RUMAH KEDAI HANGUS
EMPAT unit rumah kedai musnah dalam kebakaran di Kampung Aur Tembesu, Dungun, kira-kira 6 petang hari ini.
Insiden itu dipercayai berpunca daripada kedai menjual alat ganti, sebelum api merebak ke tiga lagi kedai.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Dungun, Saifuddin Mohammad berkata, sepasukan lapan anggota bomba bersama jentera bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima laporan berhubung kejadian.
Katanya, sebaik tiba di tempat kejadian lima minit selepas itu, api sudah marak membakar empat unit kedai terbabit.
"Kami terpaksa mendapatkan bantuan enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Paka untuk membantu memadamkan kebakaran itu.
"Walaupun hujan lebat, ia tidak banyak membantu malah api tetap merebak dan membakar bangunan bersebelahan," katanya.
Saifuddin berkata, kepantasan anggotanya dengan bantuan lebih 30 penduduk kampung berjaya menyelamatkan bangunan bersebelahan daripada musnah sepenuhnya.
"Sehingga 7. 15 malam ini, usaha memadam kebakaran masih dijalankan dan kita bersyukur tiada kemalangan jiwa berlaku," katanya.
Menurutnya, jumlah kerugian dan punca sebenar kemalangan masih dalam siasatan.
No comments: