Food Truck di perkarangan Masjid UNISZA sempena Ramadan.
Pusat Islam Universiti Sultan Zainal Abidin (UNISZA) memilih pendekatan berbeza dalam menyantuni warganya dan komuniti sepanjang Ramadan ini dengan menganjurkan program trak makanan pada waktu moreh di pekarangan masjid universiti itu.
Pengarahnya, Dr. Mohd. Shafie Hamzah berkata, inisiatif yang julung kali diadakan itu bertepatan hasrat untuk mempelbagaikan fungsi masjid sebagai pusat ekonomi dan sehenti yang memberi khidmat kepada masyarakat.
Katanya, program yang beroperasi dari pukul 9 malam hingga 1 pagi itu menyediakan pelbagai hidangan seperti makanan barat termasuk burger dan minuman buat masyarakat selepas masing-masing selesai menunaikan ibadah solat terawih.
“Buat permulaan ini hanya kira-kira lima trak makanan yang terlibat dan Alhamdulillah, sejak dibuka mulai hari pertama Ramadan , sambutan amat menggalakkan apabila ramai jemaah yang singgah ke Dataran Trak Makanan @ Masjid UniSZA untuk makan serta minum.
“Konsep santai dengan cahaya lampu yang kita tampilkan ini merupakan pendekatan baharu yang kita lihat bersesuaian dengan pelajar malah secara tidak langsung menjadi tarikan kepada komuniti setempat,”
Menurut Mohd. Shafie, buat masa ini program itu disertai pengusaha trak makanan dan tidak melibat pelajar berikutan musim cuti.
Katanya, sebahagian daripada keuntungan yang diperoleh pengusaha trak makanan terbabit akan disalurkan kepada tabung Ihya Ramadhan Masjid UniSZA.
“Pengurusan universiti bersama-sama menyokong usaha ini memandangkan ia merupakan langkah penjanaan hasil seperti yang dituntut oleh Kementrian Pengajian Tinggi. “Masjid perlu melangkah ke hadapan, bukan sekadar menjadi tempat ibadat tetapi menjadi pusat sehenti kepada warga komuniti,”.
No comments: