KELAS RENANG UNTUK WANITA SAHAJA
Kuala Nerus: Tidak semua wanita terutama Muslimah sanggup belajar berenang di kolam renang kerana dihantui perasaan malu apabila bercampur dengan lelaki.
Selain mahu menjaga aurat, kelas yang diadakan di lokasi terbuka dan tenaga pengajar kebanyakan lelaki antara halangan kepada wanita untuk belajar renang.
Walaupun permintaan daripada wanita agak tinggi, kekurangan kelas renang Muslimah khususnya di Terengganu membuatkan ramai terpaksa melupakan niat untuk belajar berenang.
Bagaimanapun, kewujudan kelas renang Muslimah di Kuala Nerus pada awal bulan lalu yang dicetuskan anak jati negeri itu sendiri, Hafzan Embong, 38, memberi harapan kepada wanita yang mahu belajar berenang.
Hafzan atau lebih mesra disapa Kak Jan, tidak menyangka ideanya untuk membuka kelas renang Muslimah mendapat sambutan menggalakkan walaupun niat awalnya sekadar mahu mengisi masa lapang.
Dia yang bertugas sebagai jurulatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) di Kem Sri Kandi di Pantai Merdeka, Kedah mengambil cuti tanpa gaji selama tiga bulan sehingga Disember ini untuk menjaga ibunya, Wok Salleh, 72, yang diserang strok pada awal September lalu.
“Ketika itu, timbul idea untuk membuka kelas renang Muslimah dan tidak sangka sambutan amat menggalakkan dengan rata-rata pelajar memaklumkan sudah lama mereka mencari kelas renang sedemikian di Terengganu.
“Sejak beroperasi pada awal Oktober lalu, saya mempunyai 16 pelajar terdiri daripada pelbagai peringkat usia dengan pelajar termuda berusia lapan tahun.
“Bayaran yang ditetapkan hanya RM200 untuk kelas selama enam jam dan pembelajaran bergantung kepada pelajar yang diadakan di kolam renang tertutup di TH Hotel & Convention Centre Terengganu di Gong Badak,” katanya yang memiliki Ijazah Sarjana Muda Maritim dari Universiti Malaysia Terengganu (UMT).
Menurutnya, selain diadakan di lokasi tertutup, pelajarnya turut dilindungi insurans sekiranya berlaku kejadian tidak diingini sepanjang kelas diadakan.
Kebiasaannya, pelajarnya boleh berenang pada kelas pertama sekiranya berjaya menguasai teknik penafasan dengan betul ketika berada di dalam air.
“Ada pelajar sudah boleh berenang dalam tempoh satu jam belajar di kelas dan ia satu kepuasan kepada saya apabila melihat mereka mampu berenang dakam tempoh yang singkat.
“Sebenarnya, saya mula membuka kelas renang Muslimah di Sungai Petani, Kedah sejak 2011 dengan bilangan pelajar melebihi 100 orang, selain turut mengadakan kelas renang sekiranya ada permintaan daripada agensi kerajaan,” katanya yang juga ibu kepada dua anak.
Mengenai rancangan masa depan, Hafzan merancang membuka kelas akua fisioterapi di Terengganu pada awal Januari tahun depan.
“Aktiviti riadah di dalam air ini masih baru di Terengganu dan sebab itu saya berhasrat mahu memperkenalkannya di negeri ini kerana renang memberi banyak manfaat kepada tubuh.
“Ia bukan hanya dapat membentuk dan menguatkan otot tetapi mampu meningkatkan kesihatan jantung selain membakar kalori dan mencegah tekanan malah berenang dikenal pasti antara sukan yang kurang risiko kecederaannya,” katanya.
SUMBER MYMETRO
Ada tak sape2 ade contact no pn hafzan embong ni ye...
ReplyDelete