleh menghubungi talian 013-9219717.

Sumber : Mingguan Malaysia


/

Saturday, 20 May 2017

Gadis Kuih Bakul Ikon Belia Negeri Terengganu 2017


Haziqah Nurulhuda Harun, 21, dipilih sebagai salah seorang Ikon Belia dalam majlis Anugerah Belia Negeri Terengganu 2017



/
HULU TERENGGANU 20 Mei - Gadis orang kurang upaya (OKU) yang menjual kuih bakul dari Kemaman, Haziqah Nurulhuda Harun, 21, dipilih sebagai salah seorang Ikon Belia dalam majlis Anugerah Belia Negeri Terengganu 2017 di padang bola sepak Kampung Kuala Menjing di sini hari ini. 

 Turut menerima anugerah sama adalah Pengarah Kelip-kelip Palmstay Seri Bandi, Muhammad Syaifullah Che Ghani, 28, di samping Pengarah Urusan syarikat D Lan Group Sdn. Bhd., Nor Ardilan Syah Abdullah, 36. Penyampaian hadiah disampaikan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman. Yang hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Belia & Sukan dan Simber Manusia negeri, Datuk Rozi Mamat; Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia dan Tugas-tugas Khas negeri, Ghazali Taib serta Pegawai Daerah Hulu Terengganu, Datuk Azmi Razik. 

 Terdahulu, Ahmad Razif turut menyampaikan Anugerah Belia Wanita kepada Nurul Shafinaz Ishak manakala Muhammad Rosdi Mat Zin memenangi kategori lelaki. 

 Sementara itu, Haziqah Nurulhuda berterima kasih di atas penghargaan tersebut dan akan menjadikannya sebagai motivasi untuk terus berjaya dalam bidang perniagaan. 

“Kekurangan saya bukan penghalang untuk maju dan mencapai impian.  “Kuih bulan saya bakal ke Singapura pada September depan apabila kita menerima jemputan menyertai Festival Kuih Bulan oleh komuniti Malaysia di sana, jadi saya kini dalam persiapan untuk menyediakan sebanyak 20,000 kuih bulan bagi tujuan tersebut,” katanya di sini hari ini. 

Kisah mengenai gadis berkerusi roda itu menjadi tular awal tahun ini selepas dia menerima tempahan tinggi iaitu 4,000 biji kuih bakul sempena sambutan Tahun Baharu Cina lalu. - UTUSAN ONLINE

  • /

Friday, 19 May 2017

Kenali FC Pemanis


/




Awal bulan ini (April), pihak kami berkesempatan bertemu dengan wakil pasukan FC Pemanis pada hari perlawanan terakhir buat Shah Alam Antlers (SAAFC) dalam saingan Klang Valley League - Shah Alam (KVL) yang menyaksikan SAAFC muncul juara buat pertama kali liga bagi KVL Shah Alam 2017.

Dikesempatan itu pihak kami mengambil peluang untuk mengenali dengan lebih lanjut pasukan dari Pantai Timur ini atau lebih tepat lagi dari Negeri Terengganu.

Kenali FC Pemanis.


Pasukan Bola Sepak Belia Pemanis (FC Pemanis) diwujudkan secara tidak rasmi pada tahun 1958

Namun bermula tahun 2015 pasukan ini mula bergiat aktif dan melakukan pembaharuan secara berperingkat terhadap pasukan disamping mula menyertai liga-liga dan kejohanan yang dianjurkan disekitar kawasan mereka.

Bermula dengan menyertai kejohanan kecil, FC Pemanis mengorak langkah dengan mula menyertai kejohanan seperti Liga Dun,Kejohanan Milo dan Liga Daerah.


Majlis memperkenal FC Pemanis.


Profil Pasukan FC Pemanis 2017
Pengurus : Rafi
Ketua Jurulatih : Buyuk
Penolong Jurulatih : Joe Mang Wey

Senarai Pemain 

1.            Kecek TNB (c)   2.  Akeng                 3.  Aizat UMT               4. Along Ws

5.            Ang                    6. Azreen JNG        7.   Azwan Deka JNG   8. Firdaus JNG

9.            Idham UMT      10. Joe Mang Wey   11. Lufang WS             12. Lukmang Yopor

13.    Mamat Kori         14. Mat Jak              15.Mat Kutak               16. Mirul IPD

17.     Sudin Cik Doh    18.Syafiq OM          19.Yang Padang          20.YO TNB

21.         Zul JNG








 

Info Jurulatih.
Nama : Mohd Fairus Alias
Posisi : Ketua Jurulatih / Tengah
     
Beliau pernah menyertai barisan kejurulatihan Simedarby Plantation Football Club selama seminggu untuk kejohanan berprestij Sime Darby yang berpusat di Sime Darby Plantation Academy, Carey Island.

Disamping itu juga, Coach Buyuk juga berkhidmat dalam kejurulatihan bolasepak serta futsal di UMT - Universiti Malaysia Terengganu serta Young Titans Football Academy


Penaja.
Walapun cuma sebuah kelab yang berasaskan komuniti, namun percaya atau tidak kelab ini telah mendapat tajaan daripada 11 penaja yang sudi menaja pasukan ini.

Bukan calang-calang penaja yang sudi menaja pasukan ini, lihat senarai penaja mereka:

























Liga Malaysia.
Merasakan masih banyak yang perlu dipelajari, FC Pemanis belum menetapkan sasaran untuk pasukan ini menyertai Liga Malaysia dalam masa terdekat dan hanya fokus kepada kejohanan yang disertai sekarang - Liga Daerah disamping membentuk pasukan yang mantap dari segi kewangan dan pembentukan pemain serta kumpulan penyokong mereka sendiri.

Namun begitu, FC Pemanis tidak menolak jika satu hari nanti mereka akan menyertai Liga Malaysia.

"Masih banyak yang perlu kami pelajari sebelum kami sedia menyertai Liga Malaysia. Faktor kewangan, sumber kewangan, pengurusan pasukan, cara betul menguruskan sebuah pasukan, itulah yang kami sedang pelajari sekarang disamping cara-cara untuk memasarkan jenama kami (marketing)"





Buat masa sekarang, FC Pemanis dalam usaha mengembangkan pengaruh mereka di Kuala Terengganu khususnya (penyokong) dan mula memasarkan jenama pasukan ini dalam usaha mereka untuk membentuk sebuah pasukan bola sepak komuniti yang mantapkan dari segi kewangan,pembangunan dan pengurusan serta pemasaran pasukan.

#SatuDenyutNadi




Sumber :https://mykakibola.blogspot.my/2017/04/kenali-pemanis-fc.html?m=1