ENAM TOKOH SENI TERENGGANU TERIMA ANUGERAH



Kuala Nerus: Enam tokoh seni Terengganu menerima anugerah pada Majlis Apresiasi Seni & Warisan anjuran Pelajar Ijazah Sarjana Muda Sains Sosial (Antropolgi dan Dakwah) Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Kampus Gong Badak, di sini.

Enam tokoh berkenaan ialah penyanyi asal lagu Ulek Mayang, Wan Salmah Wan Sulaiman, 73, menerima Anugerah Pesona Temurun Warisan Nyanyi,

Anugerah Pesona Tempa Nusa diberikan kepada Wan Mahadi Wan Ismail, 49, yang merupakan satu-satunya pengusaha tembaga di Terengganu manakala pengiat seni gamelan yang tenaga pengajar tarian gamelan di SUKTRA, Zaharah Hamid, 68, menerima Anugerah Pesona Temurun Warisan Tari.

Razak Senik, 66, seorang penggiat seni tradisional Rodat yang masih bergiat aktif selepas 40 tahun terbabit dalam tarian tradisional dinobat sebagai penerima Anugerah Pesona Libur Rakyat.

Tokoh batu permata dari Setiu, Johan Mustafa, 50, menerima Anugerah Pesona Seri Jemari manakala Anugerah Pesona Aksara Qalbu diberikan kepada Mohammed Zamani Taha atas sumbangan beliau mencipta lagu-lagu rakyat Terengganu.

Pengarah Pusat Seni dan Warisan UniSZA, Prof Madya Sahar Sa’di Hashim, berkata majlis berkenaan diadakan khusus bagi memberi pengiktirafan kepada tokoh seni Terengganu yang banyak menabur bakti dalam pelbagai cabang seni dan warisan.

“Anugerah ini adalah sebagai satu permulaan kepada UniSZA untuk  memartabatkan serta mengekalkan seni dan warisan yang ada di Terengganu tetapi tidak dihargai oleh generasi baru.

 “Dengan adanya majlis apresiasi kepada enam tokoh ini, ia menunjukkan keprihatinan mahasiswa terhadap tokoh serta karya seni di Terengganu seperti Rodat, Gamelan dan Tembaga,” katanya.

Katanya lagi, karya yang ada sekarang adalah sesuatu yang bernilai dan tidak boleh dipandang enteng dan perlu diwarisi oleh generasi baru supaya ianya tidak hilang begitu sahaja.

Katanya, Terengganu memiliki banyak seni serta warisan yang perlu dijaga dan dihargai kerana seni warisan yang ditinggal generasi terdahulu sudah terkenal di serata dunia dan ianya tidak ada di negeri lain.

No comments:

Powered by Blogger.