Saturday, 29 July 2017

Rebut peluang bangunkan industri pelancongan Terengganu



KUALA TERENGGANU 29 Julai - Penggiat pelancongan di negeri ini diminta berada dua langkah di hadapan dalam merebut peluang untuk membangunkan industri pelancongan Terengganu.


Timbalan Pengerusi II Jawatankuasa Pelancongan dan Kebudayaan Negeri, Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman berkata, kerajaan negeri sentiasa mengalu-alukan penyertaan dan kolaborasi ramai pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) selaras untuk membolehkan penjanaan pendapatan yang lebih mampan, bersepadu serta telus.


Oleh itu, katanya, penggiat industri perlu melakukan transformasi minda di samping peka terhadap setiap perkembangan semasa yang berlaku di Terengganu seperti penganjuran program mahupun acara pelancongan.



"Sudah sampai masanya penggiat pelancongan berada dua langkah di hadapan dalam mendapat kelebihan kompetitif mendahului rakan niaga lain mendapatkan pelanggan.


"Inisiatif yang diambil oleh mereka ini secara tidak langsung dapat dimanfaatkan melalui penjualan pakej-pakej pelancongan berdasarkan kepada minat pelanggan terhadap program dan acara yang dianjurkan," katanya.


Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Makan Malam Meraikan 22 Peserta Program Matta Fam Trip Ke Terengganu di sini malam tadi.


Yang hadir sama, Pengarah Jabatan Pelancongan Negeri, Tun Ahmad Faisal Tun Abd. Razak.


Program Matta Fam Trip selama tiga hari sejak kelmarin itu merupakan anjuran Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu.

Friday, 28 July 2017

BEG TERBESAR DUNIA DI PB SQUARE




KUALA TERENGGANU 27 Julai - Bandar raya ini menjadi lokasi terakhir bagi siri jelajah pameran beg terbesar dunia apabila ia kini ditempatkan di pusat beli-belah Paya Bunga (PB) Square di sini untuk tontonan umum selama 10 hari, bermula hari ini.

Beg pegang ‘holdall’ yang mendapat pengiktirafan The Guinness World Records dua tahun lalu itu dihasilkan daripada 2,984 kemeja terpakai oleh 1,492 peserta

Pengerusi Persatuan Seni Jahitan Kreatif (PSJK), Fully Chye Goet Lee berkata, beg berwarna-warni berukuran 7.62 meter panjang, 3.04 meter lebar dan 5.6 meter tinggi tersebut akan ditempatkan di sebuah galeri di pusat beli-belah One City, Subang, kelak.


“PSJK dengan usahasama Pusat Latihan Kraftangan Epal telah mewujudkan galeri pameran terbesar di Asia yang terletak di One City, jadi beg ini akan ditempatkan di situ untuk tatapan masyarakat,”ujarnya.


Beliau berkata demikian pemberita selepas majlis perasmian pameran beg itu dan pelbagai karya seni jahitan kreatif yang disempurnakan oleh Isteri Menteri Besar, Toh Puan Seri Halina Zakaria, pagi ini. - UTUSAN ONLINE

LPT2 LAKSANA SISTEM TRANSAKSI TOL ELEKTRONIK SEPENUHNYA 14 OGOS







KUALA TERENGGANU 27 Julai- Sistem transaksi pembayaran tol secara elektronik sepenuhnya di Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT2) bakal dilaksanakan mulai 14 Ogos depan.

Pengurus Besar LPT2 Sdn. Bhd., Husni Md. Yusuf berkata, LPT2 sebagai lebuh raya ke-31 dan terakhir yang menggunakan sistem pembayaran tol tanpa tunai bagi melancarkan lagi perjalanan.

Beliau berkata, sistem transaksi secara elektronik menggunakan kad Plusmiles, Touch n Go atau Smartag berkenaan bakal melibatkan 10 plaza tol di sepanjang laluan.

"LPT2 dilalui oleh purata 14,000 pengguna yang majoritinya dengan kenderaan persendirian setiap hari, dan 63.8 peratus pengguna sudah membayar tol dengan menggunakan sistem transaksi elektronik

Sunday, 16 July 2017

Laluan Jabor-Kijal ditutup sementara


KUALA TERENGGANU: Laluan di Kilometer 250 dan Kilometer 305.9 antara Jabor dan Kijal yang meliputi sebahagian daripada Lebuhraya Pantai Timur (LPT) iaitu LPT1 dan LPT2 akan ditutup sementara pada 22 Julai ini.

Laluan terbabit akan ditutup bermula pada jam 5 pagi hingga 2 petang bagi memberi laluan kepada penganjuran acara berbasikal De'Perasing Ride @ LPT2.

 Pengurus Besar LPT2 Sdn Bhd, Husni Md Yusuf berkata, penutupan laluan berkenaan juga membabitkan beberapa persimpangan iaitu persimpangan bertingkat di Cheneh dan Chukai.

"Sepanjang penutupan jalan berkenaan dibuat, orang ramai dinasihatkan menggunakan laluan alternatif, iaitu pengguna dari arah Kuala Lumpur ke Pantai Timur boleh keluar ke LPT1 melalui Plaza Tol Jabor.

 "Bagi yang ingin melalui LPT2, mereka dinasihatkan supaya masuk semula ke LPT2 menerusi Plaza Tol Kijal," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Husni berkata, bagi kenderaan dari arah Kuala Terengganu ke KL, mereka perlu keluar ke Plaza Tol Kijal di LPT2 sebelum masuk semula ke LPT1 melalui Plaza Tol Jabor.

"Pihak kami juga bekerjasama dengan pihak polis dan beberapa lagi agensi untuk memastikan kelancaran trafik kepada orang ramai sepanjang acara itu berlangsung.

 "Laluan berkenaan dijangka dibuka semula kepada orang ramai pada jam 2 petang sebaik acara itu berakhir," katanya. - BH Online                      

Thursday, 13 July 2017

Pantai Batu Buruk diwarta kawasan larangan merokok


KUALA TERENGGANU - Pantai Batu Buruk di sini yang terkenal sebagai lokasi tumpuan penduduk tempatan dan pelancong beriadah menjadi pantai peranginan pertama di negara ini yang digazetkan sebagai kawasan larangan merokok berkuatkuasa 1 Julai lalu.

Pengarah Kesihatan Terengganu, Dr. Mohammad Omar berkata, pewartaan kawasan larangan merokok itu bukan sahaja melibatkan kawasan pantai malah sebahagian besar premis sekitarnya yang terletak di Jalan Haji Busu, Jalan Persinggahan dan Jalan Kelab Kerajaan seluas kira-kira 49 hektar.


"Ia termasuk Masjid Al-Muktafi Billah Shah, stadium hoki, kolam renang, Taman Rekreasi Batu Burok, Hospital Sultanah Nur Zahirah, padang boling padang, pentas budaya, taman permainan kanak-kanak dan semua premis perniagaan dan medan selera serta gerai makanan.

"Pewartaan tersebut merupakan sebahagian inisiatif Terengganu Bebas Rokok yang bertujuan melindungi kepentingan orang awam daripada bahaya asap rokok," katanya sewaktu merasmikan penggazetan Pantai Batu Buruk sebagai kawasan larangan merokok di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Polis Terengganu, Datuk Aidi Ismail dan Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Idris Abd. Rafar.- K! ONLINE

Wednesday, 12 July 2017

RAKYAT MALAYSIA WAN KUZAIN TANDATANGAN PENUH DENGAN LIGA BOLA SEPAK AMERIKA



Mungkin tak ramai lagi yang mengenali bakat luar biasa Wan Kuzain Wan Kamal . Pada tahun 2015, dia telah berlatih bersama akademi kelab Eredevisie Belanda, Feyenoord kemudian beraksi untuk skuad bawah 17 tahun Amerika Syarikat.

Pemain berusia 18 tahun ini sebelum ini bermain sebagai pemain kontrak Swope Park Rangers. Bagaimanapun, baru-baru ini dia telah menandatangi kontrak penuh untuk United Soccer League bersama Rangers.

“Saya rasa teruja dan gembira sekali. Saya mahu berterima kasih kepada Sporting Kansas City dan Swope Park Rangers kerana mempercayai saya dan saya tidak sabar untuk mula berlatih.”

“Saya rasa Kuzain adalah salah seorang prospek terbesar yang pernah kami ada dari akademi.

“Dia menunjukkan kepintaran dalam permainan, seorang pemain yang laju dan saya percaya jika kita berikan dia masa untuk berkembang dan meletakkan dia dalam persaingan sengit seperti di Swope Park Rangers, dia akan menjadi pemain yang perlu diperhatikan di masa hadapan.” jelas jurulatih Rangers, Nikola Popovic.

Sumber: FourthOfficial SportingKC

Tuesday, 11 July 2017

'Pengadil Melakukan Kesilapan, Sepatutnya Penalti Dihadiahkan' - Bekas Pengerusi Jawatankuasa FAM


Kuala Terengganu: “Jika prestasi pengadil tidak ditangani segera ia bukan hanya menyebabkan pasukan teraniaya tapi juga boleh membunuh semangat penonton hadir ke stadium,” kata bekas Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Che Mat Jusoh.
Beliau berkata, hal ini kerana peminat hadir ke stadium untuk menyaksikan perlawanan bola sepak yang menarik tanpa ada sebarang kontroversi tidak diingini.
“Selain itu, mereka yang datang dari pelbagai tempat sama ada jauh atau dekat juga terpaksa berkorban masa dan wang ringgit semata-mata untuk menyokong pasukan kegemarannya.
“Tapi jika prestasi pengadil masih berada di tahap lama dan tidak meningkat, sudah tentu penonton mulai berasa bosan dan seterusnya tidak hadir ke stadium untuk memberikan sokongan dalam sesuatu perlawanan.
“Akhirnya siapa yang rugi? Bukan hanya persatuan bola sepak negeri tapi impaknya juga kepada pasukan negara apatah lagi tahun ini negara menjadi tuan rumah Sukan SEA,” kata Che Mat.
Beliau yang juga bekas Naib Presiden FAM berkata demikian sebagai mengulas keputusan pengadil perlawanan Mohd Fairuzi Mat Desa yang tidak memberikan sepakan penalti kepada Terengganu ketika aksi Piala Malaysia peringkat kumpulan bertemu Johor Darul Ta’zim.
Pada aksi di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah Jumaat lalu, biarpun jelas pemain Johor DT, Azrif Nasrulhaq Badrul Hisham dengan sengaja menggunakan tangan untuk menolak bola dalam kotak penalti, tetapi pengadil tetap dengan pendiriannya tidak menghadiahkan penalti.
“Selepas beberapa kali melihat klip video yang sudah tular itu, saya dapat rumuskan pengadil melakukan kesilapan, sepatutnya sepakan penalti dihadiahkan kepada Terengganu dan pemain lawan sekurang-kurangnya dilayangkan kad kuning kerana sengaja menahan bola dengan tangan.”
- Harian Metro


Sunday, 9 July 2017

Salah guna rumah subsidi kerajaan: Terengganu laksana operasi pemutihan

KUALA NERUS: Kerajaan Negeri Terengganu akan melaksanakan operasi pemutihan terhadap mana-mana pemilik rumah yang menyalahgunakan pemberian subsidi melalui Rumah Mampu Milik (RMM) di negeri ini.





Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata beliau telah menerima aduan terdapat segelintir pemilik RMM yang tidak tinggal di rumah itu sebaliknya menyewakannya kepada orang lain atau menjadikannya sebagai rumah inap desa untuk disewa.

"Ini tidak sepatutnya berlaku kerana mereka memiliki rumah itu dengan subsidi kerajaan. Menyalahgunakan kemudahan ini menyebabkan kerajaan tidak dapat mencapai matlamat asal program subsidi RMM untuk membantu mereka yang layak.

Sebab itu saya sudah mengarahkan Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT) mengambil tindakan terhadap pemilik rumah ini dengan memulangkannya semula agar boleh diberi kepada mereka yang benar-benar memerlukan," katanya.

Beliau berkata demikian di Majlis Perhimpunan Penyayang dan Sambutan Aidilfitri Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) di sini hari ini.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri, Roslee Daud dan Pengarah JKNT, Dr Mohammad Omar.

Selain itu, Ahmad Razif berkata PMINT juga akan membuat saringan kepada pemilik RMM yang masih belum menduduki rumah mereka tanpa sebab yang munasabah supaya mengembalikannya kepada PMINT.

"Ini kerana masih ramai rakyat Terengganu yang masih belum memiliki rumah berminat mahu menduduki RMM yang masih kosong kerana tidak diduduki pemilik sebenar," katanya.

Terdahulu dalam ucapannya, Ahmad Razif berkata 5,900 lot tanah yang akan mula diiklankan pada 1 Ogos nanti akan memberi keutamaan kepada golongan yang layak.

"Mereka mestilah berusia antara 21 hingga 40 tahun dengan pendapatan bulanan bawah RM2,500 serta sudah berkahwin.

"Syarat seterusnya mereka tidak pernah memiliki apa sahaja rumah hasil subsidi kerajaan seperti RMM, rumah kos rendah atau rumah di projek perumahan rakyat termiskin (PPRT)," katanya.

Ahmad Razif berkata kegagalan mereka membina rumah dalam tempoh tiga tahun selepas menerima tanah itu boleh menyebabkan tanah berkenaan dirampas kembali oleh kerajaan negeri.

"Kita mahu mereka yang benar-benar layak, terima lot tanah percuma ini agar keperluan asas mereka dapat dipenuhi untuk kehidupan yang lebih selesa.

Keutamaan juga diberi kepada keluarga yang duduk beramai-ramai dalam sebuah rumah kerana tidak boleh menyewa rumah pada harga di luar kemampuan mereka," katanya.- BERNAMA




(VIDEO) Terengganu 'Teraniaya', Pengadil Menafikan Kemenangan Terengganu


Kuala Terengganu: “Situasi dan bukti bagaimana lagi yang dimahukan pengadil untuk melayakkan Terengganu mendapat sepakan penalti? Apa yang dapat kita saksikan ialah pengadil secara jelas menafikan kemenangan Terengganu dan jika ikutkan hati, saya tidak mahu membuat sebarang aduan dan laporan kepada FAM (Persatuan Bolasepak Malaysia) kerana sudah tahu apa jawapannya selain ia tidak akan memberi sebarang makna kepada kami.
“Tapi, demi untuk meningkatkan mutu pengadilan bola sepak negara, Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT) akan menghantar aduan secara rasmi kepada FAM dalam masa terdekat,” kata Timbalan Presiden 1 PBSNT Datuk Wan Nawawi Wan Ismail.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas keputusan pengadil perlawanan Mohd Fairuzi Mat Desa yang tidak memberikan sepakan penalti kepada skuad Penyu biarpun jelas pemain Johor Darul Ta’zim (Johor DT) Mohd Azrif Nasrulhaq Badrul Hisham dengan sengaja menggunakan tangan untuk menolak bola.
Berikutan keputusan pengadil yang dilihat tidak profesional dan dengan sengaja tidak memberikan sepakan penalti kepada Terengganu biarpun dapat melihat dengan jelas insiden pada minit ke-69 itu membuatkan skuad tuan rumah terpaksa berputih mata untuk mengutip tiga mata selepas sekadar seri 0-0 dalam aksi kedua Kumpulan D saingan Piala Malaysia di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, malam kelmarin.
Wan Nawawi yang berada di stadium menyaksikan perlawanan itu mengaku kecewa dan terkilan dengan keputusan pengadil yang seolah-olah menafikan hak Terengganu untuk mendapatkan jaringan.
Beliau berkata, sepatutnya pengadil tidak perlu berfikir panjang untuk memberikan sepakan penalti kepada tuan rumah kerana ia berlaku bukan dalam situasi kelam kabut.
“Entah apa yang difikirkan pengadil kerana pemain lawan sengaja menggunakan tangan, semua boleh nampak dengan jelas apatah lagi perlawanan itu disiarkan secara langsung.
“Selain itu, klip video insiden berkenaan kini sudah tular di laman sosial dan jika diamati ia bukti jelas menunjukkan pengadil melakukan kesilapan besar dan yang pasti Terengganu teraniaya.
“Bagi saya keputusan itu juga adalah satu kerugian besar kepada Terengganu untuk mengutip tiga mata pertama apatah lagi beraksi di laman sendiri,” katanya sambil menambah sudah tiba masanya FAM menggunapakai video rujukan sebagaimana dalam perlawanan hoki demi peningkatan mutu pengadilan dan mengelak sesebuah pasukan teraniaya. - metro





Wednesday, 5 July 2017

DE’PERASING RIDE@LPT2 TAWAR HADIAH KESELURUHAN RM53,000

Petaling Jaya, Rabu: LPT2 Sdn Bhd (LPT2) menawarkan hadiah keseluruhan berjumlah RM53,000 pada acara kayuhan basikal di Lebuhraya Pantai Timur 2, De’ Perasing Ride@LPT2 pada 22 Julai ini

Pengurus Besar LPT2, Husni Md Yusuf berkata, “De’ Perasing Ride@LPT2 bakal menjadi program kayuhan basikal yang pertama diadakan di lebuh raya di Pantai Timur anjuran LPT2 Sdn Bhd dan turut mendapat kerjasama Lembaga Lebuhraya Malaysia serta Kerajaan Negeri Terengganu bersempena dengan Tahun Melawat Terengganu tahun ini.”



Menurut Husni, De’ Perasing Ride@LPT2 yang mensasarkan sebanyak 1,500 penyertaan, akan bermula dan berakhir di R&R Perasing di Lebuhraya Pantai Timur 2.

Acara kayuhan tersebut dibahagikan kepada beberapa kategori bergantung kepada jenis basikal iaitu Roadbike sejauh 92 kilometer dan MTB sejauh 55 kilometer.

Dengan yuran pendaftaran sebanyak RM100, setiap peserta akan menerima jersi kejohanan, medal, kupon makanan dan lain-lain lagi.

“Apa yang menarik, De’ Perasing Ride akan mengetengahkan konsep Perkhemahan Jamboree Basikal sepertimana yang sering dianjurkan di luar negara di mana peserta akan berkumpul dan berkhemah di lokasi tapak perlumbaan pada malam sebelumnya. Pihak penganjur juga menyediakan khemah untuk disewa oleh peserta sebelum mereka menyertai perlumbaan pada 22 Julai,” jelas beliau.


Untuk mendaftar, orang ramai boleh melayari laman web www.bikeaway.com.my atau menghubungi talian 011-1322 8966 (Ezani). 

Monday, 3 July 2017

Lorong Jalan Tengku Mizan ditutup enam hari



Para pengguna jalan raya dari arah Batu Enam ke pusat bandaraya ini dinasihatkan menggunakan laluan alternatif melalui Jambatan Pulau Sekati dan Jambatan Manir berikutan penutupan satu lorong di Jalan Tengku Mizan mulai esok hingga 9 Julai ini.
Pengarah Kerja Raya negeri, Ir. Ab. Hamid Md. Daud dalam kenyataannya hari ini berkata, lorong itu ditutup bermula pukul 9 pagi hingga 6 petang dan akan kembali dibuka seperti biasa selepas waktu tersebut.
Menurutnya, penutupan satu lorong di Jalan Tengku Mizan yang menghala ke Jambatan Sultan Mahmud itu dibuat berikutan kerja pemasangan rasuk jejambat (flyover).
Katanya, manakala bagi pengguna dari arah pusat bandaraya ke Seberang Takir pula boleh menggunakan laluan alternatif susur keluar ke Kampung Serdang Baru, sepanjang tempoh enam hari penutupan lorong berkenaan

TERENGGANU BUKA PERMOHONAN 5,900 TANAH LOT KOSONG








Kerajaan Terengganu akan mengiklankan 5,900 tanah lot kosong di seluruh negeri untuk pembinaan rumah kediaman bagi rakyat negeri ini yang berkelayakan awal bulan depan, kata Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman.

Beliau berkata keutamaan permohonan diberikan kepada mereka yang belum pernah memiliki sebarang lot tanah di negeri ini dan beberapa syarat lain akan ditetapkan kemudian oleh Pejabat Tanah dan Galian (PTG).

“Kita telah mengenalpasti sebanyak 5,900 lot tanah yang masih kosong dan belum mempunyai pemilik di Terengganu dan senarai tanah-tanah ini akan diiklankan dalam masa terdekat di setiap PTG di seluruh negeri,” katanya selepas merasmikan Mesyuarat Agong Kesatuan Penolong Pegawai Tanah Semenanjung Malaysia (KPPTSM) Perhubungan Negeri Terengganu ke-38 di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Gong Badak, di sini hari ini.



Turut hadir, Pegawai Daerah Kuala Nerus, Dato’ Tengku Farouk Hussien Tengku Abd Jalil, Timbalan Pengarah PTG Negeri Terengganu, Jailani Ismail, serta Yang Dipertua KPPTSM Cawangan Terengganu, Mohd Fauzi Ngah.


Ahmad Razif berkata, proses pembahagian tanah akan dibuat sepertimana Projek Rumah Mampu Milik mengikut beberapa syarat yang telah ditetapkan oleh pihak kerajaan seperti belum memiliki sebarang tanah sebelum ini dan bayaran premium tanah sebanyak 10 peratus daripada nilai tanah tersebut.

“Selain itu, bagi permohonan yang telah diluluskan perlu membina rumah dalam masa tiga tahun dan sekiranya syarat ini tidak dipatuhi, pihak kerajaan akan mengambil semula tanah berkenaan untuk diberikan kepada orang lain,” katanya.

Bagaimanapun, kata Ahmad Razif golongan miskin dan kurang berkemampuan akan diberi kelonggaran iaitu bayaran nominal sebanyak RM100 dan bantuan rumah PPRT berharga RM40,000.

Sunday, 2 July 2017

Naik bot bira pata di Uptown Kontena


Satu lagi tarikan baharu kepada pengunjung Kuala Nerus apabila anda berpeluang menyusuri pinggir pantai di sekitar daerah ini sambil menikmati pemandangan indah menaiki bot pada waktu petang.

Melalui perkhidmatan bot Santai Pantai yang diperkenalkan oleh Qaiser Boat Tour di Uptown Kontena, Pantai Tok Jembal di sini, pastinya memberi pengalaman sukar dilupakan kepada orang ramai.

Bermula di Pantai Tok Jembal, pengunjung akan dibawa ke Pantai Wakaf Tengah, Teluk Ketapang dan lain-lain lagi.

Kemudahan dari pukul 4 petang hingga 7 malam ini menawarkan kadar tambang cuma RM25 untuk dewasa manakala RM10 bagi kanak-kanak berumur tujuh hingga 12 tahun.

Mereka yang berminat boleh menghubungi Kerul di talian 019-9991221.

Sesiapa yang sudah mencuba perkhidmatan ini, bolehlah berkongsi pengalaman anda dengan kami.

LINTASAN TERAPUNG 3D



Kuala Nerus: Lintasan pejalan kaki tiga dimensi (3D) memang tidak pernah dilihat di tempat lain tetapi inisiatif dan idea kreatif yang dilaksanakan Pejabat Daerah Kuala Nerus di jalan berhampiran medan selera berkonsep kabin, Dapo Pata di Tok Jembal di sini, menarik perhatian ramai.
Keunikan yang ditampilkan itu menarik perhatian ramai, sekali gus mengundang pengunjung medan selera berkenaan dan penduduk sekitarnya menggunakan lintasan terbabit untuk melintas jalan.
Ramai juga yang mengambil kesempatan untuk bergambar di atas lintasan berkenaan bagi mengabadikan keunikannya.
Bagi penduduk Kampung Jembal, Muhammad Hishamuddin Mad Zali, 28, kewujudan lintasan itu sesuatu yang dialu-alukan penduduk sekitar.
“Ia satu idea kreatif dan membuatkan kampung ini semakin popular apabila ramai tularkan keunikan lintasan berkenaan di media sosial.
“Ramai yang datang bergambar sejak wujudnya lintasan ini pada akhir bulan lalu dan mereka kemudian memuat naik di media sosial,” katanya.
Menurutnya, selain idea yang segar, lebih penting orang ramai dan pengunjung medan selera menggunakan lintasan terbabit untuk melintas jalan.
Sebelum ini memang sukar untuk menarik orang ramai menggunakan lintasan pejalan kaki tetapi dengan konsep sedemikian, ramai orang tertarik, sekali gus ia menjadi perkembangan yang baik.
“Saya berasakan konsep lintasan seperti ini wajar diperluas di tempat lain terutama di lokasi yang dikunjung ramai orang,” katanya.
Sementara itu, Pegawai Daerah Kuala Nerus Datuk Tengku Farouk Hussin Tengku Abd Jalil berkata, berikutan sambutan positif orang ramai yang tertarik dengan penghasilan lintasan terapung, Pejabat Daerah Kuala Nerus mengambil inisiatif mewujudkan satu lagi karya 3D berkenaan di Teluk Ketapang.
Lintasan 3D yang terletak di jalan utama berhampiran deretan gerai menjual ikan celup tepung itu siap, baru-baru ini.
“Pihak kami juga bercadang mewujudkan satu lagi lintasan pejalan kaki 3D di kawasan berhampirannya tidak lama lagi,” katanya ketika dihubungi.
Menurutnya, selain menjadi tarikan pelancong, lintasan pejalan kaki berkenaan diwujudkan bagi memperkenalkan kemahiran pelukis dari Terengganu kepada masyarakat luar.
“Selepas lintasan pejalan kaki 3D berhampiran Dapo Pata siap, pelukisnya mendapat banyak tempahan dan secara tidak langsung memberi pulangan kepada daerah dan negeri ini juga,” katanya

Saturday, 1 July 2017

TAK JADI BESARKAN LANDASAN LTPR



Kerajaan Negeri Terengganu menggugurkan rancangan pembesaran landasan di Lapangan Terbang Pulau Redang (LTPR) kerana kos dan kesan kepada industri pelancongan marin di pusat peranginan itu.
Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman berkata kerajaan negeri tidak akan meneruskan rancangan awal menaik taraf LTPR selepas mengambil kira pelbagai risiko dan pandangan pihak tertentu dan sebaliknya akan menambah bilangan kedai di sekitar lapangan terbang itu.
Katanya, pembinaan beberapa kedai terbabit bagi membolehkan usahawan menjual pelbagai jenis cenderahati dan barangan keperluan lain.

 “Kita sudah membuat keputusan mengekalkan lapangan terbang yang sedia ada dan juga bersetuju hanya menggunakan kapal terbang jenis ATR-72. Kita cuma kena tambah kemudahan memperbanyakkan kedai,” katanya di Setiu.
Beliau berkata demikian selepas mendengar taklimat daripada pihak Jabatan Pelancongan Negeri baru-baru ini terhadap potensi lapangan terbang yang mempunyai landasan sepanjang 1,050 meter (m) dan lebar 30m itu.
  
    Sebelum ini, pesawat Berjaya Air (ATR72-500) pernah membawa pelancong ke pulau itu dari Changi, Singapura pada 2010, penerbangan dari Subang bermula pada 2000 disusuli dari Seletar, Singapura setahun selepas itu.

     Operasi penerbangan terhenti sejak 2016 ekoran keadaan landasan yang tidak menepati dengan keperluan penerbangan sesebuah pesawat meskipun menggunakan ATR-72 kerana ia hanya mampu membawa penumpang pada kapasiti 40 orang sahaja sedangkan ia boleh memuatkan seramai 74 orang.
Sebelum itu, kerajaan negeri berhasrat menaik taraf lapangan terbang itu sebagai usaha membuka kunjungan pelancong ke pulau itu sepanjang tahun khususnya ketika kedatangan musim tengkujuh.
Kerajaan negeri bercadang untuk panjangkan landasan itu kepada 500m lagi bagi membolehkan kapal terbang yang lebih besar dapat mendarat.

      Menurut Ahmad Razif, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Kebudayaan Negeri, kertas kerja dan perancangan keputusan terbaru itu akan diajukan kepada Kementerian Kewangan dan pihak Berjaya Air untuk tindakan susulan.

    Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Rakit, Bazlan Abd Rahman berkata, sekiranya lapangan terbang itu beroperasi semula, ia akan dapat menarik lebih ramai pelancong terutama daripada negara China.
Katanya, cetusan idea Ahmad Razif untuk membuka pelbagai premis juga memberi peluang kepada penduduk di Pulau Redang berniaga dan memberi mereka ‘nafas’ semula untuk bekerja dalam pelbagai sektor di situ.
“Ia sesuatu yang sangat baik dan mampu memberi manfaat kepada 2,000 penduduk di sini. Malah kehadiran pelancong juga mungkin lebih kerap kecuali apabila tiba musim tengkujuh,” katanya.