KEJUTAN 4 BERADIK YATIM PIATU




CERIA DALAM DUKA ... Anak patung arnab hijau hadiah arwah bapa menguatkan semangat Dayini Putri 


KUALA TERENGGANU - Hadiah kejutan hari lahir murid tahun satu Sekolah Kebangsaan (SK) Sultan Ismail, Kemaman, menjadi kenangan setelah dia kehilangan kedua ibu bapanya dalam kemalangan sehari sebelum majlis sambutan hari lahirnya itu diadakan.

Menurut bapa saudaranya, Mohd Noor Ridzuan Noorzan, 30, hari lahir Dayini Putri, 7, yang jatuh pada 7 April lalu sepatutnya disambut pada 24 April dan semua kelengkapan untuk meraikan hari lahir itu telah dibuat lebih awal.

Malah, katanya, arwah bapanya, Badrul Hisyam, 41, telah membelikan anak patung arnab kegemaran Dayini manakala ibunya,Noor Amalia, 34, membelikan papan putih untuk dihadiahkan pada majlis sambutan hari jadinya itu.

"Mereka berhajat untuk membuat kejutan kepada Dayini sempena hari lahir dia malah sambutan itu dijangka akan diraikan bersama guru dan rakan-rakan disekolah.

"Bagaimanapun, semua perancangan tidak kesampaian dan anak patung itu diserahkan oleh guru Dayini di kediaman neneknya di Taman Daliya, Kg Jalan Tekukur, disini, lima hari selepas kemalangan, selepas Dayini keluar dari unit rawatan rapi (ICU),"katanya.

Mohd Noor Ridzuan berkata, sehingga kini, Dayini dan adiknya, Darwish Putra, 4 masih diselubungi rasa kehilangan dan masih trauma dengan kejadian.

" Dayini pernah bertanya mengenai white board yg mama beli siapa punya? Namun arwah mamanya mengatakan ia kepunyaan rakan gurunya," katanya ketika ditemui di kediamannya di sini, semalam.

Turut hadir, Pegawai Pembangunan Parlimen Kuala Terengganu, Rozalina Mokhtar dan Pengerusi JKKK Jalan Tekukur, Arpah Othman bagi memberikan sumbangan dua kerusi roda khas kepada Dayini dan adiknya, Darwish Putra, 4.

Sementara itu, neneknya, Hasimah Mustafa, 57, berkata, mereka terpaksa berlakon sekiranya Darwish bertanya ke mana mama dan papanya itu.

"Pernah Darwish minta  kami menelefon mama dan papanya kerana sebelum ini kami mengatakan mereka berdua pergi kursus.

"Bukan niat untuk menipu kanak-kanak sekecil Darwish tetapi dia masih belum memahami situasi sebenar yang berlaku. Mungkin akan ambil sedikit masa untuk dia terima dan tahu perkara sebenar,"katanya.

Hashimah berkata, Dayini dan Darwish yang mengalami kecederaan dalam kemalangan terpaksa dirujuk ke hospital secara berkala.

"Darwish patah tulang betis dan pergelangan tangan kanan manakala Dayini patah tulang peha selain mengalami kecederaan serius dan telah menerima rawatan di ICU selepas kejadian. Alhamdulillah, dia menunjukkan perkembangan positif,"katanya.

Katanya, walaupun mereka empat beradik kini dibawah jagaannya di sini, mereka masih akan meneruskan persekolahan di Kemaman.

"Guru mereka enggan benarkan mereka berpindah, kerana disana mereka dah ada kawan dan guru yang memahami keadaan dan situasi mereka.

"Danish, Damia dan Dayini akan masih bersekolah di sana. Mereka juga enggan pindah ke sekolah lain. Jadi saya sedia untuk berkorban sama ada ambil cuti tanpa gaji atau memohon pertukaran ke sana untul menguruskan mereka,"katanya.

Dalam pada itu, Hashimah turut merakamkan penghargaan kepada semua yang memberikan sumbangan kepada mereka.

Katanya, semua pemberian itu amat bermakna bagi empat cucunya itu.

Empat beradik yatim piatu ini tabah menjalani kehidupan bersama nenek mereka. 
Terdahulu, pasangan guru yang mengajar di SK Sultan Ismail dan SK Binjai  maut selepas kereta dinaiki mereka bertembung dengan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) di Kilometer 41, Jalan Kuala Terenganu ke Kuantan di Kampung Merchang.

Kemalangan itu berlaku kira-kira jam 6.25 petang ketika mangsa dan empat anak mereka dalam perjalanan dari arah Kuala Terengganu ke Kuantan dan dipercayai untuk pulang ke Kemaman.

Pasangan guru itu meninggalkan empat anak, Danish Putra, 11, Damia Putri, 9, Dayini Putri, 7 dan Darwish Putra, 4.

No comments:

Powered by Blogger.