Kilang Permints Plywood di AMBS dibuka semula


KUALA TERENGGANU 7 Jun - Syarikat milik kerajaan negeri, Kumpulan Golden Pharos Berhad (GPB) akan membuka semula kilang papan lapis Permints Plywood Sdn. Bhd. di Al-Muktafi Billah Shah (AMBS), Dungun dalam masa terdekat menerusi pelaburan berjumlah RM1.6 juta.

Pengerusinya, Datuk Muhammad Pehimi Yusof berkata, langkah melalui subsidarinya itu bertepatan hasrat untuk meneroka peluang perniagaan yang berpotensi di samping mengkaji semua aset dan penggunaan ke arah meningkatkan kecekapan penggunaan modal.

Katanya, kilang yang ditutup sejak 2005 itu kini dalam proses akhir persiapan dengan pembaikian serta pembelian mesin-mesin dan ia dijangka memulakan operasi komersial bagi produk vernir pada separuh kedua tahun ini.

“Pada peringkat permulaan, kilang ini dijangka mampu memberikan hampir 100 peluang pekerjaan kepada penduduk berhampiran dan jumlah itu boleh ditambah jika operasi berjalan lancar serta syarikat dapat berkembang kepada pembuatan papan lapis dan produk berkaitan.

“Kita percaya dengan menghidupkan semula kemudahan kilang baharu ini ia akan memberi sumbangan keuntungan bagi tahun mendatang, bergantung kepada kuantiti bahan-bahan mentah yang diperoleh,” katanya di sini hari ini.

Kumpulan GPB yang disenarai di Bursa Malaysia menjalankan kegiatan pengurusan konsesi hutan, pembalakan dan pengagihan, pengilangan papan dan pemprosesan tambah nilai barangan berasaskan kayu, pengilangan serta penjualan panel kaca binaan.

Menurut Muhammad Pehimi, amalan pengurusan kawasan konsesi balak lestari yang diguna pakai GPB telah diiktiraf badan antarabangsa, Forest Stewardship Council (FSC) apabila dua kawasan konsesi yang diuruskan subsidiarinya mendapatan pensijilan tersebut.

Katanya, konsesi itu adalah di Hutan Kompleks Perkayuan Dungun seluas 108,900 hektar yang diuruskan Kumpulan Pengurusan Kayu-Kayan Terengganu Sdn. Bhd. (KPKKT) dan di Hutan Cherul oleh Pesama Timber Corporation Sdn. Bhd. (Pesama).

“GPB turut merancang untuk akan meneroka kemungkinan menubuhkan ladang hutan industri untuk kemampanan bekalan dan melaksanakan operasi menambah nilai sumber semulajadi di Terengganu,” katanya. - UTUSAN ONLINE

No comments:

Powered by Blogger.