Pasukan Terengganu De’ Latimojong hulur sumbangan kepada penduduk Desa Karangan.
Peserta kembara turut menghulurkan sumbangan kepada lebih 50 penduduk daif di Desa Karangan, |
Menurut Chief De Mission yang juga Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia Terengganu, Che Adam A. Rahman, kesemua penerima sumbangan terdiri daripada keluarga kurang berkemampuan dan miskin dimana sumber utama pendapatan mereka adalah memetik biji kopi di kawasan tanah tinggi tersebut.
“Perjalanan daripada pekan Baraka menuju ke Desa Karangan mengambil masa hampir empat jam dengan menaiki sebuah lori dan setibanya di sini, saya agak terkejut selepas disambut begitu ramai penduduk kampung serta kanak-kanak.
“Pada program tersebut, kami menghulurkan bantuan 30 kampit beras, wang tunai serta makanan ringan kepada penduduk termasuk mengagihkan cenderahati sumbangan Jabatan Pelancongan Terengganu,” katanya ketika ditemui pemberita di Desa Karangan baru-baru ini.
Ujar Che Adam, aktiviti kebajikan yang dijalankan itu merupakan serampang dua mata kerana para peserta bukan sahaja dapat menyampaikan sumbangan tetapi dalam masa sama dapat beramah mesra dengan penduduk di kawasan tersebut.
Dalam pada itu, Setiausaha Pertubuhan Karyawan Kreatif Terengganu Darul Iman, Nur Fazlizai Omar berharap program kebajikan tersebut dapat diteruskan dari semasa ke semasa terutamanya kepada pendaki Malaysia yang berkunjung ke Desa Karangan untuk mendaki puncak Rante Mario, Gunung Latimojong.
“Saya difahamkan program kebajikan yang dijalankan oleh pasukan Terengganu De’ Latimojong merupakan julung kali diadakan di sini. Diharap aktiviti kemasyarakatan seperti ini dapat diteruskan kerana penduduk di Desa Karangan amat memerlukan bantuan disebabkan mereka begitu ketinggalan daripada segi kemudahan infrastruktur dan kesukaran mendapatkan keperluan asas,” ujarnya.
Sementara itu, menurut Kepala Dusun Desa Karangan, Sinu, 45, kawasan tersebut menempatkan kira-kira 100 buah rumah dengan bilangan penduduk mencecah hampir 500 orang dan mempunyai dua buah sekolah rendah.
Katanya, perkampungan di Desa Karangan di tanah tinggi itu merupakan penempatan turun-temurun nenek moyang mereka sejak ratusan tahun dahulu dan rata-rata penduduk di situ merupakan suku Dure.
“Pendapatan utama penduduk di sini adalah memetik biji kopi selain mencari hasil hutan, bercucuk tanam serta mengambil upah mengangkat barang pendaki ke Gunung Latimojong.
“Ketika menerima kunjungan peserta pendakian daripada Terengganu saya amat terharu kerana ia merupakan kali pertama penduduk disini menerima sumbangan sedemikian dan saya amat berterima kasih kepada mereka yang prihatin dengan nasib kami,” katanya yang sudah enam tahun menjadi Kepala Dusun di sini.
No comments: