Malaysia hampiri status negara maju: IMF


KUALA LUMPUR: Malaysia berada dalam landasan kukuh untuk mencapai status negara berpendapatan tinggi, dengan ekonominya terus mencatatkan mantap, demikian menurut penilaian terkini Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF).
Ketua Misi IMF ke Malaysia, Nada Choueiri, berkata Rancangan Malaysia ke-11 (RMKe-11) yang merangkumi tempoh antara 2016 hingga 2020, akan mencarta laluan Malaysia ke arah status negara maju dan keterangkuman lebih meluas.
Katanya, peningkatan produktiviti dan menggalakkan lebih banyak inovasi adalah matlamat teras rancangan berkenaan, yang mempunyai enam tunjang strategik menyentuh pelbagai isu pembangunan termasuk ekuiti, keterangkuman, kelestarian alam sekitar, pembangunan modal insan dan infrastruktur.
"Rancangan itu juga memberikan penekanan khusus untuk meningkatkan hasil pasaran tenaga kerja dan menyasarkan peningkatan pendapatan pekerja, penyertaan tenaga kerja wanita dan pekerjaan berkemahiran, selain meningkatkan kualiti pendidikan serta padanan kemahiran kepada keperluan industri," katanya dalam laporan Fokus Negara IMF yang diterbitkan hari ini.
Dalam pada itu, beliau berkata ekonomi Malaysia diunjurkan berkembang 5.3 peratus pada 2018, selepas mencatatkan pertumbuhan di luar jangkaan 5.8 peratus tahun lalu.
"Ekonomi Malaysia menunjukkan daya tahan dan mencatatkan prestasi kukuh. Pertumbuhan dicatatkan melebihi potensi, dipacu oleh permintaan global yang tinggi terhadap produk elektronik dan peningkatan dagangan komoditi, seperti minyak dan gas.
"Di peringkat domestik, pasaran pekerjaan Malaysia yang mantap mengukuhkan perbelanjaan swasta, manakala pelaburan juga membantu memacu pertumbuhan," katanya.
Dari segi hutang awam, Choueiri berkata IMF mencadangkan supaya kerajaan mengalihkan perhatian ke arah meningkatkan hasil berbanding mencapai sasaran itu melalui pemotongan berterusan perbelanjaan awam.
Ini, katanya selepas sejak tiga tahun lalu, defisit kerajaan persekutuan dikurangkan daripada 3.4 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2014 kepada hanya tiga peratus KDNK tahun lalu.
"Ia membantu mengecilkan hutang. Pengurangan defisit dicapai khususnya melalui pemotongan perbelanjaan, walaupun pengenalan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) pada 2015 turut membantu.
"Menuju ke hadapan, nasihat kami kepada pihak berkuasa adalah untuk mengekalkan pengukuhan fiskal berperingkat, namun pada masa sama terus meningkatkan pendapatan bagi melindungi perbelanjaan sosial dan pembangunan," katanya. - BH ONLINE

Sumber : https://www.bharian.com.my/bisnes/lain-lain/2018/03/397083/malaysia-hampiri-status-negara-maju-imf

No comments:

Powered by Blogger.