USIA BUKAN PENGHALANG BAGI PENDAYUNG KAYAK SOLO


Usia bukan penghalang bagi pendayung kayak solo, Muhamad @ Mansor Omar, 70, untuk melaksanakan Ekspedisi Ekspresi Negaraku Kayak Solo Menjelajah Pantai Semenanjung Malaysia biarpun terpaksa menempuh pelbagai cabaran getir di laut.

Anak  kelahiran Kemaman, Terengganu, yang lebih mesra disapa Pak Mansor itu tetap gagah melaksanakan ekspedisi sejauh 1,700 kilometer (km) yang berakhir  di Pangkalan  Jeti Kuala Perlis, Perlis pada 9 Sept ini.

Beliau berlepas dari Jeti Nelayan Kuala Juru di sini 9.30 pagi ini dan dijangka tiba di Kuala Muda, Kedah pukul 5 petang ini sebelum meneruskan dayungan ke Yan esok.

“Ini dayungan solo kedua. Lima tahun lalu, saya melakukan dayungan dari Kuala Terengganu ke Kemaman sejauh 160 km dan dayungan solo kali ini bersempena kemerdekaan negara dan Tahun Melawat Terengganu 2017.

“Ekspedisi ini mengambil masa 71 hari dan hari ini ialah hari ke-65 membabitkan perjalanan 1,600 km dan dijangka tiba di Kuala Perlis, Perlis pada 9 Sept ini,” katanya kepada pemberita sebelum pelepasan  peringkat Pulau Pinang di sini hari ini.

Mansor memulakan ekspedisi berkayak dari Pantai Melawi, Bachok, Kelantan pada 1 Julai lepas dan seterusnya ke Terengganu, Pahang, Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Selangor, Perak, Pulau Pinang, Kedah serta Perlis.

Sepanjang 65  hari yang dilaluinya setakat ini, pelbagai cabaran ditempuh seperti ribut dan hujan lebat ketika di Johor, Negeri Sembilan dan Melaka sehingga memaksanya mendarat.

“Namun kenangan manis yang saya peroleh ialah apabila dayungan diiringi tiga ikan lumba-lumba sejauh 100 meter di Rompin, Pahang, malah sokongan orang ramai di setiap lokasi perhentian sangat mesra,” katanya.

Katanya ekspedisi itu dianjurkan dengan kerjasama Persatuan Kanu Negeri Terengganu termasuk sokongan kerajaan negeri Terengganu dan Majlis Sukan Negeri (MSN) Terengganu.

“Perbelanjaan ekspedisi ini turut ditanggung anak-anak saya yang turut berusaha merealisasikan impian ini.

”Alhamdulillah, sehingga kini kesihatan saya mengizinkan dan semakin bersemangat untuk meneruskan cabaran dan berharap dapat menamatkan ekspedisi ini mengikut jadual,” katanya.

Mansor yang memang meminati aktiviti berkayak sejak muda berharap ekspedisinya itu akan memberi semangat kepada golongan muda turut menjalankan aktiviti seperti itu untuk menunjukkan semangat cintakan negara.

Ekspedisi yang melibatkan 60 lokasi  persinggahan sepanjang pantai di Semenanjung Malaysia itu  turut membabitkan 11 negeri sebelum tiba di penamat jeti Kuala Perlis, dan disambut menteri besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman.

Pesara Jabatan Veterinar itu berkata ekspedisi itu turut menggunakan teknologi terkini seperti sistem kedudukan global (GPS), drone dan beberapa peralatan lain bagi melancarkan lagi perjalanan.

Ekspedisi itu juga dalam usaha Mansor mencipta rekod sebagai Pendayung Kayak Solo Tertua Mengelilingi Semenanjung Malaysia dalam Malaysia Book Of Records. ― Bernama

No comments:

Powered by Blogger.