Friday, 23 February 2018

Tok Mun Bakal Bertanding?


KUALA TERENGGANU: "Tok akan bertanding selagi hayat masih ada," kata bekas calon bebas Pilihan Raya Umum Ke-13, Maimun Yusof atau Tok Mun, 99.
Bagaimanapun katanya, beliau akan bertanding sekiranya pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membenarkannya menggunakan simbol istana serta ada pihak yang bersedia menyediakan kewangan.
"Masa tok bertanding dulu, tok guna duit simpanan tok sendiri untuk tujuan kempen termasuk deposit sebanyak RM10,000.
"Tapi sekarang ni tok tak ada duit sendiri dan kalau ada yang sudi bayar (biaya), tok akan bertanding dengan syarat SPR luluskan permohonan tok nak guna simbol istana.
"Kalau guna simbol lain tak ada guna tok bertanding kerana simbol istana itu adalah amanah orang dulu-dulu yang meminta tok menggunakan simbol itu bagi memperjuangkan nasib orang Melayu Islam," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Atas Tol di sini.
Tok Mun mendakwa, beliau mampu menang PRU sekiranya menggunakan simbol istana.
"Pemerintahan sekarang sudah jauh lari daripada landasan kerana orang Melayu sekarang hanya berada di hadapan sahaja sedangkan belakang mereka adalah bangsa lain dan bukan Islam.
"Tok hanya akan menang kalau guna simbol tu (istana). Dua kali tok bertanding guna simbol lain, tok kalah, buat rugi je," katanya.
Tok Mun yang masih mempunyai kekuatan deria pendengaran dan penglihatan yang baik berkata, biarpun wang simpanannya sudah banyak habis, beliau tidak serik selagi perjuangannya mahu membentuk pemimpin melayu Islam tidak tercapai.
"Kalau tok menang, sama ada orang nak ikut atau tak mboh (tidak mahu) ikut itu terpulang kepada mereka, janji tok dah sampaikan amanah tu," katanya.
Ketika ditanya berkenaan sebuah PERODUA Kancil di halaman rumahnya, Tok Mun berkata, kenderaan itu adalah miliknya yang dibeli bagi memudahkan bergerak.
"Tok tak reti nak bawak (memandu), kalau tok nak ke mana-mana tok mintak tolong kawan bawak (memandu), tok bagilah sikit pitih (duit) kat dia," katanya.
Calon bebas kerusi Parlimen Kuala Terengganu pada PRU-12, 2008 itu dianggap berjaya "mengalih undi" tokoh PAS ketika itu, Mohamad Sabu.
Pada PRU-12, Tok Mun menentang Mohamad Sabu dan calon Barisan Nasional (BN), Allahyarham Datuk Razali Ismail dan beliau hilang wang pertaruhan selepas memperolehi undi hanya sebanyak 685 undi.
Razali memenangi PRU-12 apabila memperoleh sebanyak 32,562 undi, manakala Mohamad meraih 31,934 undi.
Pada PRU-13, Tok Mun yang hanya berkempen dengan menaiki basikal tanpa bantuan jentera kempen untuk meraih undi sekali lagi hilang wang pertaruhan apabila hanya sekadar meraih sebanyak 182 undi.
Ketika itu, kerusi parlimen Kuala Terengganu dimenangi calon PAS, Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad yang kini memimpin Parti Amanah Negara (PAN) Terengganu.

Wednesday, 21 February 2018

Berbudi Pada Tanah


Kuala Nerus: Tindakan nekad seorang juruteknik berhenti kerja dua tahun lalu dan mengusahakan tanaman terung serta kacang bendi berbaloi apabila ia mula mengeluarkan hasil.

Mohamad Haniff Omar, 39, kini mampu memperoleh pendapatan mencecah empat angka, malah kejayaannya menjadi inspirasi kepada penduduk di Kampung Wakaf Mesira, dekat sini.

Menurutnya, dia berhenti kerja pada November 2016 sebelum mengusahakan kegiatan pertanian memandangkan kekurangan peluang pekerjaan di negeri ini.

“Selepas berhenti kerja, saya buntu memikirkan nasib diri dan keluarga serta cuba mendapatkan kerja di tempat baru tetapi gagal. Situasi tidak menentu ini memberi idea kepada saya untuk mengusahakan tanah terbiar seluas 0.6 hektar milik keluarga.

“Saya bertuah kerana hasrat ini disokong rakan, Alias Ismail, 39, yang turut sama membantu sejak Mei 2017 bermula dengan proses pembersihan kawasan tanah yang semak sebelum menanam kacang bendi dan terung pada Ogos tahun sama.

“Selepas sebulan, 1,500 pokok terung dan 1,200 kacang bendi mula mengeluarkan hasil sehingga Disember dengan perolehan RM4,000,” katanya ketika ditemui Harian Metro di kebunnya, semalam.

Mohamad Haniff berkata, pada peringkat permulaan ramai orang memandang rendah dan tidak yakin dengan kemampuannya, namun tanggapan itu berubah selepas tanamannya mengeluarkan hasil.

Katanya, dia juga berdepan pelbagai masalah dan cabaran dalam menguruskan tanaman kerana langsung tidak mempunyai ilmu atau pengalaman.

“Namun, saya cuba belajar daripada orang berpengalaman selain menyertai seminar pertanian dianjurkan pelbagai pihak di negeri ini untuk memastikan kegiatan pertanian yang dijalankan berjalan lancar.

“Saya bercadang untuk memperluaskan lagi saiz tanaman dalam tempoh terdekat bagi menghasilkan lebih banyak hasil sekali gus menampung permintaan yang tinggi di negeri ini,” katanya.

Menurutnya, melihat kejayaan musim pertama itu, dia meneruskan tanaman sama pada Januari lalu dan kini semua pokok sedang mengeluarkan hasil.

Katanya, menyedari tanaman terung dan kacang bendi mampu memberi hasil yang agak lumayan dia memohon tanah pertanian seluas empat hektar di Lembah Bidong untuk kegiatan pertanian itu dengan lebih serius.

“Saya harap permohonan untuk mengusahakan tanaman di Lembah Bidong menjadi kenyataan sekali gus memberi persepsi orang ramai terhadap bidang pertanian yang boleh menjana pendapatan lumayan,” katanya.

Sunday, 18 February 2018

Jersi TFC Versi Pemain Mula Dijual Esok

Perbezaan antara jersi versi pemain (kiri) dan jersi versi peminat (kanan)


Jersi Terengganu FC (TFC) bagi versi pemain yang akan mula dijual bermula esok dengan harga RM99.90 bakal memberi kepuasan serta keselesaan kepada pemakainya.

Pengarah Urusan Kobertbell Marketing (M) Sdn Bhd, Faeez Asry Yusof selaku pengeluar rasmi jersi pasukan tersebut berkata jersi versi pemain tersebut sangat berbeza dengan versi peminat yang mula dijual pada 3 Februari lalu.

Katanya, walaupun harganya lebih tinggi berbanding dengan versi peminat, teknologi yang digunakan untuk versi pemain merupakan teknologi terkini yang memberikan keselesaan kepada pemilik jersi itu.

"Versi pemain ini menggunakan teknologi 'dspex' dimana kain tersebut lebih ringan berbanding jersi versi peminat menjadikannya lebih selesa dipakai.

"Setiap logo TFC yang ada pada jersi versi pemain juga berbeza apabila mengenakan 'High Density Rubber Rise Material' manakala logo penaja pula menggunakan kaedah 'plastisol' menjadikan logo tersebut nampak lebih teliti pembuatannya," katanya.





Tambahnya, terdapat perbezaan ketara yang ditonjolkan oleh dua versi jersi TFC tersebut bersesuaian dengan kehendak peminat pasukan negeri itu.

"Bagi versi pemain jersi tersebut direka dengan kolar leher bulat manakala versi peminat pula kolar pada jersi tersebut berbentuk V.

"Selain itu, pada jersi versi pemain, terdapat pesak tambahan bagi menjadikannya lebih menarik berbanding jersi versi peminat," katanya.

Selain itu, pada jersi versi pemain, terdapat tambahan logo penaja iaitu SP Bumi yang tidak terdapat pada jersi versi peminat.


Sumber : http://www.teganukita.net/2018/02/jersi-tfc-versi-pemain-mula-dijual-esok.html

Thursday, 15 February 2018

sebuah motosikal “Grand Prize”



Mungkin anda pembaca bertuah , bakal memenangi sebuah motosikal  “Grand Prize” kepada pemenang utama bulanan dalam peraduan yang akan disiarkan pada bulan disember ini.
Untuk memenangi hadiah ini pembaca perlu memiliki keluaran ST bermula Februari sehingga Disember 2018 untuk melayakkan diri menyertai peraduan ini.
Bagi edisi bulan Mei, pihak ST akan menawarkan hadiah peraduan sebuah TV Plasma  untuk pemenang .
Hadiah ini diberikan sebagai menghargai sambutan baik yang diterima daripada rakyat dalam edisi Januari lalu.
Suara Transformasi merupakan akhbar rasmi kerajaan yang memaparkan banyak informasi mengenai pembangunan Negeri Terengganu dalam pelbagai bidang.
Selain ruang iklan jawatan kosong dan temuduga terbuka juga diletakkan dalam Suara Transformasi  bagi membantu orang ramai yang mencari pekerjaan terutamanya golongan muda.
Anda boleh dapatkan akhbar ini di pejabat Unit Komunikasi Negeri Terengganu, Pejabat Penyelaras Dun  berdekatan  dan pejabat-pejabat kerajaan berhampiran anda.

Wednesday, 7 February 2018

Terkilan gagal kutip tiga mata

Irfan Bakti

IRFAN Bakti berkata, dia sebenarnya menjangkakan TFC I dapat mengutip mata penuh selepas menyaksikan pasukan jiran tetangga itu beraksi buruk ketika bertemu Melaka United, pada aksi pembuka tirai, tempoh hari.

“Tapi malam tadi, nampaknya Kelantan beraksi dengan baik, mungkin pertukaran tiga pemain pasukan lawan itu telah mengubah rentak permainan mereka.

“Apapun, saya tetap gembira dapat kutip satu mata di tempat lawan. Ia satu keputusan yang adil bagi kedua-dua pasukan,” katanya pada sidang media sejurus perlawanan itu.
Pada pertemuan tersebut, TFC I terlebih dahulu di depan menerusi Tchetche Kipre seawal minit pertama tetapi sepakan penalti pemain import Kelantan, Do Dong-hyun (m-38) memastikan kedudukan 1-1 sehingga tamat permainan.  

Pada masa sama, pengendali berusia 67 tahun itu memberitahu, dia tidak gembira dengan persembahan pemainnya apabila memberi ruang terlalu banyak buat tuan rumah bergerak bebas, sepanjang aksi 90 minit itu.

“Saya jangka selepas menjaringkan gol seawal minit pertama, pemain saya lebih menekan tetapi malangnya ada dua hingga tiga orang tak kawal pergerakan lawan terutamanya pemain nombor 21 itu (Morgaro Gomis).

“Sudah tentu bila ketinggalan, Kelantan akan bangkit mencari gol penyamaan. Kedua-dua pemain sayap saya bukan tidak bermain dengan baik tetapi mereka sekadar memerhatikan pergerakan bola. Di situ ada sedikit kekurangan kita,” katanya.

Bagaimanapun, secara keseluruhan bekas pengemudi Felda United FC itu menjelaskan, dia puas hati prestasi pasukannya pada pertemuan dua musuh tradisi itu.    

“Kita masih bermain dengan baik tetapi tak dapat jaringkan gol. Kita juga ada peluang macam Kipre (Tchetche) di depan pintu gol tetapi terkena bahu tapi itulah bola sepak, adillah keputusan seri ini,” katanya.

Sementara itu, mengulas persembahan Lee Jun-hyeob, Irfan Bakti memberitahu, masih terlalu awal untuk menilai pemain import baharu TFC I dari Korea Selatan itu.

“Ini baru perlawanan pertama Jun-hyeob, lagi pun dia baru dua hari bersama kita. Pemain lain sudah serasi, jadi mungkin saya tak nampak lagi kelebihannya. Walaupun pernah berlatih dengan kelab di Kemboja tapi tahap kecergasan dia tak sama dengan pemain sedia ada,” katanya. -Sinar Online 


http://www.sinarharian.com.my/sukan/terkilan-gagal-kutip-tiga-mata-1.795021

Thursday, 1 February 2018

SME Corp bantu usahawan muda



Kesusahan hidup bukan penghalang buat Muhammad Faizu Enet Ghani yang tekad menceburi bidang keusahawanan apabila mengusahakan perniagaan ketupat palas hasil bantuan SME Corp.

Beliau sebelum ini bergelut untuk menyara keluarga selepas terlibat dalam kemalangan di tempat kerja pada tahun 2012 lalu bangkit membangunkan empayar perniagaan sendiri dalam usia yang muda.

Memulakan perniagaan bukanlah kerja mudah namun dengan usaha berterusan telah membuktikan tiada yang mustahil dengan syarat perlu berusaha dam bekerja dengan bersungguh-sungguh.

Pada tahun 2015 beliau menerima bimbingan dan galakan cara berniaga dan memasarkan produk oleh SME Corp melalui program program Tunas Usahawan Belia Bumiputera (TUBE) 2.0, Faizu menerima geran perniagaan sebanyak RM15,000 sebagai permulaan.

Usaha yang dilakukan oleh beliau membuahkan hasil sehinggakan menerima tempahan ketupat palas dari dalam dan luar Terengganu.

Setelah dua tahun berkecimpung dalam bidang perniagaan, beliau banyak belajar tentang liku-liku perniagaan terutama dari segi penjagaan kualiti perkhidmatan yang ditawarkan dan memastikan pelanggan sentiasa puas hati dengan hasil syarikat beliau. Perniagaan beliau kebanyakkan dipasarkan secara atas talian dan banyak menerima tempahan daripada dalam dan luar Terengganu.

Menerusi bimbingan yang disediakan di bawah program itu produktiviti ketupat palas yang diusahakan di bawah Syarikat Hulwah Frozen Food meningkat antara 800 hingga 1,000 biji dalam tempoh sehari.

Selain itu, usahawan muda ini juga kini mampu berpuas hati dengan pulangan jualan bagi tempoh setahun yang diterima sebanyak RM30,000 hingga RM40,000.

SME Corp. juga membantu mengembangkan lagi perniagaan milik Faizu bukan sahaja di pasaran Terengganu sahaja tetapi di pasaran luar negara iaitu di Perth Australia dan Arab Saudi.

Walaupun baru setahun beroperasi, syarikat Hulwah Frozen Food sudah mampu mengeluarkan empat produk sejuk beku dan siap masak seperti ketupat palas manis.

Menerusi bimbingan yang disediakan di bawah program itu produktiviti ketupat palas yang diusahakan di bawah Syarikat Hulwah Frozen Food meningkat antara 800 hingga 1,000 biji dalam tempoh sehari.

Selain itu, usahawan muda ini juga kini mampu berpuas hati dengan pulangan jualan bagi tempoh setahun yang diterima sebanyak RM30,000 hingga RM40,000.

Sementara itu bagi Pengarah SME Corp. Terengganu Muhammad Ibrahim berkata syarikat milik Faizu ini mempunyai pakej untuk berkembang maju.

‘SME Corp. Terengganu melihat potensi syarikat ini untuk terus berkembang dan telah membantu syarikat dalam proses membuka kilang memproses ketupat palas di Kompleks Usahawan Terengganu (KUT), Kubang Jela menerusi bantuan Geran Peningkatan Perindustrian Kecil dan Sederhana Bumiputera (BEEP) oleh SME Corp Malaysia dengan geran padanan sebanyak RM 58,975.00’.

‘Saya percaya dengan adanya kilang memproses ketupat itu, jumlah kapasiti pengeluaran produk dijangka akan lebih meningkat dua kali ganda dan produktiviti syarikat dapat ditingkatkan dengan tambahan kemudahan asas yang disediakan di kilang itu dan juga memerlukan tenaga pertambahan kerja’.

‘SME Corp Malaysia akan sentiasa melaksanakan program yang bersesuaian dengan jenis perniagaan yang dijalankan dan sentiasa memantau perkembangan PKS dari semasa ke semasa. Sebagai contoh penggunaan penarafan SCORE, SME Corp bersama rakan strategik akan dapat melihat syarikat kini semakin meningkat daripada penarafan satu bintang menerusi Penarafan Daya Saing PKS bagi Penambahbaikkan (SCORE) kepada penarafan dua dan tiga bintang dengan menggunapakai dana yang disediakan oleh SME Corp. dan Agensi lain’ katanya.

Walaupun kejap tapi gembira tengok Super Blue Blood Moon




KUALA TERENGGANU 31 Jan. -Hampir 1,000 orang berkumpul di pekarangan Dapo Pata, Pantai Tok Jembal di sini malam ini bagi melihat fenomena gerhana bulan penuh.

Fenomena cakerawala itu dapat disaksikan dengan jelas pada pukul 8.51 namun  bertahan dalam tempoh dua minit kerana langit diselubungi awan  
Namu pada saat-saat akhir tempoh gerhana selama sejam itu, bulan kembali kelihatan.
Pengunjung daripada pelbagai lapisan usia  tidak melepaskan peluang untuk bersama-sama dalam Program Jom Teropong Gerhana Bulan Penuh yang dijalankan mulai pukul 7.30 malam anjuran Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) melalui Institut Penyelidikan Alam Sekitar Pantai Timur (Eseri).

Sebanyak tujuh teleskop dan binokular disediakan buat mereka di samping taklimat berkenaan fenomena gerhana bulan penuh oleh penyelidik Eseri, Dr. Roslan Umar.
Antara pengisian lain adalah solat sunat gerhana dan pertandingan mewarna.
Menurut Roslan, keadaan cuaca di lokasi malam ini baik jika dibandingkan dengan kawasan cerapan lain, bagaimanapun faktor awan menyebabkan fenomena itu hanya kelihatan seketika.
Sementara itu, seorang pengunjung Zubidah Mohd. Dalin, 49, dari Kampung Padang Nenas dekat sini berkata, peluang menyaksikan gerhana bulan penuh tepat pukul 8.51 malam merupakan rezeki buat anak bongsunya, Ahmad Affan Azril, 12, yang meminati ilmu galaksi.

"Walaupun sekejap tapi dia cukup gembira dapat tengok gerhana tadi," katanya.-UTUSAN ONLINE