Gadis Kuih Bakul Ikon Belia Negeri Terengganu 2017


Haziqah Nurulhuda Harun, 21, dipilih sebagai salah seorang Ikon Belia dalam majlis Anugerah Belia Negeri Terengganu 2017



/
HULU TERENGGANU 20 Mei - Gadis orang kurang upaya (OKU) yang menjual kuih bakul dari Kemaman, Haziqah Nurulhuda Harun, 21, dipilih sebagai salah seorang Ikon Belia dalam majlis Anugerah Belia Negeri Terengganu 2017 di padang bola sepak Kampung Kuala Menjing di sini hari ini. 

 Turut menerima anugerah sama adalah Pengarah Kelip-kelip Palmstay Seri Bandi, Muhammad Syaifullah Che Ghani, 28, di samping Pengarah Urusan syarikat D Lan Group Sdn. Bhd., Nor Ardilan Syah Abdullah, 36. Penyampaian hadiah disampaikan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman. Yang hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Belia & Sukan dan Simber Manusia negeri, Datuk Rozi Mamat; Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia dan Tugas-tugas Khas negeri, Ghazali Taib serta Pegawai Daerah Hulu Terengganu, Datuk Azmi Razik. 

 Terdahulu, Ahmad Razif turut menyampaikan Anugerah Belia Wanita kepada Nurul Shafinaz Ishak manakala Muhammad Rosdi Mat Zin memenangi kategori lelaki. 

 Sementara itu, Haziqah Nurulhuda berterima kasih di atas penghargaan tersebut dan akan menjadikannya sebagai motivasi untuk terus berjaya dalam bidang perniagaan. 

“Kekurangan saya bukan penghalang untuk maju dan mencapai impian.  “Kuih bulan saya bakal ke Singapura pada September depan apabila kita menerima jemputan menyertai Festival Kuih Bulan oleh komuniti Malaysia di sana, jadi saya kini dalam persiapan untuk menyediakan sebanyak 20,000 kuih bulan bagi tujuan tersebut,” katanya di sini hari ini. 

Kisah mengenai gadis berkerusi roda itu menjadi tular awal tahun ini selepas dia menerima tempahan tinggi iaitu 4,000 biji kuih bakul sempena sambutan Tahun Baharu Cina lalu. - UTUSAN ONLINE

  • /

No comments:

Powered by Blogger.