Selamat Pulang The Pocketrocket Man
Kuala Terengganu: Suasana di Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM), hari ini bergema dengan sorakan lebih 1,000 peminat sukan berbasikal dan orang ramai sebaik kemunculan jaguh Keirin Dunia, Azizulhasni Awang.
Jaguh basikal trek negara itu memenangi pingat emas di Kejohanan Trek Berbasikal Dunia 2017 di Hong Kong Khamis lalu, mengangkat tangannya tanda kejayaan buat peminatnya sebaik tiba di negeri kelahirannya itu.
Azizulhasni yang mendapat jolokan The Pocketrocket Man tiba di LTSM pada jam 10.40 pagi disambut oleh Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Datuk Mohd Zubir Embong.
Kepulangan pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Rio itu turut disambut oleh kedua ibu bapanya iaitu Awang @Muda Embong, 68, dan Salamiah Young, 50 serta tiga adik beradiknya, Ros Hamiza, 44; Ros Mani, 32; dan Mohd Asief, 21.
Lebih meriah apabila Azizulhasni turut diraikan seramai 200 unit basikal termasuk pelumba Terengganu Cycling Team (TSG), 100 unit motosikal dan 20 pacuan empat roda yang akan mengiringi Azizulhasni untuk diarak ke majlis sambutan meraikannya di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu pada jam 12.30 tengah hari ini.
Azizul berkata, dia berbesar hati dan berterima kasih kepada semua peminat berbasikal dan penduduk di negeri ini yang meraikan kepulangannya di bumi Terengganu.
"Saya hargai sambutan dibuat kerajaan negeri pada hari ini malah berterima kasih memberi perangsang serta sokongan tidak pernah putus sepanjang 10 tahun untuk saya sehingga menjadi juara dunia," katanya
-Berita Harian Metro
.
No comments: