Laluan Jabor-Kijal ditutup sementara


KUALA TERENGGANU: Laluan di Kilometer 250 dan Kilometer 305.9 antara Jabor dan Kijal yang meliputi sebahagian daripada Lebuhraya Pantai Timur (LPT) iaitu LPT1 dan LPT2 akan ditutup sementara pada 22 Julai ini.

Laluan terbabit akan ditutup bermula pada jam 5 pagi hingga 2 petang bagi memberi laluan kepada penganjuran acara berbasikal De'Perasing Ride @ LPT2.

 Pengurus Besar LPT2 Sdn Bhd, Husni Md Yusuf berkata, penutupan laluan berkenaan juga membabitkan beberapa persimpangan iaitu persimpangan bertingkat di Cheneh dan Chukai.

"Sepanjang penutupan jalan berkenaan dibuat, orang ramai dinasihatkan menggunakan laluan alternatif, iaitu pengguna dari arah Kuala Lumpur ke Pantai Timur boleh keluar ke LPT1 melalui Plaza Tol Jabor.

 "Bagi yang ingin melalui LPT2, mereka dinasihatkan supaya masuk semula ke LPT2 menerusi Plaza Tol Kijal," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Husni berkata, bagi kenderaan dari arah Kuala Terengganu ke KL, mereka perlu keluar ke Plaza Tol Kijal di LPT2 sebelum masuk semula ke LPT1 melalui Plaza Tol Jabor.

"Pihak kami juga bekerjasama dengan pihak polis dan beberapa lagi agensi untuk memastikan kelancaran trafik kepada orang ramai sepanjang acara itu berlangsung.

 "Laluan berkenaan dijangka dibuka semula kepada orang ramai pada jam 2 petang sebaik acara itu berakhir," katanya. - BH Online                      

No comments:

Powered by Blogger.