‘Pandang kapal, teringat ayah’
KUALA TERENGGANU – Seni pertukangan dimiliki seorang buruh dari Kampung Che Kundur, di sini, dimanfaatkan sebaik mungkin bagi ghasilkan replika kapal pada bumbung kediamannya sebagai kenangan dan tanda ingatan kepada bapanya yang telah tiada.
Razak Ismail, 60, berkata, replika kapal yang mempunyai nilai sentimental itu disiapkan dalam tempoh dua bulan pada 2016.
Replika dihasilkannya seorang diri itu dicipta bagi mengingati arwah bapanya, Ismail Muhammad, yang meninggal dunia lima tahun lalu.
“Saya siapkan seorang diri replika kapal yang kebanyakan dibuat daripada barangan terpakai dan terbuang.
“Saya memilih kapal untuk dijadikan replika kerana ayah seorang nelayan suatu ketika dulu, begitu juga bapa kepada isteri, Ramlah Abdullah, 40. Juga seorang nelayan. Bila pandang sahaja kapal, teringat kepada mereka yang telah tiada,” katanya.
Razak berkata, bapanya meninggal dunia akibat sakit tua dan komplikasi penyakit pada usia 85 tahun manakala ibunya, Ngah Abu Bakar meninggal dunia ketika dia berusia lima tahun.
Selain replika kapal, terdapat juga replika kapal terbang MH370 yang menghiasi kediamannya sebagai mengingati antara kejadian besar yang berlaku di negara ini.
“Saya ambil masa hampir dua minggu untuk siapkan replika kapal terbang MH370 ini dan ia juga sama, dibuat daripada bahan terpakai.
“Kedua-dua replika ini akan bercahaya pada waktu malam dan ia sekali gus mewujudkan suasana ceria, damai dan seronok di kampung Che Kundur ini,” katanya.
Ditanya sama ada kesenian pertukangan yang dimilikinya itu diwariskan kepada lima anaknya, dia berkata, ada yang menunjukkan minat dalam bidang itu.
“Bidang pertukangan ini sebenarnya telah lama dan sebati dalam diri saya, saya pernah terlibat untuk menghasilkan air terjun Batu Buruk suatu masa dulu. Kini bakat yang ada menurun kepada anak-anak pula,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Che Kundur, Saad Mahmud berkata, perkampungan itu mempunyai komuniti yang berkebolehan dalam pelbagai kesenian.
“Kita dapati ramai dalam kalangan penduduk setempat di sini mempunyai pelbagai kemahiran terutama dalam bidang pertukangan malah kita telah membuat pertandingan Keceriaan Ramadhan bermula pada pertengahan Ramadhan setiap tahun.
“Razak juga telah beberapa kali menang dalam beberapa kategori yang dipertandingkan iaitu sebagai naib juara, nombor tiga dan nombor dua pada 2016 ,” katanya.- sinar harian
No comments: