Hanelang FC bakal guna khidmat Sharbinee

Bekas penjaga gawang kebangsaan, Mohd Sharbinee Allawee bakal kembali beraksi dengan memperkuat pasukan Hanelang FC dalam saingan Liga FAM sebaik jendela perpindahan pemain dibuka Mei depan.


PASUKAN Hanelang FC tidak menolak kemungkinan bakal menggunakan khidmat bekas penjaga gawang kebangsaan, Mohd Sharbinee Allawee sebaik jendela perpindahan pemain dibuka Mei depan.

Pengendalinya, Ahmad Yusof berkata, pihaknya bersedia untuk kembali bekerjasama dengan Sharbinee, bagaimanapun sebarang keputusan muktamad bergantung kepada laporan kesihatan dari pasukan perubatan sebelum mendaftarkan pemain berusia 31 tahun itu.

Menurutnya, selaku penjaga gol berkualiti, khidmat Sharbinee sentiasa diperlukan dan mampu memperkuatkan lagi pasukan bagi mengharungi saingan Liga FAM musim ini.
“Semua tahu kredibilitinya malah dia juga sudah biasa dengan saya, jadi kita tidak ada sebarang masalah untuk menggunakan khidmatnya.

“Malah dia (Sharbinee) sudahpun menjalani latihan bersama rakan sepasukan dan telah menunjukkan perkembangan yang sangat positif,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengharungi aksi persahabatan bersama pasukan Terengganu FC II (TFC II) di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, kelmarin.

Februari tahun lalu, pasukan Terengganu terpaksa merehatkan Sharbinee selepas penjaga gawang utama skuad Penyu itu dikesan mengalami kanser paru-paru dan terpaksa menjalani kemoterapi.

Begitupun, usaha Sharbinee untuk kembali beraksi dilihat semakin membuahkan hasil apabila mula menjalani latihan bersama skuad utama Terengganu FC (TFC) musim ini.
Mengulas lanjut prestasi pasukan selepas mengharungi tiga perlawanan musim ini, bekas ketua jurulatih pasukan Terengganu itu mengakui pemain perlu segera bangkit daripada kekalahan ke atas Perlis tempoh hari.

“Maka peluang rehat selama dua minggu ini seharusnya dimanfaatkan dengan sebaik mungkin untuk memperbaiki setiap kelemahan pasukan menjelang pertemuan dengan satu lagi rakan senegeri, Terengganu City FC yang kini menerajui kumpulan B.



“Jadi pada perlawanan yang dijadualkan pada 1 April nanti, pemain tidak boleh keciciran mata memandangkan jurang perbezaan dengan dua pasukan teratas hanya dibezakan empat mata,” katanya. - Sinar Online

Sumber - http://www.sinarharian.com.my/sukan/hanelang-fc-bakal-guna-khidmat-sharbinee-1.812987

No comments:

Powered by Blogger.