NELAYAN VIETNAM CURI KHAZANAH





KUALA TERENGGANU 21 April - Rakaman video yang memaparkan aktiviti bot-bot nelayan asing warga Vietnam yang dipercayai menangkap ikan menggunakan pukat tunda ganding di perairan Terengganu tular di laman sosial sejak kelmarin sehingga menimbulkan kemarahan ramai.

Video yang menggabungkan empat klip berdurasi keseluruhan empat minit 15 saat mengenai kejadian itu dirakam oleh pemilik akaun Facebook bernama Mie Ngail pada Selasa lalu dan dimuatnaik keesokannya pada pukul 4.25 petang

Selain rakaman itu, turut dimuat naik adalah enam keping gambar.



Berdasarkan video tersebut, Mie Ngail mendakwa hampir 20 buah bot nelayan Vietnam melakukan kegiatan itu dan mencuri khazanah laut negara kira-kira 40 batu nautika dari perairan Kuala Terengganu.

Setakat pukul 7 malam ini, catatan yang dibuat pemilik akaun itu mendapat lebih 1,500 komen dan dikongsi lebih 4,900 orang.

Sementara itu, Pengarah Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Terengganu, Kapten Maritim Zainol Abidin Jusoh berkata, pihaknya memandang serius kejadian tersebut dan serentak itu menubuhkan pasukan khas bagi menyiasat serta menjalankan operasi lanjut.

Katanya, aset bot dan kapal-kapal telah digerakkan ke lokasi kejadian bermula pagi semalam disusuli tinjauan udara menggunakan pesawat Bombardier  CL- 415 milik agensi itu pada pukul 4 petang tadi.


"Operasi semalam tidak menemukan sebarang laporan dan siasatan akan terus dijalankan bagi mengenal pasti kesahihan  dakwaan yang viral.

"Ada beberapa kebarangkalian yang mungkin berlaku antaranya kemungkinan pengadu tersalah faham kehadiran bot-bot dengan awak-awak Vietnam itu sedangkan, bot berkenaan sebenarnya telah diberi lesen dan permit untuk menangkap ikan di negara ini, bagaimanapun, mengenai aktiviti pukat tunda ganding itu kita akan teliti sebaik mungkin," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini petang ini.


Menurut Zainol Abidin, dengan kekangan aset hakikatnya tidak mudah untuk Maritim Malaysia menjejaki kegiatan bot tunda ganding nelayan asing kerana kebiasaannya mereka menggunakan helah memotong tali di samping segera melarikan diri ke perairan antarabangsa bagi mengelak ditahan semasa pemeriksaan.







No comments:

Powered by Blogger.