Cikgu Sains Tokoh Guru Terengganu 2017

Cikgu Hamzah Othman, 61 bersara awal pada 2010 dengan jawatan terakhir di Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Mansor menerima Anugerah Tokoh Guru 2017 - Pix : Media11

/
KUALA TERENGGANU 21 Mei - Bekas Guru Cemerlang Sains Gred Khas C, Hamzah Othman, 61, dipilih sebagai Tokoh Guru Terengganu 2017 dalam majlis Sambutan Hari Guru Peringkat negeri kali ke-46 di Stadium Tertutup Gong Badak di sini hari ini.

Beliau yang bersara awal pada 2010 dengan jawatan terakhir di Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Mansor itu menerima penghargaan dalam bentuk wang tunai RM6,000, plak, medal, tafsir al-Quran, sepersalinan baju Melayu dan sijil.

Hadiah disampaikan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman.

Selain itu, beliau turut menerima pakej menunaikan umrah bersama pasangan, sumbangan peribadi Ahmad Razif.

Yang hadir sama, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Datuk Mohd. Zubir Embong; Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sains, Teknologi dan Transformasi Kerajaan negeri, A. Latiff Awang serta Pengarah Pendidikan Negeri, Shafruddin Ali Hussin.

Hamzah pernah menerima Anugerah Inovatif Kementerian Pendidikan pada 2001 di samping memenangi kategori Guru Inovatif Terengganu selama tujuh kali pada 1993, 1994,1995,1997, 1999 dan 2001.

Pemilihan Hamzah berikutan sumbangannya dalam memperkasakan mata pelajaran Sains termasuk penghasilan Kaedah Pecutan Kognitif Sains yang diguna pakai sehingga kini oleh pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Ujian Bertulis Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3).
Penerima anugerah Guru Cemerlang Kelainan Upaya, Wan Nur Adli Tengah @ Wan Ngah (kanan) 

Kategori Guru Cemerlang Pendidikan Khas diberikan kepada Norliza Supar manakala Wan Nur Adli Tengah @ Wan Ngah (Guru Cemerlang Kelainan Upaya), Guru Inovatif Individu Prasekolah (Zawani Husin), Guru Inovatif Individu Rendah (Endun Taib) dan Guru Inovatif Individu Menengah (Nani Suraya Abdul Karim).

Dalam majlis itu, pemenang Anugerah Khas Hari Guru Kebangsaan 2017 iaitu Saripah Embong dari Sekolah Menengah Imtiaz Kuala Terengganu dan Rosemini Abdul Salam turut menerima penghargaan masing-masing.
Ahmad Razif bertemu dengan empat anak yatim piatu pasangan guru Badrul Hisham dan Noor Amalia 
Anugerah Khas Pengarah pula diberikan kepada pendidik yang meninggal dunia antaranya termasuk pasangan guru yang maut dalam kemalangan di kilometer 41, Jalan Kuala Terengganu-Kuantan di Kampung Mercang, Marang pada 22 April lalu iaitu Badrul Hisham Omar dan Noor Amalia Noorzan di samping Rosdi Mohamad Salleh, Masni Ngah serta Kamaruzaman Yusuff. - UTUSAN ONLINE
/

No comments:

Powered by Blogger.