Kampung Fikri sempena nama MB


KAMPUNG Fikri yang terletak kira-kira enam kilometer dari Bandar Chukai berasal dari nama bekas Menteri Besar, Allahyarham Datuk Ibrahim Fikri.
Ketua Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (J3K) Fikri, Mohamad Ali berkata, kewujudan Kampung Fikri rentetan permintaan masyarakat Cina yang mahukan kawasan perumahan sebelum usul itu dibawa ke pengetahuan menteri besar.
“Memandangkan sebahagian besar penduduk di daerah Kemaman ketika itu masih belum mempunyai rumah kediaman sendiri, maka Datuk Ibrahim Fikri ketika itu bersetuju kawasan ini dibangunkan menjadi kawasan perumahan.
“Berikutan itu, menteri besar menyerahkan kawasan ini kepada Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu untuk dibangunkan dengan projek perumahan kos rendah bagi faedah penduduk di daerah ini,” katanya.

Pada 1979 pihak perbadanan itu mula membina projek perumahan kos rendah dan setahun kemudian perbadanan itu menemuduga bakal penghuni yang akan menduduki kawasan perumahan berkenaan.
Menurut Mohamad, pada 15 April 1985 bermulalah kemasukan pertama penduduk di perumahan Kampung Fikri dan pada awalnya sebanyak 85 rumah diserahkan kepada penerima diikuti peringkat kedua sebanyak 30 rumah hinggalah ke peringkat ketiga dan keempat sebanyak 129 rumah semuanya.
Katanya, rumah yang bernombor 129 di kampung itu juga telah memenangi tempat pertama pada Pertandingan Kebersihan dan Keindahan Penguasa Penguasa Tempatan Negeri Terengganu Peringkat Majlis Daerah Kemaman yang telah diadakan mulai September hingga November 1990.

Asalnya daripada kawasan Mak Lagam

Kampung Fikri pada awalnya juga adalah sebahagian dari kawasan Mak Lagam dan terletak dalam Mukim Banggol.
Jelas Mohamad, seiring dengan perubahan waktu, jumlah penempatan di kampung mereka turut bertambah dengan wujudnya Flat Desa Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu yang mempunyai sebanyak 350 unit rumah dan  Flat Tenaga Nasional Bhd (TNB) yang memiliki 29 unit rumah.
Selepas lebih tiga dekad wujud, ketua kampung berkenaan juga silih berganti dan Mohamad merupakan ketua kampung yang keempat selepas Mohamad Jusoh (dari 1988 hingga 1992), Ariffin Dolah (1993-2005) dan Mazlan Ali (2006-2008).
Setelah 32 tahun, Kampung Fikri berjaya merangkul pelbagai anugerah termasuk di peringkat kebangsaan hinggakan nama kampung itu ketika ini sangat dikenali.
Kejayaan terbesar kampung itu setakat ini adalah muncul juara Pertandingan Program Komunikasi Untuk Perubahan Tingkah Laku (Combi) Peringkat Kebangsaan pada tahun lalu.

Kerjasama penduduk dalam membasmi denggi membolehkan Kampung Fikri dinobatkan juara Pertandingan Combi Peringkat Kebangsaan pada tahun lalu

Mohamad memberitahu, kejayaan itu membolehkan mereka mengharumkan nama Terengganu di mata masyarakat luar dalam usaha memerangi wabak denggi yang boleh meragut nyawa.

Selain itu, Kampung Fikri juga berjaya mendapat tempat pertama Pertandingan Kebersihan dan Keindahan Kampung pada 1994 dan terpilih sebagai antara lima JKKK terbaik dalam Dun Chukai pada 2010.

No comments:

Powered by Blogger.