(VIDEO) MORBID OBESITY - INA HARAPKAN KEHIDUPAN NORMAL









KUALA TERENGGANU 24 April 2017 - Penghidap penyakit morbid obesity atau berat badan berlebihan dan radang tisu penghubung di bawah kulit (cellulitis) sejak empat tahun lalu mengharapkan sinar harapan untuk kembali pulih dan menjalani kehidupan seperti biasa.



Bekas pengurus butik pengantin, Eizan Nadia Zainuddin, 39, berkata, sebelum menghidapi cellulitis, berat badannya 250 kg dan menyusut sebanyak 60 kg kepada 190 kg.



Menurutnya, dia mula menghidapi cellulitis sejak November 2014 menyebabkan kaki sebelah kanannya terpaksa dibedah sebanyak tiga kali di Hospital Putrajaya dan sekali di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian.



“Pembedahan pertama di Hospital Putrajaya pada 29 November 2014. Masa tu saya ditempatkan di bawah unit rawatan rapi (ICU) selama dua minggu dan dirawat lebih sebulan di situ.




“Selepas dibenarkan pulang, saya terlantar di rumah, tak boleh bangun dan berjalan. Semua pergerakan saya terbatas, sembilan bulan saya menghabiskan masa terbaring di katil sahaja dan memerlukan pertolongan untuk menguruskan diri sendiri,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Taman Permint Jaya, Chendering, di sini.



Turut hadir, Penyelaras Dun batu Buruk, Zamri Awang Hitam dan Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kuala Terengganu, Zainal Omar.



Menurut anak ketiga dari empat adik-beradik itu, selepas terlantar selama hampir setahun di rumahnya di Putrajaya, dia mula boleh bangun dan bergerak menggunakan bantuan tongkat.



“Bila kesihatan pulih sedikit, saya balik ke Terengganu, namun, selepas itu, keadaan makin teruk, kaki kanan makin besar akibat cellulitis dan pada September 2016 sekali lagi saya jalani pembedahan kaki sebelah kanan di HUSM.



“Kini saya terpaksa ulang-alik ke hospital setiap bulan untuk temu janji doktor dan temu janji terdekat pada Ogos 2017,” katanya.



Dalam keadaan begitu, Eizan Nadia berkata, sokongan ibu, Tuan Khalijah Syed Osman, 70 dan bapa, Zainuddin Sulaiman, 70 tidak pernah putus dan sentiasa menjaganya tanpa kenal erti putus asa.



Bercerita mengenai keadaannya sebelum disahkan menghidapi cellulitis, katanya, sebelum ini dia bekerja sebagai ketua tukang masak di sebuah hospital dan mengambil keputusan untuk bekerja sebagai pengurus butik milik isteri abangnya di Bangi pada 2014.



Katanya, ketika itulah dia mula menghidapi penyakit itu dan keadaannya bertambah teruk malah pernah tidak sedarkan diri selama lebih 24 jam.



“Pada mulanya memang saya tak dapat terima kenyataan menghidapi penyakit ini, namun, ibu, bapa, keluarga dan rakan-rakan menjadi penguat semangat saya untuk terus berjuang sehingga ke hari ini.



“Kesukaran yang saya hadapi sekarang ialah untuk berjalan. Tidak boleh terlalu kuat berjalan, kalau terlalu banyak berjalan, kaki akan bengkak. Kalau terlalu berehat kaki akan bengkak juga. Kena seimbang,” katanya.



Ditanya sama ada penyakitnya itu boleh pulih atau sebaliknya, katanya, doktor memberi jaminan akan pulih dalam tiga hingga empat tahun dengan syarat perlu mencapai berat badan ideal 85 kg.



“Buat masa sekarang berat saya 183kg dan pada saya tak mustahil saya boleh capai 85 kg sebab sebelum ini saya boleh kurangkan berat sehingga 60kg. Saya rasa tak mustahil.



“Apa yang saya harapkan ialah boleh jalani kehidupan seperti sebelum ini, saya ingin berjalan, ingin naik motosikal, ingin keluar dan dalam tempoh kesukaran ini, bapa dan ibu sayalah yang banyak berkorban menjaga saya siang dan malam,” katanya.



Sementara itu, bapanya yang juga seorang pesara kerajaan, Zainuddin, berkata, berkata, kos rawatan diperuntukkan sebanyak RM300 hingga RM400 sebulan.



Katanya, kos itu belum termasuk kos berulang alik ke hospital untuk temu janji bersama doktor.



“Sekarang dia bergantung sepenuhnya dengan antibiotik. Makan pun dia kena jaga, kalau tersilap makan, memang akan beri kesan mendadak pada badan dia, muka akan bengkak, luka akibat pembedahan akan gatal. Dia hanya boleh makan dua jenis ikan iaitu ikan kembung dan tenggiri.



“Kesukaran untuk jaga dia hanyalah pergerakan dia yang terbatas, kalau nak ke hospital pernah sebelum ini kita panggil Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan itulah pengalaman yang saya tak boleh lupa,” katanya.



Sementara itu, Zainal berkata, JKM akan berusaha mendapatkan bantuan bagi membantu dari segi kos rawatan perubatan sebanyak RM450 sebulan terhadap Eizan Nadia.



“Kita akan berusaha mendapatkan bantuan untuk bantu ringankan beban disebabkan kan beliau tidak bekerja. Bantuan juga akan diberikan sebanyak RM300 untuk penjaga.



“Berdasarkan keadaannya yang teruk, dia boleh dapatkan bantuan dari Tabung Darul Iman untuk sakit kronik,” katanya.



No comments:

Powered by Blogger.