PELAJAR TAHFIZ KONGSI PENGALAMAN PERTAMA SEMBELIH KORBAN



Sambutan Aidiladha kali ini cukup istimewa buat segelintir pelajar Madrasah Tarbiyyah Islamiyyah Darul Hijrah, Chendering di sini apabila diberi kepercayaan untuk bersama-sama melakukan sembelihan haiwan korban.

Salah seorang yang bertuah adalah Aiman Hafiz Jailani, 15, kerana muncul pelajar pertama di madrasah itu yang terpilih untuk bersama-sama petugas menyembelih, sejak ibadah korban mula dilaksanakan di situ pada 2015.

Menurut Aiman Hafiz yang berasal dari Kampung Teluk Ketapang di sini, peluang yang diberikan itu cukup bermakna dan akan terus diingati sampai bila-bila sebagai pengalaman terindah Aidiladha.

"Jika sebelum ini, saya cuma melihat orang lain menyembelih binatang korban tetapi, kali ini saya yang melakukannya.

"Terima kasih kepada ustaz kerana memberi kepercayaan kepada saya untuk turut serta menyembelih," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Kompleks Anak Yatim Tahfiz Darul Hijrah di sini hari ini.


Seramai 160 pelajar lelaki dan perempuan madrasah itu terlibat dalam membantu pengurusan sekolah melaksanakan aktiviti korban membabitkan 45 haiwan.

Mereka yang berusia antara lima hingga 15 tahun bersama-sama melapah dan memotong daging sebelum mengagihkannya kepada penduduk setempat.

Pengasas Madrasah Tarbiyyah Islamiyyah Darul Hijrah, Wan Muhammad Mizan Wan Abdul Latiff berkata, aktiviti itu merupakan sebahagian daripada pembelajaran yang diterapkan kepada para pelajar selaras untuk melahirkan golongan tahfiz yang berkebolehan dan bukan sekadar mahir membaca Al-quran.

Katanya, menerusi ibadah korban membabitkan tujuh lembu dan 38 kambing itu secara tidak langsung pelajar dapat mempraktikkan pembelajaran yang diperoleh daripada kursus profesional sembelihan bersama pakar daging, Mustaffa Othman.

"Ini merupakan tahun ketiga kita melaksanakan kursus sedemikian dengan mereka diajar teknik yang betul dari segi sembelihan hingga ke pengurusan daging, maka dengan ilmu itu kita harap dapat diguna pakai oleh anak-anak ini untuk masa depan terutama jika mahu melakukan ibadah korban sesama keluarga.

"Untuk melancarkan tugasan hari ini, maka setiap daripada mereka telah diberikan tugasan mengikut kemampuan dan kebolehan seperti melapah dan memotong daging manakala bagi penyembelihan pula hanya pelajar yang mampu sahaja melakukannya," katanya.

Menurut Wan Muhammad Mizan, ibu bapa turut dijemput untuk turut serta dalam program hari ini dan selepas semua urusan selesai, kesemua pelajar boleh pulang ke rumah untuk meraikan Aidiladha bersama keluarga masing-masing.

No comments:

Powered by Blogger.