Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abd. Rahman berkata,  persimpangan bertingkat sejauh 350 meter itu bertujuan untuk menyuraikan trafik di Jambatan Sultan Mahmud yang merupakan laluan utama menghubungkan daerah ini dan Kuala Terengganu.
"Kajian mendapati kesesakan trafik di Jambatan Sultan Mahmud sebelum ini disebabkan kapasiti kenderaan yang tinggi untuk ke Seberang Takir melalui Bukit Tumbuh di sini terutama pada waktu puncak dan perayaan.
"Persimpangan bertingkat yang menelan belanja RM25 juta itu diharap mampu menyediakan sistem penyuraian trafik lebih efektif bagi kedua-dua hala bagi Kuala Terengganu dan Kuala Nerus," katanya selepas melepaskan trafik di persimpangan bertingkat Bukit Tumbuh di sini hari ini.
Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Tenaga dan Teknologi Hijau Terengganu, Rosli Othman dan Pengarah Jabatan Kerja Raya Terengganu, Che Kamaruddin Bahar. - K! ONLINE