BOLA KAMPUNG KE BUKIT JALIL


 Siapa sangka team bola kampung mampu beraksi di Stadium Nasional Bukit Jalil kerana bukan senang sebagai pemain bola sepak untuk beraksi di stadium yang gah itu.
  Pemain profesional yang gaji berpuluh ribu pun belum tentu dapat mempamerkan bakat mereka di atas padang stadium kebanggaan negara kita itu.

  Sudah menjadi rezeki FC Pemanis, pasukan dari Kampung Pulau Manis Serada, Kuala Terengganu apabila tersenarai antara enam pasukan bola sepak komuniti yang dapat beraksi di Stadium Nasional Bukit Jalil, Jumaat malam.

  Lebih manis kerana pasukan itu juga menjadi kumpulan pertama berpeluang untuk merasmikan penggunaan padang SNBJ buat pertama kalinya sejak diubah suai bagi penggunaan Sukan SEA pada Ogos hingga September yang akan datang.

  FC Pemanis itu dijemput beraksi untuk Hari Komuniti Bola Sepak iaitu acara diatur khas oleh Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin.

  Selain FC Pemanis turut dijemput ialah Shah Alam Antlers FC (SAAFC) yang muncul  juara dalam satu kejohanan di Lembah Klang baru-baru ini, Majidee83 FC (Johor), Kelab Bola Sepak Kupang (Kedah), Subang City FC (Kuala Lumpur) dan BNM FC (Kuala Lumpur).

  Untuk aksi di Stadium Nasional Bukit Jalil itu, FC Pemanis dijadualkan beraksi dalam perlawanan persahabatan dengan SAAFC pada jam 8 malam.

  Pengurus FC Pemanis, Mohd Rafi Kori, berkata pasukannya itu yang terdiri daripada semua anak jati Terengganu dan ia menjadi satu-satunya pasukan dari Pantai Timur yang terpilih merasai sendiri fasiliti baru di stadium berkenaan.

  "Kami tidak menjangka akan terpilih daripada ratusan kelab yang mahu beraksi di stadium berkenaan, malah lebih teruja lagi apabila kami bakal beraksi di SNBJ yang sudah siap diubah suai itu.

  "Kami bersyukur dan berterima kasih kepada pihak penganjur memberi peluang kepada remaja dari Terengganu menimba ilmu bola sepak secara sistematik dan profesional apatah lagi bakal beraksi di stadium kebanggaan negara yang pernah menjadi gelanggang Sukan Komanwel," katanya yang bangga dengan pengiktirafan yang diberikan.

  Pasukan diasaskan oleh Ketua Kampung Pulau Manis Serada, Tuan Haji Endut dengan nama asalnya Kelab Bolasepak Belia Pemanis yang dimiliki Persatuan Belia Pemanis Kampung Pulau Manis Serada.

  Ia dilatih Mohd Fairus Alias dan kini sedang mengharungi Kejohanan Bolasepak Persatuan Bolasepak Daerah Kuala Terengganu.






















VIDEO

No comments:

Powered by Blogger.