TERENGGANU GERAKKAN PROJEK PENANAMAN JAGUNG BIJIRIN BERSKALA BESAR
SETIU 15 Mei - Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman hari ini melancarkan projek penanaman jagung bijirin berskala besar di negeri ini yang akan digerakkan sebagai industri ke arah menjadikan Terengganu sebagai pengeluar utama makanan ternakan.
Ini merupakan salah satu daripada 71 projek di bawah Program Transformasi Ekonomi Negeri Terengganu (TETP) yang diumumkan dalam 2017, dan mahu akan dijadikan sebagai satu lagi `cerita kejayaan' bagi negeri ini.
"Projek ini akan melibatkan nilai pelaburan sebanyak RM27 juta dan kita mensasarkan pengurangan import jagung bijirin sebanyak RM3.5 billion dalam masa 5 hingga 10 tahun akan datang.
"Syarikat pelaburan Green World Genetik Sdn. Bhd. juga telah menubuhkan pusat kecemerlangan yang akan menjadi stesen penyelidikan bagi program-program pertanian, khususnya program pembangunan genetik yang akan mengeluarkan mengeluarkan spesis tanaman bermutu tinggi dan berdaya tahan,"ujarnya.
Beliau menyatakan demikian ketika berucap menyempurnakan upacara pelancaran di Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) di Rhu Tapai dekat sini petang ini.
Ahmad Razif yakin industri tanaman jagung bijirin ini akan menjadi satu sumber pendapatan baharu kepada penduduk pada masa akan datang.
"Potensinya sangat besar dan mana-mana tanah terbiar khususnya tanah-tanah bekas sawah adalah sangat sesuai dengan tanaman ini.
"Saya minta agensi yang terlibat khususnya jabatan Pertanian, Pejabat Daerah, Unit Perancang Ekonomi Negeri dan ketua-ketua masyarakat bergabung tenaga ke arah menjayakan projek ini pada skala yang lebih
besar,"ujar beliau.
Katanya, program-program 'engagement' dengan penduduk tempatan perlu dibuat bagi menerangkan program tanaman ini.
"Satu model usahasama dengan pemilik-pemilik tanah terbiar juga perlu dibangunkan kerana saya melihat tanaman ini berpotensi besar dalam usaha pemulihan tanah-tanah yang terbiar,"ujarnya.-UTUSAN ONLINE
No comments: