Tuesday, 6 November 2018

Aras Air Bahaya Di Sungai Utama Terengganu


KUALA TERENGGANU, 6 November - Kesemua sungai-sungai utama di Terengganu menunjukkan peningkatan aras air yang dikhuatiri akan menyebabkan berlakunya banjir.

Timbalan Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran Terengganu, Osman Abdullah berkata, tiga sungai melepasi waspada iaitu Sungai Chalok di Jambatan Chalok (trend menurun), Sungai Nerus di Kampung Langkap (trend menurun) dan Sungai Setiu di Kampung Besut (trend menaik).

"Manakala 2 sungai lagi melepasi amaran iaitu Sungai Telemong di Kuala Ping Hulu Terengganu (trend meningkat) dan Sungai Nerus di Kampung Bukit, Setiu (trend menaik)," jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika dihubungi pemberita hari ini, mengulas tentang info terkini keadaan banjir Terengganu.

Katanya, beberapa penempatan telah dinaiki air (local flooding) di Kampung Padang Kemunting, Kuala Nerus dan Kampung Sungai Buaya, Dungun.

"Kesemua 42 stesen hujan merekodkan hujan sekitar 20mm-100mm utk hari ini. Hujan 100mm direkodkan di Kampung Bukit Diman Hulu Terengganu (lembangan Sungai Marang).

"Purata jumlah hujan yang diterima bermula 1 hingga 5 November 2018 ialah 207mm," ujarnya.

Dalam pada itu, menurut Osman, susulan amaran cuaca buruk peringkat  jingga yang dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi (MET) Malaysia pada 5 November 2018, Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRABN) meramalkan kejadian banjir akan berlaku bermula jam 10.00 malam ini 6 November.

Ianya akan melibatkan beberapa kampung di sepanjang Sungai Telemong termasuk Kampung Basung, Kampung Teris, Kampung Tok Lawit, Kampung Tengkawang, Kampung Kuala Ping dan Kampung Kepah manakala Sungai Nerus akan melibatkan Kampung Langkap, Kampung Merbau Menyusut dan kawasan sekitarnya.

Banjir juga diramalkan berlaku pada 7 November 2018 bermula jam 11.00pagi yang melibatkan Kampung Matang, Kampung Nibong, Kampung Paloh Nyior dan Kampung Bukit Tadok, akibat limpahan sungai Telemong. Kesemuanya dalam daerah Hulu Terengganu.



Sumber 
https://www.teganukita.net/2018/11/aras-air-waspada-di-sungai-utama.html?m=1

Monday, 5 November 2018

Hampir 50 kampung di Terengganu dijangka dilanda banjir esok


sekadar hiasan

KUALA TERENGGANU – Susulan amaran cuaca buruk oleh Jabatan Meteorologi awal petang tadi, Jabatan Pengairan dan Saliran meramalkan banjir akan melanda dua daerah di negeri ini mulai malam esok.
Ia membabitkan kawasan sekitar lembangan Sungai Terengganu di daerah Hulu Terengganu (Sungai Telemong) dan Setiu (Sungai Nerus) dengan lebih 50 lokasi penempatan kemungkinan terdedah kepada limpahan sungai.
Dalam kenyataan berhubung amaran banjir lembangan Sungai Terengganu yang dikeluarkan oleh Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRABN) Jabatan Pengairan dan Saliran, orang ramai di kawasan berisiko diminta berwaspada.
Perkampungan yang dijangka terdedah kepada risiko di Hulu Terengganu termasuklah Pengkalan Ajar, Nibung, Paluh Nyior, Bukit Tanduk, Paya Besar, Matang, Batu 24, Menerong, Kepah, Pasir Dula, Bukit Peroh, Kuala Ping, Padang Stor, Teris, Basung, Tengkawang, Kuala Ping Tapah, Temala dan Bukit Gemuruh.
Di Setiu pula melibatkan Kampung Permaisuri, Buluh, Buruk, Tasik, Nyatoh, Langkap, Che Long, Ulu Seladang, Pengkalan Merbau, Chalok, Sungai Tong, Telaga Putat, Pengkalan Merbau, Gemia, Kubang Kesing, Gong Terap, Guntung, Gong Gelugor, Merbau Menyusup dan Guntung Dalam.

Sunday, 4 November 2018

Terengganu Perluas Kempen Henti Urus Niaga 15 Minit Waktu Maghrib

Pelancaran kempen berhenti urus niaga selama 15 minit waktu Maghrib akan disempurnakan oleh Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dalam sedikit masa lagi. Foto - Afiq M. Zaid
KUALA NERUS, 4 November - Kerajaan Terengganu telah memulakan kempen supaya semua urus niaga dihentikan selama 15 minit pada waktu Maghrib.

Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Industri Mikro dan Hal Ehwal Penjaja negeri, Mohd. Nurkhuzaini Ab. Rahman berkata, ia bertujuan untuk memberi ruang kepada peniaga dan pembeli menunaikan kewajipan solat.
“Kita minta supaya berhenti lima minit sebelum dan 10 minit selepas Maghrib dan perkara tersebut sudah dimulakan di Taman Selera Jerteh sejak 15 Syawal lalu.

“Insya-Allah kempen ini akan diperluaskan ke seluruh negeri di bawah portfolio penjaja negeri,” jelasnya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Putera berkata demikian selepas melancarkan Skim Kawalan Harga Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) sempena perayaan Deepavali di Mydin Mall, Gong Badak, semalam.


Sehubungan itu, beliau berkata, pelancaran akan dibuat di peringkat negeri, di lokasi yang dikenal pasti sudah mempunyai kemudahan berwuduk dan premis menunaikan solat.

Katanya, walaupun pada mulanya ada peniaga yang enggan menerimanya, namun ia berjalan dengan baik, setelah diberikan penjelasan.

“Lumrahlah, waktu itu (maghrib) ialah waktu puncak, tapi para peniaga yang majoriti orang Islam kita kena sedarkan mereka, punca rezeki adalah daripada Allah.

“Jadi bagaimana rezeki nak mari kalau kita tak tunaikan tanggungjawab (solat) dan alhamdulillah mereka dapat menerima dengan baik,” kata beliau.

Menurutnya, perkara yang sama pernah diamalkan oleh Kerajaan Terengganu pada tahun 1999, tetapi tidak diteruskan amalannya apabila Barisan Nasional mengambil alih pemerintahan pada tahun 2004.


Katanya, kempen tersebut dibuat pada waktu Maghrib kerana ia adalah masa yang singkat, berbanding waktu Isyak yang panjang, sehingga sebelum Subuh.

Sehubungan itu, kata beliau, pelancaran peringkat negeri akan disempurnakan oleh Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar setelah kemudahan asas berkenaan, terutamanya di pasar-pasar malam, dapat disiapkan.

“Hasrat saya sendiri dan kerajaan buat di semua (lokasi) peniaga kecil, di pasar-pasar malam, dengan kerjasama Syarikat Air Terengganu (SATU) dan penguatkuasa Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

“Saya berharap akan dapat dilancarkan oleh YAB Menteri Besar dalam waktu yang terdekat,” tambahnya.

Hadir sama, Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Terengganu, Saharuddin Mohd Kia.


sumber 
https://www.teganukita.net/2018/11/kempen-henti-urus-niaga-15-minit-waktu.html?m=1

Lesen Motor Percuma Hadiah Istimewa Buat Belia

KUALA TERENGGANU, 1 November- Satu lagi janji untuk anak muda akan terlaksana apabila kerajaan negeri bakal menghadiahkan lesen motosikal percuma kepada golongan belia bermula Januari 2019, sepertimana manifesto PAS negeri pada Pilihan Raya Umum Ke-14, baru-baru ini.


Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah, berkata, sebagai permulaan seramai 20,000 belia berumur 16 tahun ke atas hingga 40 tahun layak menikmati tawaran itu.

"InsyaAllah, pada awal Januari 2019, keseluruhan 32 Dewan Undangan Negeri (DUN) akan mendapat agihan jumlah pemohon yang sama rata iaitu seramai 625 belia yang layak untuk menerima bantuan lesen RM300 seperti kita janjikan sebelum ini.

"Ini termasuklah 12 Institut Memandu yang terdapat di negeri ini yang akan mendapat pecahan yang sama rata iaitu kira-kira 426 penerima lesen yang berjaya supaya tidak wujud monopoli di kalangan mereka (pengusaha) nanti,"katanya.

Beliau berkata demikian kepada Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI) selepas merasmikan Bengkel Manifesto Lesen di Wisma Kokitab, di sini, hari ini.


Wan Sukairi berkata, bengkel berkenaan diadakan bagi mencari kaedah terbaik bagi melaksanakan bantuan lesen yang merupakan salah satu janji daripada 20 manifesto yang bakal menjadi kenyataan tidak lama lagi.

"Kita adakan kerjasama dengan semua pihak termasuk agensi yang berkaitan seperti Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan institusi memandu.

"Hasilnya kita akan masukkan dalam mesyuarat induk manifesto dalam masa yang singkat untuk selaraskan dalam pembentangan bajet nanti,"ujarnya lagi.

Tambah Wan Sukairi, pihaknya juga mensasarkan pada pertengahan suku kedua 2019, pemberian lesen percuma ini dapat dilaksanakan secara menyeluruh.

"Namun begitu, akan ada jumlah tertentu dengan mengambil kira kewangan negeri," jelasnya.

Terdahulu, beliau berkata, tujuan pelaksanaan janji itu kerana mahu mengurangkan gejala rempit tanpa lesen termasuk mengurangkan bebanan keluarga yang sebelum ini terpaksa membayar RM300 untuk mendapatkan lesen di samping mengurangkan kadar kemalangan.

"Mungkin ada di antara kita yang tidak punyai kemampuan untuk dapatkan lesen yang bagi sesetengah pihak merasa jumlah itu kecil tetapi bagi sesetengah orang ia rasakan jumlah itu cukup besar.

"Tawaran ini juga akan mendedahkan belia terbabit supaya mengikuti kursus kaedah pemanduan untuk jadi pemandu yang berhemah,"katanya.


SUMBER 
https://www.teganukita.net/2018/11/lesen-motor-percuma-hadiah-istimewa.html?fbclid=IwAR0qLZrMT3fqf0c1gqdEJ0pkpyWRPDz_nRK0uLHUtRSopIWsyjL3qJ13h9c

Sunday, 14 October 2018

Saleem Iklim sudah tiada





PENYANYI popular, Saleem, meninggal dunia pada 6.15 pagi tadi di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM), Kuala Lumpur.
Perkara ini disahkan oleh isterinya Juriah@Julia Bachok kepada Harian Metro.
Saleem atau nama sebenarnya Am Saleem Abd Majeed, 56, dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), hospital itu selepas kemalangan motosikal pada 20 September lalu.


Dalam kejadian di Kilometer (km) 16, Lebuhraya Grand Saga itu, 12 tulang rusuk Saleem patah termasuk satu daripadanya tertusuk paru-paru.
Kemalangan berlaku pada 3.20 petang apabila Saleem yang menunggang motosikal dari arah Kajang menghala ke Cheras dilaporkan terbabit kemalangan dengan kereta dari arah laluan yang sama berhampiran Plaza Tol Batu 11, Kajang.
Ketika kejadian, pemandu kereta dilaporkan cuba membelok ke kiri untuk masuk ke susur pejabat Grand Saga di Plaza Tol Batu 11, sebelum sisi kiri bahagian hadapan keretanya dirempuh oleh motosikal Saleem.

Monday, 3 September 2018

Pasangan lesbian jalani hukuman sebat



KUALA TERENGGANU 3 Sept. - Hukuman sebat ke atas dua wanita setelah mereka mengaku bersalah kerana cuba melakukan hubungan seks sejenis bermula pukul 10 pagi dan selesai sepenuhnya kira-kira pukul 10.17 pagi ini.

Pasangan berusia 32 dan 22 tahun yang memakai baju kurung dan tudung putih itu disebat di khalayak ramai dalam kamar Mahkamah Tinggi Syariah di sini, yang dikendalikan oleh pihak Jabatan Penjara Malaysia.
Pesalah pertama yang berusia 32 tahun disebat kira-kira pukul 10.11 pagi manakala pesalah kedua pada pukul 10.16 pagi. Masing-masing dikenakan enam sebatan selain denda RM3,000.
Hukuman dijalankan di hadapan Hakim Syarie Kamalruazmi Ismail dengan disaksikan Ketua Hakim Syarie Terengganu, Wan Mohd. Zakri Wan Mohd. dan Hakim Kanan Syarie Terengganu, Rosdi Harun.
Lebih 100 orang menyaksikan hukuman itu yang dijalankan mengikut Seksyen 125 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001 yang dibaca bersama Seksyen 59 (1) enakmen yang sama kerana musahaqah.
Terdahulu, pesalah kedua yang bertudung warna coklat memasuki kamar mahkamah kira-kira pukul 8.23 pagi iikuti pesalah pertama yang bertudung merah pada pukul 8.33 pagi.
Suasana di tingkat empat mahkamah dipenuhi orang ramai termasuk dalam kalanga keluarga, pengamal media, wakil-wakil Persatuan Pegawai Syariah Malaysia di samping Majlis Peguam dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta orang awam.
Pasangan itu pada awalnya dijadualkan dhukum pada 28 Ogos lalu, namun terpaksa ditangguhkan kerana beberapa masalah trknikal.
Sebentar lagi, satu sidang akhbar akan dijalankan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Satiful Bahari Mamat dan Wan Mohd. Zakri. - UTUSAN ONLINE

Thursday, 31 May 2018

Permohonan Rumah Mampu Milik Kepada Rakyat Negeri Terengganu

Sukacita dimaklumkan permohonan rumah mampu milik kepada rakyat Negeri Terengganu kini dibuka bermula Rabu, 30 Mei 2018. Permohonan boleh dibuat secara online menerusi laman web eperumahan.terengganu.gov.my. Semoga dengan inisiatif ini dapat memenuhi impian semua memiliki rumah sendiri.

SYARAT-SYARAT
1. Pemohon atau pasangan merupakan rakyat Terengganu yang menetap dalam negeri Terengganu.
2. 21 tahun keatas, bagi pemohon yang berumur melebihi 50 tahun boleh dipertimbangkan dengan syarat mempunyai jaminan bayaran daripada ahli keluarga. (Ahli keluarga ditakrifkan daripada anak / adik beradik kandung).
3. Berkahwin; 10 % diperuntukkan kepada golongan bujang yang berpendapatan bulanan tidak melebihi RM 2,500.
4. Pemohon dan pasangan belum pernah memiliki rumah.
5. Pemohon dan pasangan tidak pernah menerima tanah anugerah kediaman daripada pihak kerajaan.
6. Pendapatan kasar bulanan isirumah (pemohon dan pasangan) tidak melebihi RM 3,500 sebulan.
7. Bagi pemohon dan pasangan dari penjawat awam, hanya yang bergred 1 hingga 22 sahaja layak memohon.
8. Isteri kedua / ketiga / keempat layak dipertimbangkan sekiranya mempunyai pendapatan bulanan tidak melebihi RM 2,500 sebulan.
9. Penerima hanya layak memiliki RMM / RPMM sekali sahaja dan sekiranya rumah tersebut dijual (selepas sekatan moratorium), penerima tidak layak lagi membuat permohonan kedua dan seterusnya.

CARA MEMOHON
TARIKH TUTUP
>>> Tarikh tutup akan diumumkan kemudian. Harap maklum.

Tuesday, 10 April 2018

tarikh pembuangan Undi PRU 14


Suruhanjaya Pilihan Raya ( SPR) telah mengumumkan tarikh-tarikh penting berkenaan Pilihan Raya Umum ke 14 sebentar tadi.
Tarikh penamaan calon telah ditetapkan pada 28 April 2018 dan diikuti dengan pengundian awal pada tarikh 5 Mei 2018 dan tarikh pembuangan Undi PRU 14 pada 9 Mei 2018
Kenyataan ini telah dikeluarkan oleh pengarah SPR  dalam satu sidang media khas hari ini.

Thursday, 22 March 2018

Hanelang FC bakal guna khidmat Sharbinee

Bekas penjaga gawang kebangsaan, Mohd Sharbinee Allawee bakal kembali beraksi dengan memperkuat pasukan Hanelang FC dalam saingan Liga FAM sebaik jendela perpindahan pemain dibuka Mei depan.


PASUKAN Hanelang FC tidak menolak kemungkinan bakal menggunakan khidmat bekas penjaga gawang kebangsaan, Mohd Sharbinee Allawee sebaik jendela perpindahan pemain dibuka Mei depan.

Pengendalinya, Ahmad Yusof berkata, pihaknya bersedia untuk kembali bekerjasama dengan Sharbinee, bagaimanapun sebarang keputusan muktamad bergantung kepada laporan kesihatan dari pasukan perubatan sebelum mendaftarkan pemain berusia 31 tahun itu.

Menurutnya, selaku penjaga gol berkualiti, khidmat Sharbinee sentiasa diperlukan dan mampu memperkuatkan lagi pasukan bagi mengharungi saingan Liga FAM musim ini.
“Semua tahu kredibilitinya malah dia juga sudah biasa dengan saya, jadi kita tidak ada sebarang masalah untuk menggunakan khidmatnya.

“Malah dia (Sharbinee) sudahpun menjalani latihan bersama rakan sepasukan dan telah menunjukkan perkembangan yang sangat positif,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengharungi aksi persahabatan bersama pasukan Terengganu FC II (TFC II) di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, kelmarin.

Februari tahun lalu, pasukan Terengganu terpaksa merehatkan Sharbinee selepas penjaga gawang utama skuad Penyu itu dikesan mengalami kanser paru-paru dan terpaksa menjalani kemoterapi.

Begitupun, usaha Sharbinee untuk kembali beraksi dilihat semakin membuahkan hasil apabila mula menjalani latihan bersama skuad utama Terengganu FC (TFC) musim ini.
Mengulas lanjut prestasi pasukan selepas mengharungi tiga perlawanan musim ini, bekas ketua jurulatih pasukan Terengganu itu mengakui pemain perlu segera bangkit daripada kekalahan ke atas Perlis tempoh hari.

“Maka peluang rehat selama dua minggu ini seharusnya dimanfaatkan dengan sebaik mungkin untuk memperbaiki setiap kelemahan pasukan menjelang pertemuan dengan satu lagi rakan senegeri, Terengganu City FC yang kini menerajui kumpulan B.



“Jadi pada perlawanan yang dijadualkan pada 1 April nanti, pemain tidak boleh keciciran mata memandangkan jurang perbezaan dengan dua pasukan teratas hanya dibezakan empat mata,” katanya. - Sinar Online

Sumber - http://www.sinarharian.com.my/sukan/hanelang-fc-bakal-guna-khidmat-sharbinee-1.812987

Umum calon 2 April

Tan Sri Annuar Musa

Kuala Lumpur: Senarai lengkap calon Barisan Nasional (BN) dijangka diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada 2 April, lima hari sebelum melancarkan Manifesto BN.
Sumber berkata, pengumuman itu mungkin diadakan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, yang dijangka dihadiri semua 13 pemimpin kanan parti komponen.
Difahamkan, Perdana Menteri selaku Pengerusi BN dijangka menyampaikan surat watikah kepada calon untuk bertanding di 222 kerusi Parlimen, kali pertama majlis seumpama itu diadakan.
Sementara itu, Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Annuar Musa ketika ditemui enggan memberitahu tarikh itu, tetapi mengesahkan majlis pengumuman calon BN itu dibuat sebelum pelancaran Manifesto BN.
Difahamkan, majlis pelancaran Manifesto BN dijangka diadakan secara besar-besaran di Stadium Putra, Bukit Jalil pada 7 April.
“Mungkin (umum calon) lebih awal kerana pastinya BN siap sedia (untuk pilihan raya) dan sudah bertemu Pengerusi Badan Perhubungan Negeri.
“Senarai nama (calon) ada dengan Perdana Menteri (PM). PM sudah menyempurnakan urusan (senarai calon), cuma terpulang (umum calon) kepada PM.
“Mungkin ada orang buat spekulasi (umum calon) pada 7 April, tetapi tidak mustahil PM boleh umumkan lebih awal daripada itu sebab PM dah ready (sedia umum calon),” katanya kepada wartawan The New Straits Times Press Berhad (NSTP), di sini, semalam.
Beliau bercakap selepas menghoskan bicara santai ‘Anda Tanya Kita Jawab’ Diskusi UMNO-Online bertajuk Kenapa Manifesto Pembangkang Ditalkin Awal?
Diskusi itu turut menampilkan tiga ahli panel iaitu Ahli Parlimen Rompin, Datuk Seri Hasan Ariffin, Ahli Parlimen Jerantut, Datuk Ahmad Nazlan Idris dan Presiden Belia Felda Malaysia, Muhammad Fadzli Hassan.
Sebelum ini, laporan NSTP menyebut Najib dijangka mengumumkan lebih awal senarai calon BN, tetapi tarikh untuk majlis yang bakal diadakan di PWTC itu belum diketahui. - hmetro

Sumber : https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2018/03/323340/umum-calon-2-april

Wednesday, 21 March 2018

Kekurangan sebagai OKU bukan penghalang untuk hidup

Sekitar jam 3 petang, Mohamad Ridzuan, akan menyusun barang
 di dalam basikal tiga roda yang dimilikinya

POKOK SENA: Ais krim Malaysia 50 sen dan ikan masin RM2 sepaket, menjadi modal seorang orang kelainan upaya (OKU) meneruskan kelangsungan hidupnya.

Dengan keuntungan yang tidak seberapa, antara RM5 hingga RM12 sehari, ia tidak pernah putus harapan dan mengeluh dengan nasib menimpa diri.





Mohamad Ridzuan Khalid, 29 tahun berkata, selagi mampu bergerak, kudrat badannya itu akan dikerah untuk mencari rezeki sendiri.

Sekitar jam 3 petang, Mohamad Ridzuan, akan menyusun barang-barang jualan di dalam basikal tiga roda yang dimilikinya.
Tanpa mempedulikan terik matahari, dia mengayuh basikal tiga roda sekitar lima belas kilometer dari rumahnya di Kampung Bukit Pinang, Pokok Sena sehingga ke Hutan Kampung, Alor Setar.

“Hidup ni memang susah tetapi nak buat macam mana... takkan saya nak duduk di rumah sahaja.

"Kena usaha cari duit untuk tampung hidup. Hendak bagi mak lagi, beli barang keperluan harian lagi," katanya

"Adakalanya berasa penat dan patah semangat jika jualan tidak laku tetapi ini adalah adat berniaga, ada untung, ada rugi," katanya ketika ditemui Astro AWANI baru-baru ini.

Tambah Mohamad Ridzuan, sebelum ini dia hanya mengesot untuk ke mana-mana termasuk berniaga.

Namun, jalan hidupnya dipermudahkan tuhan apabila menerima basikal roda tiga bernilai RM500 hasil sumbangan penduduk kampung.

Ridzuan merupakan anak tunggal dan tinggal bersama ibunya, Rodziah Nik Cha, 53 tahun di Kampung Padang Kunyit, Pokok Sena.

Ibu Ridzuan, yang juga pemegang kad OKU berstatus lembam, tidak dapat bekerja sejak dua tahun lalu kerana kurang sihat.

Bagi yang mahu meringankan beban dua beranak ini, boleh berbuat demikian dengan menyalurkan ke akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) di atas nama mohamad ridzuan khalid 02001-41-00001728-2.

Tuesday, 13 March 2018

SELAMATKAN MASJID SULTAN MAHMUD


Pembinaan kompleks perniagaan tiga tingkat dan sebuah hotel enam tingkat bernilai RM25 juta bersebelahan Masjid Sultan Mahmud di Kuala Berang telah dipolimikkan oleh beberapa pihak. Yang Dipertua PAS Kawasan Hulu Terengganu, Muhyiddin Abdul Rashid menjadikan projek Kerajaan Negeri Terengganu itu sebagai ‘modal politik’ dengan menubuhkan Jawatankuasa Bertindak Selamatkan Masjid Sultan Mahmud pada 2017. Jika dibiarkan berlarutan, isu berkenaan akan mengelirukan masyarakat, menyemai kebencian dan menutup segala kebaikan yang sedang dirancang. Justeru itu, persoalan yang timbul dan tohmahan yang tular di media sosial perlu diperjelaskan bagi ‘Selamatkan Masjid Sultan Mahmud’ daripada fitnah dan pembohongan.

ISU 1
Kompleks Perniagaan Masjid Sultan Mahmud dan hotel dibina tanpa kelulusan daripada Majlis Daerah Hulu Terengganu (MDHT). “Saya berjumpa dengan pihak majlis (MDHT) pada pagi ini dan pihak majlis mengesahkan kepada saya bahawa pihak majlis tidak pernah memberi kelulusan untuk pembinaan”, kata Muhyiddin pada 8 Mei 2017.

JAWAPAN
Surat Majlis Daerah Hulu Terengganu (MDHT) kepada Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) memaklumkan bahawa Mesyuarat Jawatankuasa Pusat Setempat (OSC) Bil. 06/2017 yang bersidang pada 22 Mac 2017 telah bersetuju MELULUSKAN permohonan UPEN bagi cadangan pembangunan hotel enam tingkat dan sebuah kompleks perniagaan tiga tingkat serta kerja-kerja infrastruktur yang berkaitan di atas lot 129, lot 130, lot 479 dan sebahagian lot 127, Kuala Berang, Hulu Terengganu. Bukan susah pun hendak menjadi seorang pembohong! Soalan kepada Muhyiddin, bilakah bangunan tiga tingkat yang menjadi Pejabat PAS Kawasan Hulu Terengganu di Kuala Berang mendapat kelulusan pelan bangunan daripada MDHT? Satu lagi, bilakah MDHT memberi kelulusan pelan bangunan kepada Madrasah Dar Al Ansar di Basung yang dikelolakan Ketua Pemuda PAS Negeri Terengganu?
Sumber fitnah daripada portal berita rasmi PAS Terengganu, https://buletinonline.net/…/mdht-tidak-pernah-luluskan-pem…/

ISU 2
Kompleks Perniagaan Masjid Sultan Mahmud dan hotel dibina di atas tanah milik siapa?

JAWAPAN
Masjid Sultan Mahmud dibina pada tahun 1991 dengan kos RM8 juta. Ia dibina oleh kerajaan negeri di atas lot 127 dan lot 311 yang telah selesai dibuat pengambilan balik tanah sebagaimana Borang K pada 20 April 1988 dan dijaga oleh Pesuruhjaya Hal Ehwal Agama Terengganu. Bagi lot 479, pengambilan balik tanah itu dibuat menurut Seksyen 3(a) Akta Pengambilan Balik Tanah 1960 bagi kegunaan awam untuk tambahan tapak masjid dan seterusnya diisytiharkan di bawah Seksyen 62 Kanun Tanah Negara dan dijaga oleh Pesuruhjaya Hal Ehwal Agama Terengganu. Pengambilan itu diluluskan oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Bil. 613/90 bertarikh 5 Julai 1990. Pewartaan Seksyen 8 Akta Pengambilan Balik Tanah 1960 (Borang D) sebagaimana Warta No. 750 bertarikh 16 Ogos 1990. Kos pengambilan balik sebanyak RM212,290.00 sebagaimana Baucer No. 4334-90 bertarikh 27 November 1990. Pengambilan balik ini turut melibatkan sebuah stor barang dan tiada bangunan lain terlibat.
Bagi lot 129 dan lot 130, pengambilan balik tanah itu dibuat menurut Seksyen 3(a) Akta Pengambilan Balik Tanah 1960 bagi kegunaan awam untuk pembesaran tapak masjid serta jalan masuk ke masjid dan seterusnya diisytiharkan di bawah Seksyen 62 Kanun Tanah Negara dan dijaga oleh Pesuruhjaya Hal Ehwal Agama Terengganu. Ia telah diluluskan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Bil. 1125/2006 bertarikh 31 Mei 2006. Pewartaan Seksyen 8 Akta Pengambilan Balik Tanah 1960 (Borang D) sebagaimana Warta No. 554 bertarikh 20 Julai 2006. Kos pengambilan balik sebanyak RM3,366,998.51 sebagaimana Waran Bil. W0000246 bertarikh 27 Ogos 2007. Borang K dikeluarkan pada 27 Februari 2008.
Di Terengganu, Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) merupakan pemegang amanah tunggal wakaf seperti yang termaktub di dalam Enakmen Pentadbiran Hal Ehwal Agama Islam (Terengganu) Tahun 2001 Seksyen 63.
Pembesaran tapak dan kawasan masjid tersebut selaras dengan usaha Kerajaan Terengganu ketika era pentadbiran Menteri Besar, Dato’ Seri Idris Jusoh yang mahu menjadikan masjid sebagai ‘one stop centre’ yang dilengkapi pelbagai kemudahan termasuk pusat IT, pusat tuisyen, kedai kopi, dobi, kedai gunting dan penginapan musafir selaras dengan konsep Islam Hadhari pada ketika itu. Usaha ini bagi mempelbagaikan fungsi masjid seperti di zaman Rasulullah SAW yang mana selain menjadi tempat ibadah, masjid merupakan tempat musyawarah, pusat pendidikan, tempat akad nikah, tempat latihan perang dan tempat merawat orang sakit.

ISU 3
Apakah hukum membangunkan tanah wakaf dengan pembangunan selain daripada niat asal pewakaf?

JAWAPAN
Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia kali Ke-80 di Kuala Terengganu pada 1 hingga 3 Februari 2008 telah membincangkan hukum membangunkan tanah wakaf khas dengan membangunkan selain daripada niat asal pewakaf. Dalam persidangan ini, muzakarah memutuskan, membangunkan tanah wakaf khas khususnya wakaf masjid dengan tambahan projek pembangunan atau beberapa penambahbaikan bagi menjamin harta wakaf tersebut kekal adalah diharuskan oleh Islam, dengan syarat pembangunan ini hendaklah berdasarkan keperluan yang boleh ditentukan oleh pemerintah dan tidak bercanggah dengan syariat Islam.
Pandangan lain, Mesyuarat Jawatankuasa Perunding Hukum Syarak Negeri Pahang Kali Ke-4/2008, pada 26 Disember 2008 memutuskan hukum membangunkan tanah wakaf dengan pembangunan selain niat asal pewakaf adalah harus dengan syarat mengekalkan tujuan asal pewakaf.
Rujukan http://mufti.pahang.gov.my/…/108-hukum-membangunkan-tanah-w…

ISU 4
Pembinaan Kompleks Perniagaan Masjid Sultan Mahmud membatalkan tujuan asal pengambilan balik tanah seperti yang diwartakan di bawah Seksyen Seksyen 3(a) Akta Pengambilan Balik Tanah 1960.

JAWAPAN
Penasihat Undang-Undang Negeri telah menyatakan pandangan beliau kepada Pesuruhjaya Hal Ehwal Agama Terengganu dalam satu surat bertarikh 15 April 2015 bahawa:
(1) Pengambilan tanah-tanah yang terlibat telah dibuat bagi ‘pembesaran tapak masjid dan laluan masuk ke masjid’ berdasarkan Warta Kerajaan bertarikh 20 Julai 2006. Di bawah peruntukan Akta Pengambilan Tanah 1960, tiada peruntukan bagi meminda pewartaan pengambilan tanah yang telah dibuat di bawah Akta tersebut. Di bawah Seksyen 68A menyatakan kegagalan untuk menggunakan tanah bagi maksud asal tanah itu diambil tidak membatalkan pengambilan itu.
(2) Tertakluk kepada pembangunan Kompleks Perniagaan Masjid Sultan Mahmud yang memberi faedah dan sumbangan kepada masjid serta ahli kariah masjid dan pemilikan kompleks tersebut terletak hak kepada pihak masjid, Penasihat Undang-Undang Negeri berpandangan cadangan pembangunan tersebut masih di dalam tujuan asal pengambilan tanah.


ISU 5
Lokasi pembinaan Kompleks Perniagaan Masjid Sultan Mahmud dan hotel terlalu hampir dengan masjid.

JAWAPAN
Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Terengganu Kali Ke-7 Penggal Ke-11 yang bersidang pada 22 Jun 2015 membuat keputusan BERSETUJU dengan cadangan pengambilan tanah Masjid Sultan Mahmud untuk pembangunan Kompleks Perniagaan Masjid Sultan Mahmud. Mesyuarat juga bersetuju agar 3 perkara diambil perhatian iaitu,
(1) Peniaga mestilah 100 peratus beragama Islam.
(2) Hotel yang akan didirikan mestilah bercirikan Islamik.
(3) Kompleks perniagaan mestilah ditutup ketika waktu Solat Jumaat.
Mengambil satu kes di Negeri Kelantan yang diperintah PAS, pembinaan kondominium 24 tingkat bersebelahan Masjid Sultan Muhammad II di Telipot, Kota Bharu mendapat bantahan penduduk setempat. Tanah seluas 0.68 hektar milik Yayasan Islam Kelantan diserah kepada Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan bagi membina kondominium. Permohonan penduduk melalui Persatuan Penduduk Jalan Raja Dewa pada 17 September 2014 agar tanah itu diwakafkan bagi tujuan pembesaran masjid, tidak dilayan Kerajaan PAS Kelantan. Menteri Besar Kelantan, Dato’ Ahmad Yaakob yang juga Timbalan Mursyidul Am PAS pada 30 Mei 2015 menjawab, “Pembinaan kondominium itu boleh menampung keperluan ramai bagi mengimarah masjid”.

ISU 6
Lokasi pembinaan Kompleks Perniagaan Masjid Sultan Mahmud dan hotel tidak sesuai kerana ia terlalu hampir sehingga menutup Masjid Sultan Mahmud sebagai mercu tanda Bandar Kuala Berang.

JAWAPAN
Masjid Sultan Mahmud merupakan sebuah Masjid Daerah bagi Daerah Hulu Terengganu yang terletak di kawasan Bandar Kuala Berang yang kian membangun. Rekaan kompleks itu mengambil kira kedudukan masjid yang selari dengan jalan utama Bandar Kuala Berang. Jadi, bagi melengkapkannya maka bangunan hotel dibina di sebelah kanan, dataran di tengah manakala kompleks perniagaan di sebelah kiri. Kubah utama dan menara masjid jelas kelihatan di tengah-tengah dari dataran dan jalan hospital apabila siap kelak. Projek yang mempunyai rekabentuk bercirikan Islamik ini bakal menjadi mercu tanda Bandar Kuala Berang, bukannya melenyapkan mercu tanda.
Mengambil contoh Masjid Abidin atau ‘Masjid Putih’ yang terletak di pusat bandaraya Kuala Terengganu dikelilingi pusat perniagaan termasuk Pusat Niaga Paya Keladi. Tersergam indah setinggi 7 tingkat bersebelahan masjid itu ialah Hotel Grand Puteri yang merupakan hotel wakaf pertama di Terengganu yang mula beroprasi pada April 2013, bertaraf 3 bintang. Begitu juga dengan Masjid At-Taqwa di Pekan Batu Enam yang ‘dikuasai’ PAS, masjid itu dikelilingi dengan pusat perniagaan dan rumah kedai. Contoh itu bagi memberi gambaran tentang kedudukan sesebuah masjid di kawasan bandar atau pekan.

ISU 7
Muhyiddin pada 8 Mei 2017 telah mengeluarkan kenyataan fitnah bahawa lot 479 adalah tanah persendirian yang telah diceroboh oleh pihak kerajaan negeri bagi membina hotel dan pusat perniagaan. Kenyataan Muhyiddin yang disiarkan portal berita rasmi PAS Terengganu, Buletin Online pada 9 Mei 2017 menyebut, “Bagi lot 479, yang saya telah sebut tadi, sebenarnya telah dibuat carian di PTG, Kuala Terengganu, didapati tanah ini milik persendirian (dan) tanah ini telah mendapat kelulusan untuk pecah lot sempadan untuk didirikan lot-lot rumah kedai sebanyak 13 unit di atas tanah ini. Dengan lain perkataannya, pembinaan hotel (sekarang) ini telah menceroboh tanah persendirian ini yang telah mendapat kelulusan kerajaan sebagai lot kedai sebanyak 13 unit lot kedai di atas tanah. Saya kira ini satu pencerobohan yang serius. Oleh sebab itu saya minta supaya kerja-kerja ini dihentikan serta merta sehingga perkara ini dapat dijelaskan dan diperbetulkan mengikut undang-undang dan peraturan yang sedia ada (kerana) ia satu kesalahan yang serius yang saya kira, kalau tidak dihentikan pembinaan hotel serta merta. Saya akan panjangkan aduan ini ke Suruhanjaya Pencengahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam masa yang terdekat,”

JAWAPAN
Bagi lot 479, pengambilan balik tanah itu dibuat menurut Seksyen 3(a) Akta Pengambilan Balik Tanah 1960 bagi kegunaan awam untuk tambahan tapak masjid dan seterusnya diisytiharkan di bawah Seksyen 62 Kanun Tanah Negara dan dijaga oleh Pesuruhjaya Hal Ehwal Agama Terengganu. Ia telah diluluskan oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Bil. 613/90 bertarikh 5 Julai 1990. Pewartaan Seksyen 8 Akta Pengambilan Balik Tanah 1960 (Borang D) sebagaimana Warta No. 750 bertarikh 16 Ogos 1990. Kos pengambilan balik sebanyak RM212,290.00 sebagaimana Baucer No. 4334-90 bertarikh 27 November 1990. Pengambilan balik ini melibatkan sebuah stor barang dan tiada bangunan lain terlibat.
Muhyiddin dan penyebar berita palsu yang lain boleh diambil tindakan undang-undang berhubung kenyataan fitnah ini. Pada era pemerintahan PAS di Terengganu antara tahun 1999 hingga 2004 yang mana pada ketika itu Muhyiddin merupakan Ahli Parlimen Hulu Terengganu, antara sumbangan Kerajaan PAS kepada Masjid Sultan Mahmud ialah pembinaan sebuah tandas di lot 479. Kenapa pada ketika itu tidak timbul isu pencerobohan tanah milik persendirian yang digunakan untuk membina tandas? Inilah wayang politik pemimpin PAS!
Sumber fitnah daripada portal berita rasmi PAS Terengganu, https://buletinonline.net/…/mdht-tidak-pernah-luluskan-pem…/

ISU 8
Pembinaan Kompleks Perniagaan Masjid Sultan Mahmud dan hotel menyebabkan hilangnya sebahagian parkir masjid sekali gus menyulitkan para jemaah.

JAWAPAN
Sebelum ini, jumlah parkir yang disediakan di kawasan Masjid Sultan Mahmud ialah sebanyak 40 lot. Selebihnya kenderaan diletakkan secara berselerak dan tidak tersusun termasuk di atas rumput dan kawasan yang tidak berturap. Apabila Kompleks Perniagaan Sultan Mahmud dan hotel siap, jumlah parkir yang akan dibina sebanyak 138 lot. Penting untuk difahami oleh pemimpin dan penyokong PAS, jumlah parkir semakin bertambah dan tersusun, bukan makin berkurang. Selain itu, kawasan parkir berkenaan boleh digunakan sebagai dataran dan ruang pentas dengan lanskap yang menarik untuk pelbagai program termasuk forum perdana, tilawah al-Quran, pameran kerjaya, ekspo perniagaan halal dan aktiviti kesenian Islam.

ISU 9
Logi rawatan kumbahan hotel akan dibina di atas tanah wakaf masjid. Kenyataan ini dibuat oleh YB Ustaz Satiful Bahri Mamat yang ketika itu adalah Pesuruhjaya PAS Terengganu pada 26 Januari 2017 yang menyebut. “Yang malang lagi, dua pembangunan yang dirancang itu, septic tank (tangki najis) akan dibuat di atas tanah masjid.”

JAWAPAN
Berdasarkan cadangan pelan pembangunan projek yang diluluskan oleh Majlis Daerah Hulu Terengganu (MDHT) pada 22 Mac 2017, logi rawatan kumbahan atau tangki najis daripada Kompleks Perniagaan Masjid Sultan Mahmud akan dibina di bawah (bawah tanah) kompleks tersebut. Orang Paka datang ke Kuala Berang, tumpang sekali buat fitnah. Itulah PAS.


ISU 10
Projek Kompleks Perniagaan Masjid Sultan Mahmud dan hotel ini milik siapa?

JAWAPAN
Projek ini dicadangkan oleh ADUN Kuala Berang, YBM Dato’ Tengku Putera Tengku Awang dengan peruntukan Kerajaan Negeri Terengganu dan dilaksanakan oleh Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN). Satu jawatankuasa akan dibentuk bagi menjalankan proses pentadbiran dan pengurusan bangunan yang terdiri daripada jabatan kerajaan berkaitan, jawatankuasa masjid dan komuniti Kuala Berang. Jawatankuasa ini akan melantik pihak yang berkelayakan untuk mengurus dan menyelenggarakan kompleks tersebut. Hasil pendapatan akan dibahagikan seperti berikut:
a) 50% daripada hasil pendapatan sewa (keuntungan) akan diberikan kepada Tabung Masjid Sultan Mahmud.
b) 50% daripada hasil pendapatan sewa (keuntungan) akan diberikan kepada Tabung Khairat Komuniti Kuala Berang.
Apabila siap kelak, Masjid Sultan Mahmud akan menjadi satu-satunya masjid di Terengganu dan mungkin di Malaysia yang mempunyai kompleks perniagaan 3 tingkat dan hotel 6 tingkat. Mungkin inilah yang terbaik untuk kariah di Bandar Batu Bersurat. Adakah ini sesuatu yang ‘koho punoh’ di mata para pemimpin PAS Terengganu?

ISU 11
Pembinaan Kompleks Perniagaan Masjid Sultan Mahmud dan hotel tidak dipersetujui oleh kariah masjid. Kata Muhyiddin semasa membuat laporan di Biro Pengaduan Awam Negeri Terengganu, “Kami bagi pihak jamaah masjid dan masyarakat di Kuala Berang melahirkan rasa kesal dan membantah tindakan kerajaan untuk membina hotel dan kompleks perkedaian ini di kawasan masjid”.

JAWAPAN
Jawatankuasa Masjid Sultan Mahmud telah diberi taklimat khusus sebanyak tiga kali berkaitan projek berkenaan pada 2016. Jawatankuasa menyambut baik usaha itu kerana ia bakal memberi banyak faedah kepada kariah masjid. Hasil bulanan yang bakal diperolehi Tabung Masjid boleh digunakan untuk membiayai pelbagai aktiviti termasuk kelas agama, kebajikan keluarga miskin, pendidikan anak yatim, kesihatan, aktiviti ekonomi dan sebagainya. Malah, permintaan jawatankuasa masjid agar kawasan pembangunan tidak dipagar apabila siap kelak. Malah, pengumuman rasmi tentang pembinaan kompleks ini telah dibuat semasa kutbah Jumaat pada 16 Disember 2016. Muhyiddin yang membuat dakwaan itu mewakili pihak jemaah yang mana? Adakah Muhyiddin wakil kepada Jemaah PAS yang sememangnya anti kepada kerajaan Barisan Nasional?

ISU 12
Kenapa Muhyiddin dan pemimpin PAS yang lain begitu ‘ghairah’ memainkan isu ini sehingga sanggup melemparkan pelbagai tuduhan dan fitnah?

JAWAPAN
Selepas empat kali kalah dalam pilihan raya termasuk pilihan raya kecil DUN Kuala Berang pada 28 Ogos 2004, Muhyiddin dipilih sebagai Yang Dipertua PAS Kawasan Hulu Terengganu pada 28 September 2013 menggantikan Dato’ Harun Taib. Beliau mengetuai PAS Kawasan Hulu Terengganu sehingga kini. Sebagai Setiausaha Perhubungan PAS Terengganu, Muhyiddin perlu melakukan sesuatu agar namanya sentiasa ‘diratib’ di sekitar Kuala Berang. Tindakan beliau mencipta isu yang kononnya wujud penyelewengan besar dalam projek pembinaan Kompleks Perniagaan Masjid Sultan Mahmud dan melantik dirinya sendiri sebagai Pengerusi untuk ‘menyelamatkan’ Masjid Sultan Mahmud dilihat sebagai usaha untuk mempopularkan dirinya dalam pentas politik PAS di Hulu Terengganu. Dengan harapan, beliau sekali lagi terpilih sebagai calon PAS di DUN Kuala Berang.
Dalam keadaan PRU14 yang semakin hampir, Muhyiddin perlu tonjolkan dirinya sebagai ‘wira rakyat’ yang mahu menyelamatkan sesuatu sebagaimana contoh sebelum PRU13 yang lalu, Raja Kamarul Bahrin mahu selamatkan Pasar Payang, Khairuddin At-Takiri mahu selamatkan Banggol Donas, Satiful Bahari mahu selamatkan Darul Bayan, Syed Azman mahu selamatkan Zoo Kemaman dan sebagainya. Selepas menang pilihan raya, senyap! Ditambah pula, saingan politik yang terpaksa dihadapi Muhyiddin. Ketua Pemuda PAS Terengganu selama dua penggal, Ustaz Kamaruzzaman Abdullah antara saingan terdekat Muhyiddin untuk dicalonkan PAS di DUN Kuala Berang. Sikap Kamaruzzaman yang kurang menyentuh isu Masjid Sultan Mahmud yang dipelopori Muhyiddin telah menjadi tanda tanya. Pemimpin PAS dari luar Hulu Terengganu seperti YB Satiful Bahri Mamat (Paka), YB Mohd Nor Hamzah (Bukit Payong) dan Ahmad Amzad Hashim (Kuala Terengganu) sanggup datang ke Kuala Berang untuk mengeluarkan kenyataan berhubung isu tersebut. Mana kenyataan Kamaruzzaman sebagai sokongan moral kepada ‘perjuangan’ Yang Dipertua PAS Kawasan Hulu Terengganu?

RUMUSAN
Bersandarkan kepada maklumat tidak sahih, fakta yang tidak lengkap dan dakwaan yang tidak berasas, PAS mahu mewujudkan kebimbangan di kalangan rakyat khususnya di DUN Kuala Berang dengan memainkan sentimen agama iaitu masjid dan tanah wakaf. Dalam masa yang sama, PAS mahu menjadi ‘penyelamat’ dengan harapan sentimen itu dapat mempengaruhi undi pada pilihan raya umum akan datang. Kerajaan Barisan Nasional dan UMNO dituduh mahu ‘merosakkan’ institusi masjid, manakala PAS pula mahu menjadi penyelamat. Drama apa yang sedang PAS mainkan ini? Adakah PAS tertekan dengan usaha Kerajaan Terengganu kini yang sedang membina lima buah masjid di DUN Kuala Berang? ADUN Kuala Berang, Dato’ Tengku Putera Tengku Awang berkata pada awal 2016, masjid berkenaan merupakan tambahan kepada 20 masjid sedia ada di DUN berkenaan. Masjid terlibat ialah Masjid Kampung Chepoh, Masjid Kampung Kuala Akob, Masjid Kampung Kuala Kejir, Masjid Kampung Tanggol dan Masjid Kampung Nasi Dingin. PAS perlu lebih matang dalam politik dengan bercakap benar dan tidak berbohong kepada rakyat.

Disediakan oleh #SOULjer Terengganu
Sumber : https://www.facebook.com/terengganudaily/posts/2016765578540622