Walaupun kejap tapi gembira tengok Super Blue Blood Moon
KUALA TERENGGANU 31 Jan. -Hampir 1,000 orang berkumpul di pekarangan Dapo Pata, Pantai Tok Jembal di sini malam ini bagi melihat fenomena gerhana bulan penuh.
Fenomena cakerawala itu dapat disaksikan dengan jelas pada pukul 8.51 namun bertahan dalam tempoh dua minit kerana langit diselubungi awan
Namu pada saat-saat akhir tempoh gerhana selama sejam itu, bulan kembali kelihatan.
Pengunjung daripada pelbagai lapisan usia tidak melepaskan peluang untuk bersama-sama dalam Program Jom Teropong Gerhana Bulan Penuh yang dijalankan mulai pukul 7.30 malam anjuran Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) melalui Institut Penyelidikan Alam Sekitar Pantai Timur (Eseri).
Sebanyak tujuh teleskop dan binokular disediakan buat mereka di samping taklimat berkenaan fenomena gerhana bulan penuh oleh penyelidik Eseri, Dr. Roslan Umar.
Antara pengisian lain adalah solat sunat gerhana dan pertandingan mewarna.
Menurut Roslan, keadaan cuaca di lokasi malam ini baik jika dibandingkan dengan kawasan cerapan lain, bagaimanapun faktor awan menyebabkan fenomena itu hanya kelihatan seketika.
Sementara itu, seorang pengunjung Zubidah Mohd. Dalin, 49, dari Kampung Padang Nenas dekat sini berkata, peluang menyaksikan gerhana bulan penuh tepat pukul 8.51 malam merupakan rezeki buat anak bongsunya, Ahmad Affan Azril, 12, yang meminati ilmu galaksi.
"Walaupun sekejap tapi dia cukup gembira dapat tengok gerhana tadi," katanya.-UTUSAN ONLINE
No comments: