176 peneroka Felda Mengkawang dapat geran tanah




Seramai 176 peneroka Felda Mengkawang, Ajil di sini yang membuka kawasan itu 33 tahun lalu kini mendapat hak milik tanah untuk diwarisi.


Penyerahan kepada sebahagian daripada 329 peneroka itu disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia dan Tugas-Tugas Khas negeri, Ghazali Taib petang semalam.



Generasi pertama peneroka di tanah rancangan itu, Mahari Othman, 58, berkata, segala penat lelah mereka memajukan tanah di situ akhirnya mendapat pengiktirafan selepas bertahun-tahun menanti.


“Hajat saya sudah tercapai, memang lama saya tunggu saat ini. Alhamdulillah rezeki Ramadan.


“Pernah terdetik sama ada saya masih sempat terima geran itu pabila seorang demi seorang kawan-kawan termasuk ahli blok yang meninggal dunia,” katanya.


Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Berbuka Puasa Daerah Hulu Terengganu dan Penyampaian Geran Hak Milik Tanah kepada 176 peneroka Felda Mengkawang di Masjid Felda Mengkawang, Ajil di sini.


Yang hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Sumber Manusia negeri, Datuk Rozi Mamat dan Pegawai Daerah Hulu Terengganu, Datuk Azmi Razik.



Roziyawati Mat Deris, 39, pula tidak dapat berkongsi kegembiraan dengan ibu bapanya yang merupakan generasi pertama Felda Mengkawang akibat sudah meninggal dunia.


“Abah, Mat Deris Mat Hasan meninggal pada 2014 dan emak, Esah Yassin pula pada 2007.


“Arwah banyak berjasa bagi tanah rancangan ini, dia aktif sebagai ketua blok, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung ( JKKK) serta bendahari masjid. Apa pun saya terharu kerana akhirnya pengorbanan ayah dihargai dengan geran ini dan dalam masa sama saya sedih sebab ayah tiada untuk melihatnya,” katanya.-

No comments:

Powered by Blogger.