PESTA MAKANAN THAILAND DIARAH TUTUP SERTA MERTA






PESTA Makanan Thailand di Jalan Padang, Chukai yang sepatutnya berakhir hari ini, diarahkan tutup serta merta oleh Jabatan Kesihatan, tengah hari semalam, kerana gagal mematuhi peraturan ditetapkan.

Pengarah Jabatan Kesihatan negeri, Dr Mohammad Omar berkata, arahan itu dibuat selepas pihaknya mendapat peniaga makanan di tapak pesta berkenaan menyimpan bahan mentah di dalam kotak ais secara bercampur aduk dalam keadaan suhu tidak mencukupi.

Menurutnya, pemeriksaan juga mendapati peralatan digunakan peniaga tidak dibasuh selain kurang menitikberatkan kebersihan gerai mereka.

"Kami juga mendapati penyedia makanan di tapak pesta berkenaan tidak mengenakan penutup kepala, apron dan pemakaian barangan kemas seperti cincin.

"Terdapat 30 gerai menjual makanan di tapak pesta berkenaan dan berikutan itu kami terpaksa mengambil tindakan mengikut Peraturan-Peraturan Makanan 1985," katanya ketika sidang media di pejabatnya di Kuala Terengganu, hari ini.

Menurutnya, berdasarkan maklumat, pesta makanan itu bermula sejak 27 Julai lalu dan sepatutnya berakhir hari ini tetapi kerana kegagalan pihak peniaga serta penganjur mematuhi arahan yang ditetapkan menyebabkan ia sudah diarahkan tutup semalam.

"Sepatutnya pihak penganjur mendapatkan surat kebenaran dan merujuk kepada Jabatan Kesihatan terlebih dulu sebelum mengadakan pesta makanan.

"Mereka juga seharusnya mematuhi peraturan yang ditetapkan bagi menjamin keselamatan pengguna.

"Segala penganjuran pesta makanan di negeri ini perlu mematuhi peraturan ditetapkan mengikut Akta Makanan 1983, Peraturan-Peraturan Makanan 1985, Peraturan-Peraturan Kebersihan 2009," katanya.

No comments:

Powered by Blogger.