Mayat pendaki Malaysia ditemui selepas setahun hilang

SARI (Wilayah Mazandaran, Iran): Mayat seorang pendaki rakyat Malaysia ditemui selepas dilapor hilang ketika mendaki gunung Damavand di utara Iran pada November lalu.
Menurut agensi berita IRNA, mayat ditemui sekumpulan pendaki pada semalam ketika menuruni gunung itu.
Mereka melaporkan penemuan mayat itu kepada Jabatan Bulan Sabit Merah di bandar raya Amol di wilayah utara Mazandaran yang segera menghantar pasukan menyelamat.
Berikutan masa yang singkat dan keadaan yang gelap, pasukan menyelamat gagal meneruskan misi mereka semalam dan menyambung kerja menyelamat hari ini.
"Mereka akhirnya menemui mayat dan membawa turun daripada ketinggian 4,300 meter," kata IRNA.
Mayat akan diserahkan kepada pegawai kedutaan Malaysia di Tehran hari ini.
Seramai 12 pendaki Malaysia mendaki gunung tertinggi di Iran itu pada November lalu, namun 10 daripada mereka mengambil keputusan untuk turun semula ketika berada pada ketinggian 5,200 meter susulan cuaca buruk dan salji tebal.
Namun dua lagi pendaki mahu meneruskan pendakian sebelum kedua-duanya dilaporkan hilang.
Mayat seorang daripada mereka ditemui lima hari kemudian dan pencarian pendaki seterusnya terpaksa dihentikan ekoran keadaan cuaca yang tidak mengizinkan. - BERNAMA

No comments:

Powered by Blogger.