Perigi, tandas 300 tahun


Kuala Terengganu: Sekali pandang, Tanah Perkuburan Islam Kampung Laut di sini, serupa saja dengan kawasan perkuburan lain, tetapi tidak ramai tahu kewujudan khazanah bernilai iaitu tandas dan perigi dipercayai berusia antara 250 hingga 300 tahun di kawasan itu.

Malah perigi berkenaan masih digunakan penduduk setempat sehingga ke hari ini terutama kanak-kanak untuk mandi selepas bermain di kawasan sekitarnya dan dikatakan tidak pernah kering walaupun ketika musim kemarau.

Tandas yang terletak bersebelahan pula mempunyai bentuk unik seperti cengkerang siput jika dilihat dari atas dan langsung tiada persamaan dengan tandas yang ada pada zaman ini.

Menurut penduduk tertua kampung berkenaan Hamzah Said, 98, dia diberitahu arwah datuknya sebelum ini bahawa tandas dan perigi itu dibina individu dipanggil Haji Jawa.“Arwah Haji Jawa berasal dari tanah Jawa, Indonesia yang berkelana sebelum menetap di kampung ini ratusan tahun lalu dan kuburnya ada di sini.

“Dia dipercayai membuka tanah perkuburan ini sebelum mewasiatkan tanah kubur yang juga miliknya kepada masjid kerana tidak mempunyai waris.

“Memang sejak saya lahir lagi, perigi dan tandas yang dibinanya sudah ada serta sering digunakan penduduk kampung.

“Walaupun tidak tahu usia tepat, tapi saya anggarkan perigi dan tandas ini berusia antara 250 hingga 300 tahun,” katanya di Kampung Laut, semalam. 


Menurutnya, Haji Jawa seorang alim ketika hidup dan selepas disemadikan di tanah perkuburan itu serta ramai yang menganggap kuburnya sebagai keramat.

“Dulu ramai orang datang ke kuburnya untuk meminta hajat dan letak macam-macam seperti pisang dan duit syiling.

“Ramai juga yang datang bawa anak yang baru lahir untuk melakukan upacara pijak tanah di tepi kubur Haji Jawa, tetapi sekarang ini sudah tidak ada lagi yang berbuat demikian,” katanya yang mempunyai 12 anak dan 140 cucu, cicit serta cuit.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (J3K), Kampung Laut, Che Mat Jusoh berkata, pihaknya bercadang mengadakan gotong-royong dan menyediakan papan tanda dilengkapi penerangan mengenai tandas serta perigi itu.

“Kedua-dua perigi dan tandas ini menjadi bahan sejarah kepada Kampung Laut, malah ia khazanah penting buat Terengganu dan negara ini.

“Kerana itu, elok juga ia dijaga dengan lebih sempurna. Siapa tahu mungkin juga boleh dijadikan produk pelancongan pada masa akan datang,” katanya.

No comments:

Powered by Blogger.