Status wakil rakyat tak halang kejar ilmu
SINTOK: Kesibukan tugas sebagai wakil rakyat tidak pernah menjadi penghalang kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jertih, Datuk Muhammad Pehimi Yusof, untuk meneruskan pengajian ke peringkat lebih tinggi.
Sebaliknya pengalaman bergelar wakil rakyat khususnya ketika tiga tahun menjawat jawatan sebagai EXCO kerajaan negeri Terengganu sejak 2014, digunakan sebaik mungkin untuk membantunya menamatkan pengajian peringkat Sarjana di Universiti Utara Malaysia (UUM).
Muhammad Pehimi, 55, satu-satunya graduan yang menerima Ijazah Sarjana Sastera (Kerja Sosial) pada sesi keempat membabitkan 1,636 graduan sempena Majlis Konvokesyen UUM ke-30, di sini hari ini yang disempurnakan Pro Canselor UUM, Tan Sri Osman Arof.
Beliau yang kini memegang jawatan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani, Perusahaan Perladangan dan Komoditi negeri, sebelum ini menyandang jawatan Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Terengganu.
Beliau ketika ditemui mengakui jawatan itu yang disandang antara 2014 dan 2016 banyak membantunya khususnya dalam melakukan kajian untuk tesis bertajuk 'Kepelbagaian Peranan Ibu Tunggal Dalam Menangani Kos Sara Hidup sejak 2014'."
"Di Terengganu terdapat kira-kira 23,000 ibu tunggal, jadi saya memilih tajuk ini bagi menilai sendiri peranan ibu tunggal dalam menyesuaikan diri apabila berlakunya kenaikan harga barang dan bagaimana mereka dapat mencari serta mengawal kewangan terhad untuk membesarkan anak-anak," katanya.
Muhammad Pehimi yang berhasrat menyambung pengajian ke peringkat Doktor Falsafah (PhD), berkata kajian itu juga menjurus kepada menghayati keperluan ibu tunggal serta peranan kerajaan untuk membantu mereka serta bantuan yang sesuai diberikan. Melalui kajian ini, saya mendapati beberapa pelarasan perlu diwujudkan oleh kerajaan.
"Ini kerana, ada ibu tunggal yang perlukan kemahiran tetapi diberi bantuan berbentuk kewangan dan begitu juga sebaliknya...bentuk bantuan kurang tepat ini akan memberi kesan kepada ibu tunggal itu sendiri di masa hadapan," katanya yang juga bapa kepada lima anak.
Sementara itu, dua graduan dalam bidang Sarjana Sains Teknologi Maklumat (IT), Ahmed Derow Isak, 32 dan Abbas Mohamed Mahdi, 28, masing-masing dari Mogadishu di Somalia, bertekad untuk mengubah nasib keluarga di kampung halaman walaupun tidak pasti mengenai status pekerjaan di negara asal yang dianggap sebagai wilayah bergolak.
"Saya tetap mahu kembali ke sana (Somalia) biarpun belum pasti akan mendapat pekerjaan atau tidak...saya perlu lakukan sesuatu untuk mengubah masa depan keluarga serta bangsa saya sendiri.
"Di UUM selain memperoleh ilmu dalam bidang teknologi maklumat, saya juga memahami budaya masyarakat di sini yang hidup dalam keadaan aman sentosa, sikap bertoleransi dan bersopan santun yang mana ia patut menjadi contoh kepada rakyat di negara lain termasuk Somalia," katanya.
Bagi Abbas beliau akan berusaha mendapatkan kerja sebagai pegawai kerajaan di Somalia berikutan cara itu akan memudahkan beliau untuk membantu keluarga dan rakyat di sana.
"Ibu saya tidak ada pendapatan tetap, dia dan kakak saya bersusah payah untuk memastikan saya dapat menyambung pelajaran di sini (UUM)...rakan dan pensyarah memberi tunjuk ajar sangat baik sehingga saya tidak pernah rasa terasing walaupun berada di negara orang," katanya yang menjadi antara 499 graduan antarabangsa yang menerima ijazah masing-masing sempena konvokesyen UUM kali ini.
No comments: