Kerajaan tak sokong rokok pek mini
18 JAN: Kerajaan tidak menyokong cadangan industri tembakau unuk mengembalikan semula bungkusan rokok ‘kiddie pack’ atau pek mini 10 batang bagi membenteras penularan rokok tidak sah di negara ini.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S Subramaniam berkata cadangan itu adalah alasan pelobi-pelobi industri bahawa ia mampu mengekang kegiatan rokok seludup dan haram yang menyebabkan peningkatan perokok di negara ini.
Beliau berkata jika kerajaan setuju, ia bertentangan dengan Dasar Kebangsaan Tembakau Negara dan Artikel 8 Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO)-Konvensyen Rangka Kerja Kawalan Tembakau (FCTC).
“Pihak industri konon hendak bantu kerajaan kawal rokok haram dengan memperkenal paket rokok 10 batang dan harga murah kerana pek 20 batang mahal dan menggalakkan orang ramai mencari rokok haram.
“Ini adalah agenda tersembunyi mereka untuk meningkatkan lagi jumlah perokok di negara ini dan kementerian tidak akan menyokong cadangan yang bercanggah dengan etika perubatan,” katanya.
Dr Subramaniam berkata demikian pada Majlis Anugerah dan Pengiktirafan Kempen Blue Ribbon 2017 di ibukota, Rabu.
Menurutnya, apabila kerajaan bertindak meningkatkan duti eksais rokok, jumlah perokok semakin meningkat dengan mereka beralih kepada rokok haram yang murah.
“Kira-kira 52 peratus rakyat merokok rokok haram kerana ia mudah didapati dan murah. Ini amat membimbangkan,” katanya.
Sementara itu, Dr Subramaniam berkata pihaknya menganggarkan lima juta atau 23 peratus rakyat negara ini adalah perokok berusia 15 hingga 50 tahun.
No comments: