Petronas taja RM3 bilion bantu 34,000 pelajar ke universiti sejak 1976


Ahmad Razif Abdul Rahman bersama Sidek Hassan (enam dari kanan), Raiha Azni Abdul Rahman (lima dari kanan), A. Latiff Awang (tiga dari kiri) dan pelajar-pelajar tajaan Petronas di Batu Rakit, Terengganu, semalam.
 


KUALA TERENGGANU 18 Jun – Petronas memperuntukkan RM3 bi­lion sejak tahun 1976 sehingga sekarang bagi membiayai keperluan pendidikan 34,000 pelajar melanjutkan pengajian ke universiti tempatan dan luar negara.

Naib Presiden Kanan Pengurusan Sumber Manusia Kumpulan Petronas, Datuk Raiha Azni Abd. Rahman berkata, usaha itu merupakan komitmen dan asas penting Petronas dari segi pertumbuhan pembiayaan biasiswa untuk para pelajar tajaannya yang akhirnya akan berbakti kepada Petronas sejurus tamat pengajian.

Beliau memberitahu, peruntukan itu turut merangkumi Prog­ram Penajaan Pendidikan Petronas (PESP) untuk manfaat 353 pelajar di seluruh negara tahun ini yang melibatkan peruntukan berjumlah RM134 juta.

“Daripada jumlah itu, seramai 54 pelajar atau 15 peratus adalah anak Terengganu yang akan melibatkan peruntukan penajaan RM8.8 juta untuk bia­yai pengajian masing-masing sama ada di institusi pengajian tinggi tempatan atau luar negara,” katanya

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas majlis Penyampaian Anugerah Program Penajaan Pendidikan Petronas 2017 di Institut Teknologi Petroleum Petronas (Instep) dekat sini hari ini yang disempurnakan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman.

Yang turut hadir Pengerusi Petronas, Tan Sri Sidek Hassan; Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sains, Teknologi dan Transformasi Kerajaan negeri, A. Latiff Awang; timbalannya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Rakit, Bazlan Abd. Rahman dan Pengarah Pendidikan negeri, Shafruddin Ali Hussin.

Raiha Azni berkata, Petronas dengan kerjasama Yayasan Amir dan Kementerian Pendidikan turut memperkenalkan program Sekolah Amanah di Terengganu bermula tahun lalu yang tertumpu di Kijal, Kemaman dan Marang.

Katanya, setiap daerah berke­naan, lima buah sekolah dipilih bagi membentuk sebuah kluster yang merupakan program Petronas untuk memacu transformasi pembelajaran yang holistik selain cemerlang dalam pelbagai aspek termasuk akademik.

"Di Terengganu, kita buat dua segmen paling penting iaitu Sekolah Amanah di Kijal bermula tahun lalu melibatkan pelaburan RM18 juta dan yang terbaharu di Marang dengan pelaburan RM20 juta," ujarnya.- utusan online

No comments:

Powered by Blogger.