TAK JADI BESARKAN LANDASAN LTPR



Kerajaan Negeri Terengganu menggugurkan rancangan pembesaran landasan di Lapangan Terbang Pulau Redang (LTPR) kerana kos dan kesan kepada industri pelancongan marin di pusat peranginan itu.
Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman berkata kerajaan negeri tidak akan meneruskan rancangan awal menaik taraf LTPR selepas mengambil kira pelbagai risiko dan pandangan pihak tertentu dan sebaliknya akan menambah bilangan kedai di sekitar lapangan terbang itu.
Katanya, pembinaan beberapa kedai terbabit bagi membolehkan usahawan menjual pelbagai jenis cenderahati dan barangan keperluan lain.

 “Kita sudah membuat keputusan mengekalkan lapangan terbang yang sedia ada dan juga bersetuju hanya menggunakan kapal terbang jenis ATR-72. Kita cuma kena tambah kemudahan memperbanyakkan kedai,” katanya di Setiu.
Beliau berkata demikian selepas mendengar taklimat daripada pihak Jabatan Pelancongan Negeri baru-baru ini terhadap potensi lapangan terbang yang mempunyai landasan sepanjang 1,050 meter (m) dan lebar 30m itu.
  
    Sebelum ini, pesawat Berjaya Air (ATR72-500) pernah membawa pelancong ke pulau itu dari Changi, Singapura pada 2010, penerbangan dari Subang bermula pada 2000 disusuli dari Seletar, Singapura setahun selepas itu.

     Operasi penerbangan terhenti sejak 2016 ekoran keadaan landasan yang tidak menepati dengan keperluan penerbangan sesebuah pesawat meskipun menggunakan ATR-72 kerana ia hanya mampu membawa penumpang pada kapasiti 40 orang sahaja sedangkan ia boleh memuatkan seramai 74 orang.
Sebelum itu, kerajaan negeri berhasrat menaik taraf lapangan terbang itu sebagai usaha membuka kunjungan pelancong ke pulau itu sepanjang tahun khususnya ketika kedatangan musim tengkujuh.
Kerajaan negeri bercadang untuk panjangkan landasan itu kepada 500m lagi bagi membolehkan kapal terbang yang lebih besar dapat mendarat.

      Menurut Ahmad Razif, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Kebudayaan Negeri, kertas kerja dan perancangan keputusan terbaru itu akan diajukan kepada Kementerian Kewangan dan pihak Berjaya Air untuk tindakan susulan.

    Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Rakit, Bazlan Abd Rahman berkata, sekiranya lapangan terbang itu beroperasi semula, ia akan dapat menarik lebih ramai pelancong terutama daripada negara China.
Katanya, cetusan idea Ahmad Razif untuk membuka pelbagai premis juga memberi peluang kepada penduduk di Pulau Redang berniaga dan memberi mereka ‘nafas’ semula untuk bekerja dalam pelbagai sektor di situ.
“Ia sesuatu yang sangat baik dan mampu memberi manfaat kepada 2,000 penduduk di sini. Malah kehadiran pelancong juga mungkin lebih kerap kecuali apabila tiba musim tengkujuh,” katanya.

No comments:

Powered by Blogger.