77 peratus peserta SL1M perolehi kerja


Dengan peruntukan sebanyak RM89 juta, Khazanah Nasional Berhad (KHAZANAH) berjaya melahirkan 5,160 graduan yang mengikuti Skim Latihan 1Malaysia (SL1M)–GREEN pada tahun lalu.
Lebih membanggakan, Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Othman Aziz berkata 77 peratus peserta program berjaya mendapat pekerjaan selepas tamat menjalani latihan selama tujuh bulan merangkumi satu bulan latihan dalam kelas serta enam bulan latihan industri bersama majikan mereka
"Program ini banyak membantu siswazah dalam memenuhi kehendak pasaran kerja.
“Sebelum ini, bagi majikan yang menyertai SL1M, kerajaan menawarkan Insentif Potongan Cukai Berganda dan Insentif HRDF-SL1M.
“Bagaimanapun, kami memutuskan supaya penyertaan syarikat dijadikan salah satu syarat untuk memohon tender kerajaan termasuk pelanjutan kontrak serta memperuntukkan sekurang-kurangnya satu peratus daripada nilai kontrak tujuan SL1M,” katanya ketika menjawab soalan yang dikemukakan Ahli Parlimen Gerik, Datuk Hasbullah Awang di Dewan Rakyat, Isnin.
SL1M yang diperkenalkan pada 1 Jun 2011 adalah program untuk membantu graduan yang sukar mendapat pekerjaan meningkatkan keupayaan diri dengan ilmu kemahiran termasuklah dalam aspek seperti komunikasi, bahasa serta teknologi maklumat dan telekomunikasi (ICT).
Sehingga 31 Oktober lalu, seramai 138,398 graduan menyertai program SL1M di syarikat-syarikat yang mengambil bahagian di seluruh negara.
Selain itu, Othman yang juga Ahli Parlimen Jerlun berkata kerajaan juga memperuntukkan RM40 juta bagi program temuduga terbuka yang akan dilaksanakan oleh Kerajaan dan syarikat berkaitan kerajaan.

No comments:

Powered by Blogger.