Insentif RM500,000 kepada JPNT

JPNT menerima tajaan daripada syarikat swasta Exxon Mobil sempena Sambutan Anugerah Hari Guru 2017

/
KUALA NERUS 21 Mei - Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman hari ini mengumumkan insentif sebanyak RM500,000 kepada Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT) untuk mengadakan pelbagai aktiviti bagi memantapkan lagi profesionalisme guru di negeri ini.

Beliau berkata, daripada RM500,000 itu, sejumlah RM300,000 akan disumbangkan oleh syarikat berkaitan kerajaan negeri (GLC) manakala RM200,000 lagi akan disumbangkan oleh kerajaan negeri.

"Jumlah ini meningkat berbanding RM300,000 pada tahun lepas. Saya berharap JPNT akan mengadakan lebih banyak program atau kursus dan latihan sebagai menghargai penat lelah guru selama ini.

"Semoga insentif ini akan dapat memberi banyak manfaat kepada golongan guru seterusnya memartabatkan bidang pendidikan di negeri ini," katanya kepada pemberita selepas merasmikan sambutan Hari Guru Peringkat Negeri Terengganu di sini hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sains, Teknologi dan Transformasi Kerajaan Negeri, A Latiff Awang dan Pengarah JPNT, Shafruddin Ali Hussin.

Mengulas lanjut, Ahmad Razif berkata, kerajaan negeri juga akan mengagihkan bantuan sebanyak RM2,000 untuk semua 503 Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) di Terengganu dalam tempoh terdekat.

"Ia bagi memudahkan PIBG menjalankan aktiviti yang sesuai untuk kecemerlangan di sekolah masing-masing," katanya.

Terdahulu, dalam ucapannya, Ahmad Razif berkata, guru adalah arkitek pendidikan negara yang telah banyak menyumbang ke arah pembangunan dan kemajuan negara selama ini.

"Di Terengganu sendiri, kerjaya guru ini telah diiktiraf apabila saya sendiri sebagai bekas guru dilantik sebagai Menteri Besar. Ia bukanlah satu tugas yang mudah namun dengan kerjasama rakan-rakan dalam barisan kepimpinan yang sebahagiannya adalah guru, telah banyak membantu selama ini.

"Sebagai guru, sudah pasti kita akan melakukan semua amanah yang diberi sebaik mungkin dan saya berharap akan terus mendapat sokongan golongan guru untuk terus menerajui kepimpinan negeri ini sebaik-baiknya," katanya. - BERNAMA

No comments:

Powered by Blogger.