TERENGGANU TERUSKAN PROGRAM PERKAHWINAN PERDANA



KUALA TERENGGANU 17 Mei - Kerajaan negeri menyediakan peruntukan mencecah RM1.6 juta bagi meneruskan program Perkahwinan Perdana yang dirintis tahun lalu dengan sasaran 480 pasangan seluruh negeri.

Program bagi meringankan beban pasangan dan keluarga mereka di samping mempermudahkan urusan dalam melangkah ke fasa baharu kehidupan akan diadakan serentak di setiap daerah pada 16 September depan.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri, Roslee Daud berkata, dengan peruntukan yang meningkat sekali ganda. dapat melibatkan lebih banyak pasangan berbanding 217 tahun lalu.

"Setiap daerah akan melibatkan 60 pasangan dan borang penyertaan program berkenaan dibuka mulai hari ini menerusi online portal Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT) sehingga 16 Julai depan.

"Inisiatif ini dapat membantu lebih banyak pasangan yang kurang berkemampuan mendirikan rumah tangga memandangkan bebanan kos perkahwinan yang semakin meningkat,"katanya kepada pemberita di sini hari ini. Yang turut hadir, Pengarah YPKT, Mohd Shafaruddin Mustaffa.

Beliau berkata, pada tahun ini kerajaan negeri juga bersetuju menaikkan peringkat umur pemohon kepada 18 tahun hingga 35 tahun berbanding 30 tahun pada tahun lepas.

"Begitu juga dengan pendapatan pasangan dikurangkan kepada RM3,000 berbanding RM3,500 manakala pendapatan ibu bapa pemohon dikekalkan RM5,000 ke bawah,"ujarnya.

Roslee berkata, selain majlis perkahwinan mereka di taja, pasangan juga akan turut menikmati pelbagai kemudahan lain yang disediakan termasuk Pakej Bulan Madu dalam usaha membimbing mereka mencorak keluarga bahagia. - UTUSAN ONLINE

 http://www.ypkt.gov.my/pengumuman/permohonan-keluarga-generasi-ttb-perkahwinan-perdana-tahun-2017-kini-dibuka.html
KLIK PADA GAMBAR UNTUK DOWNLOAD BORANG PERMOHONAN



No comments:

Powered by Blogger.