Pengamal Media Berjaya Tawan Gunung Latimojong


MAKASSAR (SULAWESI SELATAN), 6 Okt - Selepas menempuh pendakian selama 32 jam, 12 pendaki Kembara Terengganu De Latimojong berjaya menakluk puncak Rante Mario, Gunung Latimojong setinggi 3,478meter tepat pukul 12 tengah hari, 4 Okt.
Pendakian selama dua hari satu malam itu disertai Angkatan Pertahanan Awam Terengganu (APM), pengamal media Terengganu, Pejabat Menteri Besar dan Kelab Eksplorasi Terengganu.
Ketua Koordinator, Mohd Rafi Kori, 38, berkata cabaran pendakian bermula dari pos satu di Desa Karangan pada pukul 9 pagi 3 Okt di mana pendaki diuji dengan laluan yang sempit dan memerlukan kekutan tangan dan kaki untuk menyusur di tepi-tepi lereng bukit.
"Ada satu masa pendaki terpaksa menahan cuaca pergunungan yang tidak menentu yang disertai hujan lebat, suhu yang dingin mencecah 4 darjah celsius dan angin kencang sepanjang pendakian untuk menawan puncak kelima tertinggi Indonesia.
Bagaimana pun bermula dari pos lima pada ketinggian 2,500 meter sehingga ke puncak pendaki dapat menikmati pemandangan indah hutan lumut dan perkampungan Karangan yang saujana mata memandang.
"Alhamdulillah kesemua pendaki selamat tiba di puncak pada pukul 12 tengah hari 4 Okt dan pendaki melakukan gimik kejayaan pendakian menggunakan pakaian tradisional berkain batik dan memakai terendak sebagai identiti warisan Melayu Nusantara.
"Lebih manis, pendaki Indonesia turut teruja dan bersama-smaa merakam detik kenangan dengan mengibarkan bendera kedua-dua negara Malaysia dan Indonesia bagi menandakan hubungan akrab dan integrasi kedua-dua negara.


Sementara itu, Chief De Mission yang juga Pengarah APM Terengganu, Leftenan Kolonel (PA) Che Adam A Rahman berkata pendakian ini lebih bermakna apabila pasukan kendaliannya turut membuat khidmat amal kepada penduduk Desa Karangan dengan menyampaikan bantuan kewangan dan keperluan harian.
"Alhamdulillah..syukur kepada Allah perancangan untuk menawan puncak Rante Mario dipermudahkan dengan kesemua 12 pendaki berjaya turun dengan selamat tanpa mengalami sebarang kecederaan selepas menempuh perjalanan yang panjang dan mencabar.
"Saya selaku ketua ekspedisi berasa agak tersentuh melihat kedaifan penduduk di Desa Karangan yang serba kekkurangan dan jauh ketinggalan dari segi ekonomi.
"Diharap dengan bantuan yang dihulurkan dapat memberi sedikit kegembiraan dan keceriaan kepada masyarakat di situ," katanya.

No comments:

Powered by Blogger.