BERBELIT LIDAH SEBUT MAITHANIE



HULU TERENGGANU - Usahkan dieja, menyebutnya pun terbelit lidah. Itu kata-kata biasa diterima Maithanie Impenta Mamat, 29, dek kerana agak pelik bagi seseorang yang berbangsa Melayu di negara ini mempunyai nama sedemikian.

Namun, bapa tiga anak daripada Kuala Berang, Hulu Terengganu ini tidak pernah tergores hati malah menganggap satu kelebihan mempunyai nama ibarat satu dalam sejuta, sekali gus lebih memudahkan orang lain mengenalinya.

Menyingkap cerita di sebalik nama itu, dia yang lebih dikenali sebagai Awang berkata, Maithanie adalah namanya manakala Impenta nama keluarga di sebelah Thailand kerana ibunya, Rohani Abdullah, 49, berasal daripada negara gajah putih itu.

“Saya Melayu. Lahir dan sekolah di Terengganu. Mungkin nama tidak seperti orang Melayu lain menyebabkan ia pelik, malah ada yang senyum sambil seloroh lidah mereka terbelit menyebutnya apabila kali pertama perkenalkan diri.


“Nama ini mak dan ayah yang bagi. Mereka ada sebab serta maksud tersendiri. Saya sendiri tidak tahu makna nama Maithanie, cuma tahu ia nama artis di Thailand. Cuma Impenta nama keluarga sebelah emak dan jadilah nama saya Maithanie Impenta.

"Empat adik beradik saya yang lain juga punyai nama Impenta di belakang nama mereka. Nama mereka juga unik, tidak seperti nama-nama orang Melayu di negara ini walaupun semuanya lahir di Malaysia dan antaranya adik bongsu, Ekkapan Impenta.

“Bagi kekalkan legasi keluarga, saya turut namakan anak-anak sedemikian, tetapi di hadapannya nama Melayu. Tiga anak saya, Muhammad Darwisy Impenta, 5, Nur Darweena Impenta, 4 serta Nur Darwisya Impenta, 1 tahun lima bulan.

“Anak-anak saudara saya juga ada nama Impenta. Esok-esok senanglah hendak cari waris kerana ada perkataan Impenta,” katanya.

Ada panggil matematik, methamphetamine

Berkongsi beberapa pengalaman dek kerana namanya itu, Maithanie Impenta berkata, mahu atau tidak kebiasaannya dia diminta menulis sendiri ejaan namanya bagi urusan pendaftaran kerana individu berurusan tidak dapat mengejanya setelah diberitahu nama penuhnya.

“Sukar orang dapat eja dengan betul apatah lagi nama jarang didengar. Biasanya, mula-mula bagitahu nama penuh, kemudiannya akan sebut satu persatu huruf dan akhir sekali diminta tulis sendiri.

“Memandangkan telah dipanggil Awang sejak kecil, saya lebih senang perkenalkan nama sebagai Wan sahaja jika tidak libatkan urusan rasmi. Kalau tak tentu sukarkan orang, saya sendiri tidak tahu apa nama ringkas sesuai dipanggil jika ikut nama penuh.

“Pernah ketika di sekolah dulu, cikgu panggil saya dengan nama matematik kerana tidak tahu sebut nama sebenar, tetapi saya tidak kecil hati. Apabila disebut matematik, saya akan sahut sebab tahu cikgu sedang panggil nama saya.

“Sekarang ini pula, ada yang terkejut kerana sangka nama seperti bahan terlarang ekoran bunyi hampir sama iaitu antara Maithanie dengan methamphetamine. Saya anggap mereka sekadar bergurau kerana hakikatnya nama saya adalah nama artis Thailand,” ujarnya.

Katanya lagi, dia juga tidak pernah ralat dengan adanya nama Impenta pada setiap anak-anaknya walaupun ramai yang tertanya-tanya makna di sebalik nama Impenta tu kerana lebih penting baginya mengekalkan legasi nama kekeluargaan.

“Ketika daftar kelahiran anak, pasti kakitangan bertugas akan tanya mengenainya dan kebetulan pula ayah mertua juga nama Mamat. Isteri, Nur Fatihah Mamat, 25, jadi kami semua isteri masing-masing berkongsi nama ayah yang sama.

“Jika anak-anak masuk hospital juga nama Impenta jadi tanda tanya. Selain mengekalkan nama keluarga, secara tidak langsung juga memudahkan orang untuk kenal cuma saya tidaklah namakan anak-anak seperti nama artis juga,” katanya.- sinar harian

No comments:

Powered by Blogger.