Kekurangan sebagai OKU bukan penghalang untuk hidup

Sekitar jam 3 petang, Mohamad Ridzuan, akan menyusun barang
 di dalam basikal tiga roda yang dimilikinya

POKOK SENA: Ais krim Malaysia 50 sen dan ikan masin RM2 sepaket, menjadi modal seorang orang kelainan upaya (OKU) meneruskan kelangsungan hidupnya.

Dengan keuntungan yang tidak seberapa, antara RM5 hingga RM12 sehari, ia tidak pernah putus harapan dan mengeluh dengan nasib menimpa diri.





Mohamad Ridzuan Khalid, 29 tahun berkata, selagi mampu bergerak, kudrat badannya itu akan dikerah untuk mencari rezeki sendiri.

Sekitar jam 3 petang, Mohamad Ridzuan, akan menyusun barang-barang jualan di dalam basikal tiga roda yang dimilikinya.
Tanpa mempedulikan terik matahari, dia mengayuh basikal tiga roda sekitar lima belas kilometer dari rumahnya di Kampung Bukit Pinang, Pokok Sena sehingga ke Hutan Kampung, Alor Setar.

“Hidup ni memang susah tetapi nak buat macam mana... takkan saya nak duduk di rumah sahaja.

"Kena usaha cari duit untuk tampung hidup. Hendak bagi mak lagi, beli barang keperluan harian lagi," katanya

"Adakalanya berasa penat dan patah semangat jika jualan tidak laku tetapi ini adalah adat berniaga, ada untung, ada rugi," katanya ketika ditemui Astro AWANI baru-baru ini.

Tambah Mohamad Ridzuan, sebelum ini dia hanya mengesot untuk ke mana-mana termasuk berniaga.

Namun, jalan hidupnya dipermudahkan tuhan apabila menerima basikal roda tiga bernilai RM500 hasil sumbangan penduduk kampung.

Ridzuan merupakan anak tunggal dan tinggal bersama ibunya, Rodziah Nik Cha, 53 tahun di Kampung Padang Kunyit, Pokok Sena.

Ibu Ridzuan, yang juga pemegang kad OKU berstatus lembam, tidak dapat bekerja sejak dua tahun lalu kerana kurang sihat.

Bagi yang mahu meringankan beban dua beranak ini, boleh berbuat demikian dengan menyalurkan ke akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) di atas nama mohamad ridzuan khalid 02001-41-00001728-2.

No comments:

Powered by Blogger.