Cuti 14 Hari?





KUALA LUMPUR: Kerajaan bercadang memanjangkan cuti paterniti berbayar kepada 14 hari berbanding tujuh hari sekarang untuk suami kakitangan awam bagi mengambil alih tugas isteri menempuh cuti bersalin.

Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) akan menjalankan kempen bagi memperjuangkan untuk mendapatkan cuti lebih panjang bagi kakitangannya sebagai dorongan kepada golongan bapa muda meluangkan lebih banyak masa bersama bayi.

Timbalan Menterinya, Datuk Azizah Mohd Dun, berkata perkara itu akan mengambil masa tetapi tidak mustahil kerana banyak negara seperti Sweden, Denmark, Jerman melaksanakannya dengan memberikan gaji penuh kepada suami yang isterinya melahirkan anak.

"Ini sesuatu yang baik dan kita bercadang memanjangkan cuti paterniti ini kepada dua minggu yang dirasakan relevan untuk suami mengambil alih tugas melakukan kerja rumah.

"Kementerian akan berusaha ke arah itu. Kita memuji inisiatif, Peruncit Perabot, IKEA memberikan cuti paterniti 30 hari kepada kakitangan lelakinya kerana ia sesuatu positif dan wajar dicontohi sektor awam serta swasta di negara ini.

"Syarikat dari Sweden itu membuktikan kakitangannya lebih produktif apabila kembali ke bekerja selepas menikmati cuti sebulan.

"Mereka lebih bertanggungjawab dan meluangkan masa berkualiti dengan bayi atau anaknya yang lain," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan pameran fotografi Malaysia Dads yang dianjurkan IKEA Malaysia dan Kedutaan Sweden di Malaysia, di Balai Seni Visual Negara di sini, hari ini.

Yang hadir sama Duta Sweden di Malaysia, Dag Juhlin-Dannfelt; Duta Norway ke Malaysia, Gunn Jorid Roset; Pengarah Komunikasi dan kelestarian IKEA Asia Tenggara, Lars Svensson dan Timbalan Ketua Pengarah Balai Seni Negara, Amerrudin Ahmad.

Terdahulu, Azizah menyampaikan hadiah kepada tiga pemenang Pertandingan Malaysia Dads yang berkongsi detik terindah mereka bersama si kecil di samping melakukan aktiviti kerja rumah bersama di rumah.

Terdahulu, CIMB Bank Bhd memberi cuti paterniti berbayar selama sebulan kepada kakitangan lelaki yang mendapat anak pertama, berkuatkuasa Jun lalu.

Azizah berkata, kebanyakan bapa muda sekarang mula cenderung bersama anak dan lebih terbuka berkongsi tanggungjawab melakukan kerja rumah bersama.

"Suami juga boleh memasak dan tidak menyerahkan urusan anak kepada pembantu rumah atau keluarga, menjadi mereka lebih bertanggungjawab," katanya.

Sementara itu, Penyelia Bahagian Makanan IKEA, Muhammad Rizal Sunalim, berkata kakitangan pertama syarikat menerima manfaat cuti peterniti 30 hari yang diambil ketika kelahiran anak ketiganya, pada 22 Julai lalu.

"Semua urusan dilakukan tersusun berikutan saya mempunyai masa sebulan untuk membantu isteri yang juga bekerja di syarikat sama yang menikmati cuti bersalin empat bulan.

"Saya merasakan semua majikan perlu berbuat perkara sama, kerana isteri memerlukan sokongan suami bukan orang lain," katanya.

Pemenang pertandingan fotografi, Sharulnzam Mustapa, 32 dari Putrajaya, berkata beliau memilih berhenti kerja, April lalu sebelum kelahiran anak ketiganya untuk menjadi mengambil alih urusan sepenuhnya urusan anak dan rumah tangga.

"Dari anak sulung yang kini hampir berusia empat tahun, saya berjauhan dengan isteri berikutan bekerja di Perak, isteri di sini. Saya banyak kehilangan detik melihat mereka membesar, jadi berhenti kerja adalah pilihan terbaik.

"Menggalas tanggungjawab suri rumah bukan mudah tetapi tidak mustahil, Alhamdulillah rezeki kami cukup saya akan kembali bekerja dua atau tiga tahun lagi," katanya.

No comments:

Powered by Blogger.