SEMUA TOL ELEKTRONIK :PLUS
Kuala Terengganu, Khamis:- Pemandu di Pantai Timur dari Kelantan dan Terengganu yang akan menggunakan Lebuhraya Utara-Selatan atau melakukan perjalanan ke ibu negara dengan menggunakan lebuh raya-lebuh raya kendalian PLUS bermula 26 April akan datang diminta menyediakan kad elektronik masing-masing sama ada kad PLUSMiles, Touch ‘n Go atau SmartTAG.
Ini kerana bermula 26 April akan datang, semua transaksi tol di semua plaza tol di semua lebuh raya kendalian PLUS Malaysia Berhad (PLUS) akan dikendalikan secara 100 peratus elektronik bermula 26 April.
Dengan pelaksanaan inisiatif tersebut, tiada lagi bayaran tol secara tunai akan dikendalikan dan pengguna lebuh raya perlu membayar tol menggunakan kad PLUSMiles, kad Touch ‘n Go ataupun SmartTAG.
Menurut Ketua Pegawai Operasi PLUS, Mohammad Fuad Khusairi, “Pelaksanaan fasa terakhir inisiatif ini yang melibatkan 71 buah lagi plaza tol di antara Juru hingga Skudai di Lebuhraya Utara-Selatan pada 26 April yang akan datang membolehkan semua plaza tol di Lebuhraya Utara-Selatan (termasuk lebuh raya ELITE) beroperasi secara elektronik”.
“Dengan pelaksanaan ini kelak, semua plaza tol di semua lebuh raya kendalian PLUS bermula dari Bukit Kayu Hitam di utara hingga Tanjung Kupang dan Bangunan Sultan Iskandar di selatan dikendalikan secara 100 peratus elektronik. Ini termasuklah transaksi tol di Jambatan Pulau Pinang, Lebuhraya Butterworth-Kulim (BKE), ELITE, NKVE, Lebuhraya Persekutuan Laluan 2 (FHR2), Lebuhraya Seremban-Port Dickson dan Lebuhraya Linkedua,” jelas Fuad.
Secara tidak langsung, ia membantu orang ramai melalui plaza tol dan membayar tol dengan lebih mudah, lebih pantas dan lebih selesa.
Menurut Fuad, pada ketika ini kira-kira 92 peratus daripada keseluruhan pengguna lebuh raya PLUS yang menggunakan lebuh raya kendalian PLUS membayar tol menggunakan sistem elektronik.
Transaksi tol secara elektronik adalah jauh lebih pantas dan selesa berbanding pembayaran tol secara tunai di mana lorong SmartTAG dan Touch ‘n Go mampu mengendalikan kira-kira 1,000 dan 600 transaksi tol satu jam. Manakala Lorong Tunai Keluar pula hanya mampu mengendalikan kira-kira 180 transaksi dalam tempoh yang sama.
“Justeru itu, kami menasihatkan orang ramai, khususnya yang melalui 71 plaza tol di antara Juru dan Skudai supaya mendapatkan kad elektronik masing-masing secepat mungkin,” kata Fuad.
Kad PLUSMiles boleh diperolehi di semua pusat khidmat pelanggan di sepanjang lebuh raya PLUS yang beroperasi bermula jam 7:00 pagi hingga 10:00 malam setiap hari.
Pada masa yang sama, PLUS turut menasihatkan orang ramai supaya menambah nilai kad elektronik masing-masing sebelum mereka memasuki lebuh raya.
Pada ketika ini, terdapat lebih daripada 9,000 lokasi tambah nilai kad elektronik di seluruh negara. Ia termasuklah menerusi mesin-mesin ATM, kedai 24-jam dan serbaneka, pusat beli belah, stesen minyak dan lain-lain.
Terdahulu, inisiatif transaksi tol 100 peratus elektronik telah berjaya dilaksanakan di semua plaza tol kendalian PLUS di Bangunan Sultan Iskandar (2008), lebuh raya Linkedua (secara berperingkat sejak 2009), Plaza Tol Kempas (2014), Plaza Tol Batu Tiga dan Sungai Rasau (November 2014), Plaza Tol Mambau dan Lukut di Lebuhraya Seremban-Port Dickson (SPDH) pada Jun 2015, Plaza Tol Bukit Kayu Hitam dan Jitra (September 2015), Plaza Tol Lunas dan Kubang Semang di Lebuhraya Butterworth-Kulim (September 2015), plaza tol di Jambatan Pulau Pinang (September 2015) serta Plaza Tol Sungai Dua hingga Hutan Kampung di Lebuhraya Utara-Selatan (November 2016).
Untuk keterangan lanjut, sila hubungi:-
Mohd Nizam Ismail
Ketua
Komunikasi Strategik
PLUS Malaysia Berhad
Tel: 03-7666 4646
Tel Bimbit : 019-280 0682
Emel: nizam@plus.uemnet.com
Iskandar Dzulkifli
Timbalan Pengurus Kanan
Komunikasi Strategik
PLUS Malaysia Berhad
Tel: 03-7666 4630
Tel Bimbit : 019-271 0280
Emel : iskandar@plus.uemnet.com
No comments: