PULUHAN RIBU KELAPA HANYUT KE PANTAI




TUJUH anak kapal warga Indonesia bertarung nyawa apabila kapal muatan kelapa dinaiki bocor dan dimasuki air sebelum hancur dipukul ombak lalu bertembung batu pemecah ombak dalam kejadian di Pantai Tok Jembal, Kuala Nerus, 3 pagi hari ini.
Difahamkan, kapal berkenaan yang membawa 200,000 biji kelapa seberat 180 metrik tan, dalam perjalanan dari Tembilahan, Riau, Indonesia, menuju Narathiwat, Thailand.
Akibat kejadian itu, puluhan ribu kelapa yang dibawa hanyut ke pantai berkenaan sebelum penduduk berdekatan datang membantu memungut kelapa itu.
Anak kapal, Wahyudi, 20, berkata, mereka menyedari kebocoran di bahagian bawah kapal kira-kira pada 2 pagi.
"Kami bertolak dari Riau Khamis lalu tetapi sebaik tiba di perairan negara ini, kapal mulai bocor. Kami cuba mencari tempat berlabuh paling dekat tetapi malangnya tidak sempat tiba.
"Kapten kapal (Rudi Hartono) kemudian mengarahkan semua anak kapal menyelamatkan diri dengan menaiki sampan," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, hari ini.
Sementara itu, Rudi berkata, walaupun menyedari kapal mereka dimasuki air, dia tetap cuba menyelamatkan kapal daripada karam.
"Bagaimanapun keadaan semakin buruk dan saya segera mengarahkan anak kapal menuju daratan menggunakan sampan," katanya.

No comments:

Powered by Blogger.