PERHILITAN RAMPAS PELBAGAI HIDUPAN LIAR LEBIH RM 50K




HULU TERENGGANU – Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) merampas pelbagai hidupan liar dan dilindungi bernilai lebih RM50,000 di dua premis kediaman di Kampung Jabi, Besut, minggu lepas.
Pengarah Perhilitan Terengganu, Rahmah Ilias berkata serbuan itu dijalankan bersama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) semasa program ‘1 Malaysia Biodiversity Enforcement Operation Network (1MBEON)’ pada 14 April lepas, dan rampasan itu adalah terbesar setakat ini oleh agensi berkenaan tahun ini.
“Hasil serbuan ke atas premis pertama, kita menemui lapan ekor burung Murai Batu, seekor Murai Belanda, seekor burung Helang Bahu Hitam, seekor burung Kunyit Kacat dan dua ekor ayam hutan.
“Empat lelaki warga Indonesia berumur 23 hingga 31 tahun yang bekerja sebagai buruh kilang kayu ditahan di premis tersebut kerana disyaki memiliki hidupan liar tanpa pemilikan lesen yang sah daripada Perhilitan,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Dalam serbuan ke atas premis kedua, beliau berkata pihaknya merampas 10 ekor Landak Raya yang dianggarkan berharga RM2,000 seekor, seekor memerang, musang, ular sawa Burma dan dua ekor ayam hutan.
Haiwan tersebut dirampas daripada seorang lelaki berumur 36 tahun yang bekerja sebagai pengendali jentera berat di daerah berkenaan, katanya.
Beliau berkata kesemua suspek dibawa ke Balai Polis Kampung Raja, Besut untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716), seksyen 60 (1) (a) kerana menyimpan hidupan liar yang dilindungi tanpa lesen sah.
Sabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.
Mereka juga boleh disabitkan di bawah seksyen 68(1)(a) iaitu menyimpan hidupan liar yang dilindungi sepenuhnya tanpa permit khas dan jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 dan penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali, katanya.
Rahmah berkata pihaknya memberi amaran keras kepada individu yang menyimpan dan memiliki hidupan liar tanpa kebenaran agar berhenti melakukan perbuatan itu atau bakal berdepan tindakan undang-undang.
“Perhilitan akan terus memburu individu yang masih berdegil dan bakal dikenakan tindakan tegas termasuk dihadapkan ke mahkamah,” katanya, sambil menambah bahawa sesiapa yang berminat memelihara dan menyimpan hidupan liar, agar mematuhi perundangan dan mendapatkan lesen terlebih dahulu. – BERNAMA


No comments:

Powered by Blogger.