Cara Mengenal Pasti Wang Kertas Palsu




ALOR SETAR 18 Jan. - Bank Negara Malaysia (BNM) mengadakan program Pendidikan Mata Wang bagi berkongsi cara mengenal pasti wang kertas palsu kepada peniaga dan pengunjung di pasar malam Changlun, dekat sini malam tadi.

Ketua Pejabat BNM Pulau Pinang, Hasjun Hashim berkata, terdapat sehingga 10 ciri-ciri keselamatan terkini disertakan dalam wang kertas Malaysia serta mudah untuk dikenal pasti ketulenannya melalui rasa, lihat dan sendeng.



Beliau memberitahu, kejadian wang kertas palsu di Malaysia adalah sangat rendah dan merupakan kes-kes terpencil, namun BNM sentiasa memantau hal berkenaan dengan rapi bersama pihak polis untuk mengawalnya.


“Inisiatif ini adalah sebahagian daripada usaha BNM untuk mempertingkatkan kesedaran para pengguna di peringkat akar umbi mengenai ciri-ciri keselamatan wang kertas terutama wang tunai berdenominasi besar.


“Meskipun kes-kes ini adalah sangat rendah, BNM perlu memastikan kumpulan sasaran menerima ilmu supaya mereka sentiasa berhati-hati dan mengelak daripada menerima wang kertas palsu,” katanya semasa melawat pasar malam tersebut.


Sehingga hari ini, BNM dengan kerjasama polis, majlis tempatan dan institusi kewangan telah menyampaikan mesej kepada enam pasar malam dan tani di wilayah Utara iaitu lima di Pulau Pinang dan satu di Kedah.


Selain itu, Hasjun berkata, BNM telah memperkenalkan aplikasi mudah alih My Ringgit tahun lalu menerusi Google Play yang mampu untuk mengenal pasti dan mengimbas ketulenan atau kepalsuan sesuatu wang kertas.


Tambah beliau, untuk fasa seterusnya, BNM akan terus turun padang kepada kumpulan sasar di seluruh negara bagi memberi penerangan dalam melindungi mereka daripada menjadi mangsa wang kertas palsu.


“Garis panduan dan langkah yang perlu diambil sekiranya ada memiliki wang kertas yang disyaki palsu ialah sila buat laporan polis di balai berdekatan dalam kadar yang segera,” kata beliau.-UTUSAN ONLINE

No comments:

Powered by Blogger.