Berbudi Pada Tanah


Kuala Nerus: Tindakan nekad seorang juruteknik berhenti kerja dua tahun lalu dan mengusahakan tanaman terung serta kacang bendi berbaloi apabila ia mula mengeluarkan hasil.

Mohamad Haniff Omar, 39, kini mampu memperoleh pendapatan mencecah empat angka, malah kejayaannya menjadi inspirasi kepada penduduk di Kampung Wakaf Mesira, dekat sini.

Menurutnya, dia berhenti kerja pada November 2016 sebelum mengusahakan kegiatan pertanian memandangkan kekurangan peluang pekerjaan di negeri ini.

“Selepas berhenti kerja, saya buntu memikirkan nasib diri dan keluarga serta cuba mendapatkan kerja di tempat baru tetapi gagal. Situasi tidak menentu ini memberi idea kepada saya untuk mengusahakan tanah terbiar seluas 0.6 hektar milik keluarga.

“Saya bertuah kerana hasrat ini disokong rakan, Alias Ismail, 39, yang turut sama membantu sejak Mei 2017 bermula dengan proses pembersihan kawasan tanah yang semak sebelum menanam kacang bendi dan terung pada Ogos tahun sama.

“Selepas sebulan, 1,500 pokok terung dan 1,200 kacang bendi mula mengeluarkan hasil sehingga Disember dengan perolehan RM4,000,” katanya ketika ditemui Harian Metro di kebunnya, semalam.

Mohamad Haniff berkata, pada peringkat permulaan ramai orang memandang rendah dan tidak yakin dengan kemampuannya, namun tanggapan itu berubah selepas tanamannya mengeluarkan hasil.

Katanya, dia juga berdepan pelbagai masalah dan cabaran dalam menguruskan tanaman kerana langsung tidak mempunyai ilmu atau pengalaman.

“Namun, saya cuba belajar daripada orang berpengalaman selain menyertai seminar pertanian dianjurkan pelbagai pihak di negeri ini untuk memastikan kegiatan pertanian yang dijalankan berjalan lancar.

“Saya bercadang untuk memperluaskan lagi saiz tanaman dalam tempoh terdekat bagi menghasilkan lebih banyak hasil sekali gus menampung permintaan yang tinggi di negeri ini,” katanya.

Menurutnya, melihat kejayaan musim pertama itu, dia meneruskan tanaman sama pada Januari lalu dan kini semua pokok sedang mengeluarkan hasil.

Katanya, menyedari tanaman terung dan kacang bendi mampu memberi hasil yang agak lumayan dia memohon tanah pertanian seluas empat hektar di Lembah Bidong untuk kegiatan pertanian itu dengan lebih serius.

“Saya harap permohonan untuk mengusahakan tanaman di Lembah Bidong menjadi kenyataan sekali gus memberi persepsi orang ramai terhadap bidang pertanian yang boleh menjana pendapatan lumayan,” katanya.

No comments:

Powered by Blogger.