Seung il gagal lepasi kriteria Irfan Bakti



HASRAT pasukan Terengganu FC I (TFC I) untuk mengikat pemain import kelahiran Korea Selatan, Park Seung il bagi menggantikan rakan senegaranya Kim Hyun-woo yang dibelenggu kecederaan tidak kesampaian apabila bekas pemain kelab Anyan FC itu gagal melepasi kriteria ditetapkan.

Pengendalinya, Irfan Bakti Abu Salim berkata, selepas menjalani  sesi ujian sejak Rabu lalu pemain berusia 29 tahun itu dilihat tidak begitu sesuai  untuk membawa cabaran pasukan lebih-lebih lagi saingan musim ini dijangka lebih sengit.

Justeru, pihaknya memutuskan untuk tidak menggunakan khidmat pemain itu dan kini masih menanti seorang lagi pemain dari negara itu dalam masa terdekat untuk mengisi kuota pemain import Asia bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan Hyun-Woo.

“Jadi untuk aksi pertemuan pertama dengan PKNS Sabtu  ini, kita hanya mempertaruhkan empat pemain import sedia ada dan saya yakin kita tidak berdepan sebarang masalah kerana kesemua mereka telah menunjukkan keserasian sepanjang mengharungi aksi pra musim sebelum ini,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Sebelum ini, ketua jurulatih berpengalaman itu mengakui sedikit lega apabila berjaya mendapatkan calon terbaik bagi mengisi tempat bekas pemain pasukan Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) yang  terpaksa diketepikan ekoran dibelenggu masalah kecederaan anterior cruciate ligament (ACL) dengan mengganti rakan senegaranya, Park Seung iI.

Difahamkan Seung il yang sebelum ini pernah beraksi  dalam Liga Korea Selatan itu bukan sahaja dikatakan memiliki ciri-ciri sebagai mesin pencetak gol malah berupaya menjadi arkitek pasukan namun aksinya gagal menambat hati ketua jurulatih TFC I.

No comments:

Powered by Blogger.