Sewa loker simpanan bantu kurang beban murid
KUALA TERENGGANU: Penyediaan loker simpanan di sekolah dilihat mampu menyelesaikan masalah beg berat yang ditanggung murid saban hari.
Perkara itu terbukti apabila tinjauan di Sekolah Kebangsaan Sultan Sulaiman 1 (SKSS1) di sini, berjaya mengurangkan 'bebanan' murid dengan penyediaan loker simpanan.
Loker yang ditempatkan di setiap bilik darjah itu adalah hasil inisiatif pihak sekolah dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SKSS1 bagi menyelesaikan masalah berkenaan.
Guru Besarnya, Mohamad Kabidi Mohamad, berkata inisiatif itu dilaksanakan sejak empat tahun lalu bagi memudahkan murid menyimpan buku teks masing-masing.
"Dengan adanya loker ini, murid boleh menyimpan buku mereka di sekolah, ia bukan saja menyelesaikan masalah beban beg dibawa, malah kes buku tertinggal atau hilang juga tidak timbul.
"Bagaimanapun, loker yang disediakan ini adalah menggunakan sistem sewaan dengan bayaran RM10 sebulan, namun pihak sekolah tidak memaksa ibu bapa untuk menyewanya.
"Bagi murid yang tidak menyewa, ibu bapa disaran untuk memantau jadual sekolah anak supaya tidak membawa buku atau barangan tidak sepatutnya sekali gus dapat mengurangkan bebanan mereka," katanya kepada BH.
Sementara itu, bapa seorang murid Tahun Satu SKSS1, Shahrul Azlan Alang Saidi, 45, berpendapat inisiatif seperti ini harus diambil oleh setiap sekolah bagi mengurangkan bebanan murid untuk membawa beg berat.
Katanya, anaknya tidak mempunyai masalah beg sekolah berat kerana dia menyewa loker disediakan sekolah.
"Loker ini memang memudahkan murid untuk menyimpan buku. Mereka hanya perlu membawa balik buku yang ada kerja sekolah, manakala selebihnya boleh disimpan di sekolah," katanya. - BH Online
No comments: