KEMBARA MEDIA NEGARAKU DI TERENGGANU



KEMAMAN : Seramai 24 pengamal media cetak, elektronik dan media dalam talian dari 14 agensi media Semenanjung, Sabah dan Sarawak mengikuti Kembara Media Negaraku 2017 Negeri Terengganu selama tiga hari bermula 15 Mei hingga 17 Mei.

Kembara anjuran Jabatan Penerangan Malaysia (JaPen) berkenaan merupakan program siri kedua untuk tahun ini selepas siri pertama diadakan pada 23 hingga 26 Mac lalu di Sabah.

Pengarah Bahagian Media dan Komunikasi Korporat JaPen, Pauzan Ab Majid berkata, Program Kembara Media Negaraku yang diadakan dua kali setahun bertujuan memasarkan maklumat menerusi promosi dan publisiti mengenai usaha dan kejayaan kerajaan dalam pelaksanaan dasar serta perkhidmatan kepada rakyat.

Katanya, oleh itu program berkenaan juga menjadi platform kepada kerajaan negeri untuk menjelaskan mengenai isu-isu semasa kepada media bagi memastikan penyaluran maklumat tepat.

"Usaha ini juga dapat memperkukuhkan jaringan komunikasi strategik dalam aspek perkongsian dan pemasaran maklumat antara Jabatan Penerangan dan agensi media.

"Program selama tiga hari ini akan melibatkan sekitar daerah Kemaman, Kuala Terengganu dan Besut. Kita bawa media untuk melihat sendiri projek yang dibangunkan di Terengganu di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11)," katanya kepada pemberita pada Program Santai Bersama Pengamal Media Daerah Kemaman di Restoran Ani Selera Kampung, Geliga, petang tadi.

Program berkenaan yang turut disertai Pegawai Penerangan Daerah Kemaman, Aneta Ahmad dan kakitangan Pejabat Agensi Transformasi Rakyat Terengganu (Atra) Dun Chukai diadakan khas bagi menyambut ketibaan kesemua peserta Kembara Media Negaraku 2017 yang tiba di Kemaman kira-kira jam 2 petang selepas bertolak dari Putrajaya pada jam 9 pagi.

Mengulas lanjut, Pauzan memberitahu, projek yang diketengahkan kepada media itu meliputi projek pembangunan, pengangkutan dan pelancongan serta sosio-ekonomi.

Kata beliau, bagi projek pembangunan, kesemua peserta akan dibawa melawat Projek Rumah Komuniti Parlimen Besut dan Projek Mencegah Hakisan Pantai di Pantai Tok Jembal.

Menurutnya, bagi skop projek pengangkutan dan pelancongan pula pengamal media akan melawat Projek Drawbridge yang dikendalikan Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC).

"Menerusi projek sosio-ekonomi, peserta kembara akan melawat perusahaan madu kelulut dalam bandar Komuniti 1Malaysia Batu Buruk, Kuala Terengganu," katanya.

Kembara Media Negaraku  dianjurkan JaPen sejak 10 tahun lalu dan sehingga kini banyak impak positif yang diperoleh daripada pelaksanaan program berkenaan.

Pauzan berkata, antara kesan ketara adalah dapat mempromosikan kawasan-kawasan yang sebelum ini kurang mendapat liputan media terutama di kawasan pedalaman.

"Contahnya di Sabah pada Mac lalu kita bawa media ke Pulau Banggi, kawasan itu jaraknya jauh dengan ibu negeri jadi sebelum ini ia kurang dapat liputan media," katanya.

Turut serta dalam kembara itu adalah wakil Kumpulan Media Karangkraf, Hashim Anang dan wartawan portal pendidikan Sinar Harian, GPS Bestari, Noor Fazidah Umar.

No comments:

Powered by Blogger.